Perjalanan Master Kedua

Pengajian berterusan untuk menimba ilmu dalam bidang kewangan Islam. Semoga pengajian peringkat master secara ‘coursework’ dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam UniSHAMS berjalan lancar yang akan bermula pada bulan ini.

Perjalanan baharu ini bertujuan mendalami ilmu berkaitan dengan kewangan khususnya bagi memahami kerangka dan peranan zakat dalam dunia kewangan sosial Islam berdasarkan kepada kemampuan yang ada.Semoga Allah permudahkan perjalanan baharu selama 2 tahun ini untuk mengikat balik ilmu pengajian ijazah dalam bidang shariah dan undang-undang serta pengalaman bekerja dalam dunia zakat ini.

Selalu bertemu rakan korporat dalam dunia kewangan, menjadi satu paksaan untuk turut sama mengaji dan mendalami bidang kewangan ini. Semoga bermanfaat untuk memajukan LZNK terus berinovasi dalam masa mendatang seterusnya memberi manfaat untuk ummah. Cuba untuk menyumbang dalam organinasi zakat jalinan daripada pengalaman kerja dan garapan teori serta ilmu kewangan dan perbankan Islam.

Telahan orang berilmu dalam sesuatu bidang sudah tentu berbeza. Itulah yang diperlukan dalam menggerakkan agenda pemerkasaan LZNK. Pada awalnya mendaftar PhD kedua dalam bidang syariah, tetapi atas nasihat beberapa orang teman maka kembali menjadi pelajar dalam kelas diperingkat master untuk menguasai subjek kewangan dan perbankan.

Belajar dan bekerja sudah tentu sibuk dan kesuntukkan masa, tetapi ianya berbalik kepada bagaimana kita menguruskannnya.

Dr Faisal Mustaffa

Jitra, Kedah

#mibfunishams#unishams#lznk

Posted in Diari Hidup | Tinggalkan komen

Haji Abdullah Suboh

Haji Abdullah Suboh : “Pecinta Solat Subuh Di Masjid Zahir”

“Siapa Haji Abdullah Suboh ni ya”, tanya saya pada Ustaz Khairul ahli Lembaga Sekolah Rendah Akademi Islam Haji Abdullah Suboh (SRAIHS) ketika hadir mewakili Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk merasmikan Hari Anugerah Cemerlang SRAIHS.

“Haji Abdullah Suboh ni Tok Wan saya ustaz. Bekas Imam Rawatib Masjid Zahir”.

“Memang nama sebenar Abdullah Suboh ka?”, tanya saya.

“Nama sebenarnya beliau adalah Haji Abdullah Bin Mat Taib. Tapi orang gelar Haji Abdullah Suboh sebab walaupun tinggal di Pendang, tapi dia boleh mai jadi imam Subuh di Masjid Zahir. Zaman tu kayuh sampan saja ustaz. Tapi dia boleh mai. Sebab tu orang gelar dia Haji Abdullah Subuh”, cerita Ustaz Khairul kepada saya.

Inilah kali pertama saya mendengar kisah tersebut. Bagi saya, kisah ini cukup hebat untuk dikongsikan dengan generasi yang ada pada hari ini. Ketekunan seorang orang alim dan soleh dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pekerja dan hamba kepada Allah S.W.T.

“Masih ramai kisah alim ulama Kedah yang tidak diketahui orang”, bisik hati kecil ini.

Jarak di antara Pendang dan Masjid Zahir bukannya dekat. Lebih dari 30 kilometer sekiranya melalui jalan biasa. Sekiranya menaiki kereta, melalui jalan biasa sekitar 30 minit, manakala melalui lebuhraya sekitar 15 hingga 20 minit. Tetapi beliau mampu hadir tepat pada masanya bagi mengimamkan solat Fardhu Subuh di Masjid Zahir dengan hanya mendayung sampan itu adalah perkara luar biasa.

Jika dilihat pada senarai nama Imam Rawatib Masjid Zahir, Tuan Haji Abdullah Subuh adalah Imam Rawatib yang keempat. Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau, tetapi mendengar kisah hidupnya sudah cukup untuk mengagumi kehebatan beliau.

Dari perspektif seorang hamba Allah, beliau hadir hadir bukan kerana tugas semata-mata, tetapi kerana cinta. Bak kata pepatah, cinta itu buta. Orang yang bercinta itu sanggup melakukan apa sahaja untuk kekasihnya. Tetapi orang yang cintakan Allah sanggup melakukan apa sahaja untuk bertemu penciptanya.

Dari aspek pekerja, beliau boleh diangkat sebagai salah seorang tokoh pekerja cemerlang pada zaman tersebut. Bekerja tanpa sebarang alasan dan menunaikan tanggungjawab dengan penuh amanah walaupun pada akal dan fikiran kita ianya adalah suatu yang begitu sukar untuk dilaksanakan.

“Commitment to full fill requirement”. Komitmen beliau untuk memenuhi tanggungjawab yang dipersetujui ketika menerima jawatan imam tersebut. Jika difikir, boleh sahaja beliau mengelak untuk tidak hadir bertugas pada waktu Subuh memandangkan jarak di antara rumah beliau dengan Masjid Zahir begitu jauh. Tetapi di atas rasa tanggungjawab, beliau hadir bertugas tanpa culas hingga digelar “Abdullah Suboh”. Gelaran tersebut sudah cukup kuat untuk menggambarkan kepada kita bahawa beliau adalah seorang pekerja yang tekun.

Haji Abdullah Subuh menghembuskan nafasnya yang terakhir dibumi Mekah selepas berhijrah menetap di Mekah.

Namanya diabadikan diatas tanah “anugerah” Tuanku Sultan Negeri Kedah kepada beliau yang kemudiannya diwakafkan untuk dibina sebuah sekolah bagi mengenangkan legasi peninggalan beliau. Penaung pertama projek pembinaan Akademi Islam Haji Abdullah Subuh adalah Allahyarham Dato’ Murshid DiRaja, Syeikh Abdul Majid Bin Mohd Nor, mantan Mufti Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Hari ini, sukar untuk kita memenuhkan ruang surau dan masjid diwaktu subuh. Bilangan rumah beribu-ribu buah, tetapi bilangan Jemaah boleh dihitung dengan jari. Lebih menyedihkan, terdapat imam masjid yang meninggalkan tanggungjawab tanpa sebarang keuzuran. Hanya datang pada hari Jumaat dan majlis akad nikah sahaja. Selebihnya diserahkan kepada AJK masjid.

Andai roh “Abdullah Suboh” ini hidup dalam jiwa masyarakat pada hari ini, nescaya masyarakat Islam akan terus bangkit seperti kata-kata popular yang sering dilaungkan ketika menceritakan perjuangan rakyat Palestin.

“Palestin tidak akan dapat dibebaskan selagi masjid tidak dilimpahi oleh umat islam pada waktu subuh seperti mana solat jumaat”.

Saya terfikir ketika itu, “Kalaulah semua kakitangan zakat solat subuh berjemaah dimasjid, nescaya zakat akan kuat”.

Walaupun saya tahu ianya adalah suatu yang mustahil.

Semoga Allah merahmati Allahyarham Haji Abdullah Suboh.

Faisal Mustaffa

19 November 2018

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Graduasi Belia Asnaf

“Alhamdulillah selesai untuk hari ini…..Terima kasih diucapkan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang telah menaja saya dan rakan2 belajar di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara. Dan tidak lupa juga kepada pembayar-pembayar zakat”, status Fakhri Yusof, pelatih yang bergraduasi bagi Program Latihan Belia Asnaf melintasi di dinding laman facebook saya.

Walaupun saya tidak mengenalinya, tetapi terasa puas melihat kejayaan beliau. Saya tidak hadir ke majlis tersebut, tetapi saya dapat merasai erti sebuah kebahagiaan dalam majlis tersebut. CEO Zakat dan warga LZNK sudah tentu gembira. Para pembimbing ABM juga sudah pasti gembira. Semua pelatih juga mesti gembira.

Dihati kecil saya berbisik, “Walaupun mereka gembira, tetapi insan yang lebih gembira pada saat tersebut adalah ibu bapa. Saat-saat melihat anak mereka menerima sijil tamat pengajian”.

Tiada yang lebih bahagia dalam hidup, melainkan kita membahagiakan orang yang banyak memberi kepada kita dalam kehidupan kita. Sudah tentulah orang yang paling banyak memberi kepada kita dalam kehidupan kita iaitu ibu dan ayah.

Dalam hari graduasi ini, apabila seorang anak naik menerima segulung ijazah. Saat anak tersebut berjalan di atas pentas, si ibu dan ayah akan tersenyum puas. Tidak kurang yang mengelap air mata kerana kegembiraan. Manusia itu menangis kerana dua keadaan. Pertama kerana kesedihan. Keduanya kerana terlalu gembira yang tiada tertahan.

Mungkin dalam kehidupan, mereka jarang menangis kerana kegembiraan. Kerana kedukaan juga mungkin tidak. Kerana, kesusahan itu sudah sebati dengan hidup mereka. Apa yang hendak ditangisi, kerana apa yang berlaku itu adalah asam garam hidup mereka.

Jiwa golongan asnaf lazimnya kental dengan kemiskinan dan kesedihan, tetapi sebahagiannya kalah dengan penghargaan. Apabila mereka dihargai, mereka akan menitiskan air mata. Di saat-saat ada orang yang menghulurkan bantuan, mereka menitiskan air mata.

Di saat-saat anak mereka bergraduasi juga, mereka menitiskan air mata kerana merasakan diri mereka dihargai. Air mata yang mengalir seolah-oleh mereka berasa bebanan yang ditanggung selama ini terburai.

Andai kegembiraan ini dikongsi dan disaksi oleh para pembayar zakat mereka juga sudah tentu akan menikmati kebahagiaan. Di samping menunaikan zakat sebagai kewajipan, tetapi dalam masa yang sama mereka mampu membahagiakan orang lain tanpa mereka ketahui.

Alhamdulillah, pelatih yang bergraduasi juga telah berjaya mendapat tempat dalam bidang masing-masing. Semoga kerjaya yang mereka berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, dan lebih daripada itu semoga mereka berjaya menjadi pembayar zakat dimasa akan datang untuk membantu golongan yang lebih memerlukan. Bagi keluarga asnaf, pengiktirafan ini adalah suatu sinar baharu buat mereka sekeluarga.

Saat menulis artikel ini, dua kali saya terhenti menahan sebak dan linangan air mata. Tidak tergambar saat kebahagiaan ibu dan bapa ketika menerima penghargaan pada hari graduasi ini.

Tergambar wajah mak dan ayah saat menulis tulisan ini. Lantas saya berhenti menulis lalu menelefon mereka.

Tahniah kepada Tuan Syeikh Zakaria Othman.

Tahniah En Ridzuan Ahmad dan tim Agihan khususnya tim Kapten (B) Abdul Nasir Hasan dengan Pembangunan Asnaf atas program yang dijalankan.

Tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya.

Terima kasih juga kepada warga ABM.

Terima kasih kepada pembayar zakat.

Faisal Mustaffa

19 November 2018

#pembangunanasnaf

#zakatkedah

#jomzakat

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Mawaddah Yang Istimewa

Kisah Mawaddah : Kisah Luar Biasa

“Faisal. Saya baru sampai KL. Insya Allah, ana jangka sampai Alor Setar jam 5.00 petang. Insya Allah sempat untuk perasmian”, beritahu Dr Mahyudin Ahmad seawal jam 1.10 pagi.

Saya membuka mesej tersebut sekitar jam 5.45 pagi ketika usai mempersiapkan diri untuk menyampaikan kuliah subuh bulanan di Surau As Siddiqin, Taman Tengku Maheran.

“Tudia Dr. Pi KL ka?”, balas saya terkejut.

Pada sebelah malam, ketika bumi disirami hujan lebat beliau ada menelefon saya. Tetapi saya tidak perasan. Apabila saya menelefon balas, tidak berjawab.

Ketika sedang berforum, Dr Mahyuddin memaklumkan kepada saya bahawa ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Pada tanggapan saya beliau mungkin akan menangguhkan perlancaran buku “Mawaddah Yang Istimewa”, sebuah buku yang ditulis olej beliau dan isteri.

“Banner saya dah serahkan pada isteri faisal. Habis ceramah reply ya. Zakat ada reben dak, reben tak ikat lagi. Stand sekali. Insya Allah ana hadir sebelah petang”, saya membaca mesej yang dihantar oleh Dr Mahyuddin ketika sedang mengendalikan bual bicara bersama Ustaz Pahrol, tetapi tidak membalasnya.

Apakan daya sebagai manusia biasa, saya terlupa untuk membalas mesej beliau sehinggalah mendapat mesej yang dihantar seawal jam 1.00 pagi.

Otak terlalu letih disebabkan jadual yang yang agak padat. Dua minggu memerah otak menyiapkan jurnal “Zakat Kedah Food Bank” untuk World Zakat Forum di Melaka. Kemudiannya aktiviti ceramah yang berturut-turut membuatkan keletihan otak dan otot.

Timbul rasa serba salah dalam diri. Pada awalnya beliau agak keberatan untuk “soft launch” buku beliau dalam program Himpunan Penulis Zakat Kedah. Tetapi saya yang “memaksa”.

“Dr nak Ustaz Pahrol Mohamad Juoi atau Dato’ Mufti rasmi?”, tanya saya pada beliau.

“Bagi Ustaz Pahrol Mohamad Juoi tak pa. Dato’ Mufti saya segan”, balas beliau.

“Tak pa Dr. Saya bagi Dato’Mufti rasmi, Ustaz Pahrol saksi”.

“Segan saya. Ustaz Pahrol tak pa. Tapi kami memang berhajat nak jumpa Ustaz Pahrol”, balas beliau.

Rasa bersalah ini timbul kerana andai tidak dipaksa sudah tentu beliau tidak bergelut untuk ke Kuala Lumpur bagi mengambil buku tersebut. Sejak awal lagi beliau menolak kerana takut buku tidak siap.

Semasa program sedang berlangsung, beliau memaklumkan bahawa buku masih belum siap. Berkemungkinan beliau tidak sempat pulang sebelum majlis perasmian penutup.

“Dr pi KL sorang ka?”, tanya saya.

“Dak. Saya mai dengan Mawaddah dan Umminya”, balas beliau.

“Tudia..Dr Mawaddah sekali”, saya membalas dalam keadaan terkejut.

“Kehidupan Mawaddah memang sentiasa ada unsur kejutan. Terpaksa kerana pencetak lewat cetak buku saya. Kalau tak mai kejan, depa tak buat”, balas beliau.

Tak dapat saya bayangkan, beliau sanggup meredah malam untuk ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil buku bersama isterinya dan anaknya Mawaddah. Kemudian berpatah balik untuk memastikan buku beliau boleh dilancarkan dalam program Himpunan Penulis Zakat Kedah. Tetapi sebaliknya berlaku. Beliau juga terlepas untuk mengikuti program yang berlangsung.

Ketika tiba di Masjid Bukhari Pantai Johor sekitar jam 7.00 malam bagi mengikuti Forum “Memberi Itu Membahagiakan”, saya menerima makluman daripada beliau bahawa beliau sekeluarga baru sampai di Jitra.

Usai solat Maghrib, terus saya tawarkan kepada beliau untuk membuat “soft launching” buku “Mawaddah Yang Istimewa” di Menara Zakat selepas Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol. Beliau begitu teruja.

Tiada apa yang dapat saya bantu melainkan untuk menggembirakan hati beliau sebagai seorang ayah dan ibu yang begitu berhajat untuk mempertemukan anaknya dengan Ustaz Pahrol. Jika bukan untuk merasmikan buku, mungkin hanya sekadar menghadiahkan buku.

Alhamdulillah, pagi ini hajat Dr Mahyuddin dan isteri beliau kesampaian untuk bertemu Ustaz Pahrol serta melancarkan buku “Mawaddah Anak Istimewa”. Majlis yang diadakan di Menara Zakat mengimbau kembali kenangan lama beliau yang pernah menjalani latihan industri disini sekitar tahun 2000.

Usai solat subuh di surau tadi, saya terus mengekori beliau pulang ke rumah. Memaklumkan bahawa saya tidak dapat hadir sama pada pagi ini kerana terdapat urusan lain di luar kawasan, tetapi segala urusan berkaitan mempermudahkan urusan perlancaran buku beliau saya telah aturkan dengan kerjasama sahabat-sahabat di Lembaga Zakat.

Tahniah Dr Mahyuddin dan Kak Asmin Khassim atas buku yang diterbitkan. Semoga kisah Mawaddah ini memberikan inspirasi kepada ibu bapa, ahli keluarga, tok dan tok wan serta masyarakat untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan Wolf-Hirchhorn Syndrome (WHS). Anda sememangnya dalam kelompok ayah dan ibu yang begitu luar biasa!

Faisal Mustaffa

#mawaddahanakistimewa

#himpunanpenuliszakatkedah

#penulisanzakatkedah

Posted in Keluarga, Motivasi | Tinggalkan komen

Khutbah Jumaat

Ketika ditingkatan 5, saya dibawa oleh sahabat saya Idris pada ketika itu untuk bersolat Jumaat di masjid kampung beliau, iaitu Masjid Lubuk Kawah. Menurut sahabat saya, sekiranya bernasib baik kami akan mendengar khutbah daripada Ust Mat Isa, seorang ustaz yang begitu petah dan sedap khutbahnya.

Kebetulan pada minggu tersebut sememangnya Ust Mat Isa yang berkhutbah. Saya tidak pernah mengenali beliau, tetapi sempat juga mendengar khutbah beliau yang saya kira dengan lenggok bahasa dan kiasan khutbah adalah begitu sedap didengar. Sindiran lembut masih terngiang-ngiang sehingga kini.

Sahabat saya Idris pada ketika itu juga sudah mula berkhutbah. Memandangkan dia pemidato sekolah menyebabkan dia lebih cepat untuk berdiri dengan lebih konfiden bagi berkhutbah dikhalayak ramai.

Saya pernah mencuba secara “acah-acah” bersendirian ketika di tingkatan 5. Tetapi tidak menjadi dan terus tidak mencuba. Tetapi semangat tidak pernah padam. Saya begitu kagum apabila mendengar khutbah naqib saya, Ust Dzulkhairi Md Nor ketika zaman belajar, khutbah sahabat saya, Ust Idris Yusof dan khutbah Ust Rodhi Abu Bakar. Selain itu, kekaguman kepada kepetahan arwah Ustaz Ahmad Puad Helmi ketika berkhutbah di Masjid Mergong dan khutbah Ust Rushdan Azizan di Masjid Alor Merah yang didengari ketika zaman persekolahan juga membawa satu keinginan yang membuak dalam diri ini.

Bahasa khutbah mereka tersusun cantik dan lontaran suara lantang tetapi bukan menjerit-jerit seperti mahu pecah kerongkong. Saya tidak suka khutbah yang menjerit-jerit walaupun mungkin ada yang minat begitu. Kerana kadang-kadang agak menyakitkan telinga.

Tahun ini, lebih kurang 13 tahun selepas mendapat inspirasi dari khutbah Allayarham Ust Mat Isa di Masjid Lubuk Kawah, saya diberi peluang berkhutbah di Masjid Lubuk Kawah. Hari ini merupakan bulan keempat. Bermakna sudah empat kali berkhutbah disitu.

Pernah menolak diperingkat awal, tetapi terpaksa mengalah juga menerima jemputan selepas beberapa kali menolak jemputan. Ini kerana di masjid tersebut audiennya adalah pelbagai latar dan terdiri daripada alim ulama besar.

Kali pertama berkhutbah disitu, dihadapan mimbar di saff pertama ada Allahyarham Prof Madya Dato’ Abdul Aziz Hanafi dan Tok Guru Hj Md Rejab, Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Kedah.

Dari atas mimbar kelihatan ramai ustaz-ustaz dan tok-tok guru pondok. Ini kerana sudah menjadi tradisi masjid tersebut menjadi tumpuan masyarakat di Kubang Pasu dan Alor Setar setiap kali hari Jumaat. Faktornya adalah disebabkan lazimnya khutbah yang dihidangkan adalah segar dan bertenaga.

Agak sukar sebenarnya, tetapi saya cuba gagahi. Gugup, gementar. Semuanya ada.

Apa yang saya buat? Saya perlu bersedia.

Setiap kali berkhutbah, saya akan merangka 1 teks berdasarkan tema daripada teks Jabatan Agama mahupun isu yang ingin disampaikan.

Hanya ayat Al Quran dan hadis yang dicatatkan didalam microsoft office untuk diprint. Manakala huraian dikembangkan dengan pen diatas kertas tersebut.

Selepas siap merangka teks, saya akan cuba berkhutbah seorang diri berkali-kali sehingga merasakan isi khutbah sudah tersusun dan masa yang ditetapkan adalah 20 minit. Tidak lebih dari masa yang diperuntukkan. “Short but sweet”, kata orang putih. 🙂

Kemudiannya, untuk kali yang terakhir rakaman akan dibuat menggunakan handphone. Saya akan mengulang-ulang mendengar khutbah tersebut samaada didalam kereta mahupun ketika membuat kerja dipejabat. Sekiranya ada kekurangan saya akan membuat penambahbaikan dari segi intonasi dan penambahan idea-idea baharu yang lebih bersifat setempat dan sesuai dengan audiens.

Itulah yang dibuat setiap kali berkhutbah. Sehingga kini, saya masih belajar dan terus belajar. Ketika berkhutbah bulan lepas, mendapat sedikit teguran daripada guru saya. Pada hari ini ketika menyampaikan khutbah jumaat, saya lebih berhati-hati dan memperbaiki teguran tersebut.

Saya teringat pesan guru saya didalam bidang latihan, Ustaz Pahrol Md Juoi.

“Bercakap ini perlukan jam kredit. Lagi banyak berceramah lagi cepat kita mahir”.

Antara lain pesan beliau,

“Sebelum kita cekap berceramah seperti diri kita. Tiru orang lain yang mana kita suka. Selepas itu jadi diri kita kembali”.

Kelemahan saya adalah membaca teks. Disebabkan kekalutan dikhuatiri tersangkut. Sebab itulah terpaksa berkhutbah secara spontan kecuali pada ayat Quran dan Hadis sahaja merujuk kepada teks kerana dikhuatiri silap.

Saya masih belajar dan akan terus belajar!.

Posted in Diari Hidup, Motivasi | Tagged | Tinggalkan komen

Merancang Pemilikan Harta Bersama

Antara perkara yang dianggap negatif dan tidak suka ditimbulkan di dalam sesebuah perkahwinan adalah perceraian. Tanggapan negatif tentang perkara tersebut menyebabkan sebilangan besar pasangan suami isteri jarang membincangkan berkaitan dengan pengurusan harta implikasi daripada perkara besar tersebut. Tetapi yang pasti ianya berlaku tidak kira siapa samada seseorang itu bertaraf ulama atau pun orang biasa.

Apabila berlaku perceraian, terdapat implikasi berkaitan dengan harta yang melibatkan tuntutan kedua-dua belah pihak. Sekiranya tidak diuruskan awal akan menimbulkan kesulitan kepada suatu pihak yang lain. Sebagai contoh mudah, rumah yang dibeli atas 2 nama suami dan isteri lebih mudah untuk diselesaikan pembahagiannya berbanding tuntutan harta sepenceraian yang hanya ada nama sebelah pihak.

Sebelah pihak yang tiada namanya diatas geran perlu membawa bukti bahawa beliau menyumbang terhadap perolehan harta tersebut bagi mendapat keputusan mahkamah bahawa harta tersebut merupakan harta sepencarian.  Berbanding jika diletakkan nama kedua-duanya diatas geran, maka lebih mudah untuk dibuat tuntutan bahawa harta tersebut ada bahagiannya.

Sekiranya tidak dirancang awal berkaitan dengan penama kepada harta, akan timbul isu sebelah pihak lagi dizalimi apabila berlaku perceraian. Si isteri mahupun si suami tinggal sebatang kara sehingga menunggu keputusan mahkamah berkaitan dengan proses tuntutan harta sepencarian dan sebagainya.

Islam adalah agama yang mengajar umatnya dengan penuh akhlak yang baik. Misalnya di dalam hal perceraian, si suami atau isteri sekiranya tidak sehaluan hendaklah berpisah dengan baik dan rasional didalam menguruskan hak masing-masing selepas perceraian misalnya seperti nafkah iddah, mut’ah ataupun pembahagian harta sepencarian dengan adil. Tetapi praktis yang berlaku adalah, selepas berlaku perpisahan sebahagian besar pasangan lebih suka bersikap padan muka dimana suatu pihak yang lebih berkuasa disebabkan mempunyai pendapatan lebih atau milikan harta di atas namanya akan menindas suatu pihak lagi menyebabkan berlakunya kezaliman di situ.

Sewajarnya pemilikan harta di dalam sesebuah perkahwinan dibuat atas perbincangan dan menjaga kebajikan bersama dengan andaian bahawa sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini maka jalan penyelesaiannya adalah memberi kebaikkan kepada kedua-dua belah pihak.

Langit tidak selalunya cerah!

Posted in Keluarga, Uncategorized | Tinggalkan komen

PERKONGSIAN PERANCANGAN PERJALANAN KE BANGKOK DARI ALOR SETAR

IMG_1557

Baru-baru ini saya berkesempatan bersama rakan-rakan berjalan-jalan ke Bangkok. Perjalanan ini dirancang secara spontan bersama rakan-rakan untuk melihat selok belok kehidupan di Bandaraya Bangkok. Mungkin perjalanan ini biasa, tetapi sengaja dikongsikan untuk rujukan kepada mana-mana rakan-rakan yang ingin membawa keluarga ke sana sekurang-kurangnya catatan ini boleh dijadikan sebagai pedoman.

Sebelum perjalanan bermula, saya ditugaskan untuk membuat kajian berkenaan dengan selok belok di Bangkok. Ini bagi mengelakkan perjalanan kami sia-sia dan membuang masa yang secara tidak langsung meningkatkan kos perjalanan. Berdasarkan penelitian, untuk ke suatu tempat dari suatu tempat memakan masa yang agak lama. Oleh itu, kami memutuskan untuk memilih tempat-tempat tertentu sahaja untuk dilawati. Perancangan kami, untuk perjalanan kali ini mengambil masa 5 hari bermula daripada petang Khamis sehingga hari Isnin. Jarak perjalanan dari satu tempat ke satu tempat diambil kira oleh kami bagi tujuan merancang perjalanan yang lebih tersusun. Saya mengkaji google map dan membuat “marking” tempat yang akan dituju pada google bagi memudahkan untuk kami mencari jalan apabila tiba di sana

 

Perancangan Awal Perjalanan

Memandangkan jarak perjalanan dari Alor Setar berada di tengah-tengah antara Hatyai dan Pulau Pinang, kami memilih untuk menaiki penerbangan ke Bangkok daripada Hatyai International Airport. Harga tiket pergi balik penerbangan Air Asia seorang pada ketika itu sekitar RM 270.00. Ianya lebih murah daripada penerbangan melalui Pulau Pinang atau Kuala Lumpur kerana ianya adalah penerbangan domestik dalam negara.

Selain itu, kami juga membuat tempahan hotel dan kereta sewa terlebih dahulu bagi melancarkan perjalanan. Mungkin tidak ekonomik berbanding kos yang dibelanjakan oleh “Backpackers” tegar, tetapi ianya lebih praktikal dan terancang bagi kami yang kesuntukan masa untuk bercuti ini. Kami memilih kereta sewa jenis Nissan Almera daripada Syarikat National dengan kadar sewa RM 120.00 sehari dan jumlah keseluruhan RM 360.00 bermula daripada jam 11 pagi hari Jumaat sehingga 11 pagi hari Isnin.

Pada hari Khamis malam Jumaat kami bermalam di Hotel Sodchuen Boutique Hotel. Hotel ini terletak diluar kemeriahan malam bandar Hatyai. Manakala bagi hotel pada malam pertama di Bangkok, kami menempah Sawasdee Hotel berdekatan dengan Khoasan Road yang menjadi tumpuan ramai Backpacker daripada seluruh dunia. Kedudukannya begitu dekat dengan terminal boat (cruise boat) untuk menyelusuri Sungai Chao Pharaya menyebabkan saya membuat keputusan memilih hotel tersebut (Selepas menginap tidak dicadangkan hotel ini kerana terlalu teruk).

Manakala pada malam kedua dan ketiga kami menginap di Unico Hotel berdekatan dengan Sukhumit Road. Pemilihan ini dibuat kerana ianya berdekatan dengan LRT dan terletak ditengah-tengah pusat bandar Bangkok yang memudahkan kami bergerak ke mana-mana destinasi yang dikehendaki. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan hotelnya berpuluh kali ganda lebih selesa daripada hotel kami Sawasdee Hotel dengan harga yang ditawarkan. Sebab itu rasanya ramai yang mencadangkan supaya bermalam disini.

Kesemua hotel ini ditempah melalui laman agoda selepas dibuat perbandingan harga dengan laman web lain seperti Trivago dan sebagainya dengan jumlah bayaran RM 629.42 untuk 2 bilik bagi 4 malam penginapan. Sengaja kami mengambil hotel yang sedikit selesa berdasarkan review di laman agoda.

Kami turut mengambil insurans perjalanan daripada saya AXA Insurans untuk perlindungan perjalanan kami. Premium yang dibayar adalah asas sahaja iaitu sebanyak RM12 seorang bagi empat hari perjalanan yang melindungi asas untuk kemalangan, kematian dan perubatan.

Selain itu juga kami membawa bekalan meggi dan roti bagi memudahkan urusan makan disana sekiranya perlu. Ianya amat berguna kerana setiap pagi kami sarapan pagi dengan memakan roti dan megi sahaja. Ianya lebih mudah dan menjimatkan masa.

 

HARI PERTAMA : BANGKOK

Memulakan Perjalanan Ke Bangkok

20160513_065206

Hotel Di Hatyai

Selepas selesai waktu kerja, masing-masing pulang ke rumah. Kami bergerak daripada Jitra menuju ke Hatyai kira-kira jam 5.00 petang menaiki perodua Viva. Selesai berurusan dipintu sempadan, kami membeli sim kad Thailand bagi memudahkan urusan perjalanan.

Dalam perjalanan menuju ke Hatyai, kami singgah disebuah kedai ditepi jalan untuk makan malam. Waktu tersebut kira-kira jam 8.00 malam dan hujan renyai-renyai. Di kedai tersebut kami bertemu dengan seorang Mak Cik tua berumur sekitar 70 tahun mampu bertutur Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Thailand dengan baik. Rupa-rupanya beliau adalah penterjemah bahasa dan juga merupakan guru al Quran yang pakar dalam bidang tarannum.

20160512_201041

Hotel Sodchuen Boutique Hotel

Setibanya di Hatyai, kami Check In di Hotel Sodchuen Boutique Hotel yang berdekatan dengan simpang empat Hatyai dan bertentangan dengan Home Pro. Kami memilih hotel diluar kawasan bandar adalah bagi memudahkan pergerakkan keesokkan hari untuk ke lapangan terbang. Selesai check in dan persiapan diri serta solat kami keluar menuju ke Night Market yang terletak berdekatan dengan Hotel tersebut.

 

Airport Hatyai – Bangkok

Seawal jam 7 pagi kami bertolak daripada Hotel menuju ke Hatyai Airport dan meninggalkan kereta dikawasan parking yang disediakan. Kami kemudiannya bersarapan pagi dengan roti dan air mineral yang dibawa.

Ketika hendak masuk ke balai berlepas, kami mengalami masalah kerana tiket yang hendak digunakan diprint depan belakang untuk 2 orang. Hal ini menyebabkan pihak imigresen tidak membenarkan kami masuk ke balai berlepas. Sambil berjalan, kami terlihat ada sebuah pejabat yang beroperasi di situ dan meminta pertolongan supaya boarding pass kami diphotostat setiap satu seorang. Alhamdulillah mereka membantu dengan dikenakan sedikit bayaran. Selesai kami keluar, mereka cepat-cepat menutup pintu pejabat mungkin tidak mahu diganggu oleh orang lain yang mungkin mempunyai masalah seumpama kami.

20160513_085344

Bertemu Geng Bank Rakyat yang turut ke Bangkok

Di Hatyai Airport kami bertemu dengan team kembara Bank Rakyat yang turut sama merancang perjalanan ke Bangkok. Cuma perjalanan mereka lebih pendek iaitu sekitar 3 hari dan perjalanan hari pertama terus ke Pattaya menggunakan pemandu pelancong berserta van yang telah ditempah awal.

20160513_120521

Dibawa oleh kakitangan National Car untuk mengambil kereta di tapak parking. Selepas bersembang, dia seorang Muslim.

Setiba di Bangkok, kami mencari kaunter kereta sewa National Car yang telah ditempah lebih awal. Bagi tujuan penyewaan, Kad kredit diperlukan sebagai cagaran untuk sewa kereta tersebut. Jenis kereta yang disewa adalah Nissan Almera. Sebenarnya, booking kereta sewa terus di lapangan terbang harganya lebih murah berbanding secara online. Tambahan pula booking diatas talian tidak termasuk insuran kemalangan atau kehilangan, tetapi booking terus dilapangan terbang dengan harga yang lebih murah adalah termasuk dengan insurans pelbagai. Tidak mengapa. Ini pengalaman kali pertama! Ilmu.

Pusat Islam, Bangkok

Pusat Islam Bangkok

Selesai mengambil kunci, kami terus bergerak menuju ke Pusat Islam, Bangkok. Di aras tanah masjid terdapat pelbagai gerai yang menjual makanan. Apa yang menarik, di depan pintu masuk dijual Burger Ramly. Terasa seronok produk Malaysia dijual dalam bentuk booth disana. Terdapat juga gerai menjual Damsyik Bun dan roti dimana penjualnya kelihatan seperti perlarian Syiria.

Kami menikmati juadah tengah hari di situ. Lauk ikan tilapia masak kuning dan nasi putih. Kebanyakkan lauk sudah habis dan kami terpaksa berebut-rebut untuk membeli makanan disini. Selesai solat dan makan, kami bergerak menuju ke Khoasan Road untuk mencari Sawasdee Hotel. Dalam perjalanan, kami singgah di kedai-kedai yang menjual barang ukiran yang diperbuat daripada kayu.

 

 

Sawasdee Hotel di Khoasan Road

Sebaik tiba di Hotel, masalah yang dihadapi parking kereta. Kami terpaksa berpusing berkali-kali mencari parking dan akhirnya kereta diparking dalam kawasan Watt. Kereta hanya boleh diparking dikawasan hotel selepas jam 10 malam. Selepas check in dan masuk ke dalam bilik, kami semua terkejut melihat keadaan bilik hotel. Agak buruk dan tidak begitu selesa. Saya berseloroh kepada kawan-kawan, “saja aku pilih hotel buruk nak tarbiah hampa”. Suasana hotel yang agak suram serta kondisi bilik yang agak usang berserta aircond yang panas, air dibilik air panas menyebabkan kami agak kurang selesa. Terfikir dikepala, bagaimana pula hotel untuk keesokkannya. Suasana dibawah hotel kelihatan backpackers dari seluruh dunia bersantai sambil memegang botol arak. Boleh dikatakan sejak awal kami check in sehingga malam hari kelibat mereka sentiasa ada melepak dibawah hotel tersebut.

Kepada rakan-rakan yang ingin ke Khoasan Road, mungkin boleh memilih hotel yang lebih baik untuk keselesaan keluarga.

 

River Cruise di Sungai Chao Pharaya

 

River Cruise dan Asiatique Market

Selepas berehat buat seketika, kami keluar untuk menuju ke jeti River Cruise. Jarak daripada hotel dengan jeti lebih kurang 500 meter perjalanan. Kami menaiki bot dengan kadar tambang 40 bath seorang. Bersama-sama kami ramai pelancong daripada barat. Boleh dikatakan hanya kami sahaja pelancong asia, lain-lainnya merupakan orang putih.

Sambil melawati Sungai Chao Pharaya, ditebing sungai kelihatan rumah-rumah setinggan dan bangunan pencakar langit di Bangkok. Kehidupan di Bangkok boleh dikatakan agak kotor dan kurang bersih. Rumah-rumah ditepi sungai melepaskan sisa kumbahan ke dalam sungai menyebabkan apabila kita melawati kawasan sungai airnya agak berbau kuat.

Destinasi akhir river cruise ini adalah di Asiatique Market. Setiba di situ kami berjalan-jalan melihat barangan yang dijual di situ. Pelbagai barangan dijual disitu dengan harga yang mahal. “Cekik darah” kerana tempatnya agak eksklusif.

Selesai membeli belah, kami menaiki bot untuk pulang ke Khaosan Road. Rupa-rupanya kami tersalah naik bot dan bot tersebut berhenti dipertengahan jalan. Bot malam untuk ke Khoasan Road yang merupakan check point terakhir sudah tidak ada. Sepatutnya kami menaiki tut tut untuk pulang.

Setiba bot dicheck point pertengahan jalan pulang, kami turun ke jeti. Pada mulanya kami bercadang untuk berjalan kaki pulang ke hotel, tetapi apabila melihat jarak perjalanan lebih kurang 8 kilometer, kami memilih untuk menaiki tut tut. Tambang yang dikenakan adalah 400 bath dengan alasan jarak Hotel kami jauh dari tempat tersebut. Kami berempat menaiki tut tut melalui celah-celah bangunan. Pemandu tersebut memandu tut tut begitu laju dan dengan cekapnya menyelit dicelah-celah kenderaan lain yang lebih besar.

 

Mencari Muslim Food

Setiba di Khoasan Road, kami melihat terdapat papan tanda masjid. Kami membuat keputusan untuk ke masjid dengan 2 tujuan utama. Pertama untuk solat Fardhu Isya dan Maghrib secara jamak takhir dan keduanya untuk bertanya kedai makan muslim.

Setiba di Masjid, kami bertanya berkaitan dengan “Muslim Food”. Kami diberitahu bahawa terdapat kedai makan muslim bernama Aishah. Selesai solat, kami keluar mencari kedai Aishah. Di situ kami ternampak sebuah kedai Halal milik lelaki arab, tetapi menjual arak. Tidak jadi kami singgah. Akhirnya kami bertemu kedai Aisyah tersebut. Rupanya hanya dia yang memakai tudung, tetapi yang lain tidak dan kelihatan seperti orang siam. Bertato dan sebagainya.

Kedai-kedai berdekatan ada yang menjual Moo (Babi) yang merupakan hidangan istimewa mereka. Di sebelah jalan, kelihatan 2 orang pelajar bertudung makan di sebuah gerai yang kelihatan milik bukan Islam. Mungkin biasa bagi mereka, bagi orang luar seperti kami agak kurang selesa kerana hidangan juga agak kurang bersih dan berbau. Banyak sebenarnya kedai Muslim di bandar Bangkok, cuma kami sahaja tidak menemuinya. Ada dalam kalangan kami yang langsung tidak lalu menjamah makanan tersebut. Tak mengkelan katanya. Selesai makan, kami mengubah kereta untuk diparking dihadapan Hotel dan pulang beristirehat di Hotel.

 

HARI KEDUA BANGKOK

Bergerak Ke Pattaya

Seawal pagi kami bangun, selesai Solat Subuh kami bersiap-siap untuk menuju ke Pattaya. Jarak perjalanan daripada Bangkok ke Pattaya lebih kurang 150 kilometer memakan masa 2 jam 30 minit perjalanan. Tujuan utama kami ke Pattaya bukan untuk menikmati pantai dan aktiviti pulau ke pulau, tetapi semata-mata ingin melihat jalan raya dan kawasan disekitar Bangkok – Pattaya sahaja. Sebaik sampai di Pattaya, kami berjalan-jalan disekitar pantai dan seterusnya mencari kedai makan muslim untuk menikmati makanan tengah hari.

20160514_100708

Kami singgah di sebuah kedai makan dimana terdapat patung berjubah dan berkopiah dihadapan kedai tersebut. Hiasan kedai ala-ala arab. Rupa-rupanya pemilik kedai tersebut, suaminya merupakan orang arab Mesir. Selesai makan, kami bertolak pulang ke Bangkok dan berehat di hotel.

 

Siam Paragon

Selepas solat Asar, kami keluar menuju ke stesen LRT Retchawit untuk ke Siam Paragon. Antara pasar membeli belah yang terbesar di Bangkok. Di sana terdapat aquarium besar seperti yang terdapat di KLCC. Memandangkan caj yang dikenakan agak mahal iaitu 110 bath seorang, kami hanya bergelegar dibahagian luar sahaja.

Pulang daripada Siam Paragon, kami menikmati makan malam di sebuah lorong yang menjual makanan arab. Menurut sahabat saya, keadaaan malam dilorong tersebut sama seperti di Pasar Khan Khalili di Mesir. Penuh dengan barangan arab dan penjual serta pengunjung juga sebahagian besar daripada kalangan orang arab. Namun begitu, hidangan kami pada malam pertama ini agak kurang sedap. Nasi goreng yang dijamah adalah Nasi Goreng Ajinomoto.

Pada malam tersebut, kami juga menikmati teh arab selepas selesai makan malam. Caj yang dikenakan agak tinggi. 240 bath untuk tiga orang.

20160514_201443

 

HARI KETIGA BANGKOK

Floating Market

Pada hari ketiga, kami berkira-kira untuk pergi ke Floating Market. Berdasarkan pembacaan, floating market yang popular adalah Damnoek Floating Market. Tetapi kedudukannya agak jauh daripada Bangkok. Bahkan berdasarkan review, disini kadang-kadang caj yang dikenakan agak mahal dan ada dalam kalangan pengunjung “terkena” dicaj menaiki bot sebanyak 2000 bath untuk sebuah bot. Melihat kepada review tersebut, kami beralih mencari pasar terapung yang lain dan bertemu dengan Kwan-Riam Floating Market di dalam google map. Jarak perjalanan sekitar 30 kilometer daripada Unico Hotel. Di sini kami menaiki bot mengelilingi sungai dengan bayaran 60 bath seorang. Kami singgah di dua check point yang telah ditetapkan iaitu di sebuah pasar kecil dan taman orkid. Air sungai tersebut begitu kotor seumpama air tahi!. Hitam melegam dan busuk. Kalau di Malaysia, agak sukar untuk dijadikan aset pelancongan kerana dikhuatiri penyakit kencing tikus. Rumah-rumah setinggan ditepi sungai yang sempit itu melepaskan bahan-bahan kumbahan ke dalam sungai tersebut.

Selesai merentas sungai yang memakan masa hamper 3 jam, kami beredar daripada Floating Market untuk pulang ke Hotel. Di pertengahan jalan kami berjumpa sebuah kedai muslim yang mana pemiliknya adalah orang Pattani dan pernah berniaga di Kota Sarang Semut, Alor Setar. Di situ kami makan sepuas-puasnya memandangkan perut kami agak lapar. Menurut beliau, terdapat banyak kedai muslim di Bangkok.

 

Chatuchak Market

Di sebelah petang, kami mengambil LRT daripada stesen Retchawi untuk ke stesen Mo Chit. Ini Tujuan kami adalah untuk ke Chatuchak Market iaitu pasar terbesar di Asia Tenggara. Memilik lebih daripada 5000 buah gerai yang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad.

Tidak dinafikan, barang-barang yang dijual disini begitu murah.Wallet yang dibeli ditempat lain dengan harga 150 bath, disini hanya 100 bath. Boleh dikatakan kami shoping sakan disini.

Selesai membeli belah, kami mengambil tiket LRT untuk pulang ke Hotel. Pada malam ini, kami singgah makan lorong arab ini sekali lagi dan makanan pada malam kedua tidak mengecewakan. Hehe. Baru bertemu makanan yang lauknya sedap sedikit.

HARI KEEMPAT BANGKOK

20160516_164134

Pada hari keempat, kami bersiap-siap untuk pulang. Sejujurnya, sepatutnya kami merancang pulang pada petang hari ketiga dan bermalam di Hatyai dan berjalan-jalan di Hatyai pada hari keempat.

Kami bertolak daripada Hatyai ke Bangkok sekitar jam 1 tengah hari. Setiba di Hatyai, kami mengambil kereta dan membayar caj parking untuk 4 hari sebanyak 400 Bath. Kami bergerak pulang ke Dannok dan singgah membeli beras pulut di pekan Sadao.

Selepas itu, kami singgah di pekan Dannok untuk makan. Kami makan sepuas-puasnya menu Nasi Putih, Ikan Loban Masak Merah, Tom Yam campur dan daging bakar. Kami tiba di Jitra kira-kira jam 10.00 malam waktu Malaysia.

————————————————————————

Antara tentatif dilalui oleh kami sepanjang permusafiran ini adalah seperti berikut :

Hari Pertama

  • Bertolak Dari Alor Setar pada jam 5.00 Petang
  • Check In di Hotel Hatyai
  • Makan Malam
  • Jalan-jalan Up Town Hatyai (Night Market belakang Hatyai Festival).
  • Tidur

 

Hari Kedua

  • Bertolak ke Hatyai Airport
  • Berlepas daripada Hatyai Airporat ke Bangkok
  • Mengambil Kereta Sewa
  • Makan Tengah Hari dan Solat di Bangkok Islamic Center
  • Check In Sawasdee Hotel
  • Menaiki “Cruise Boat” di Sg Mekong
  • Jalan-jalan Asiatique Market
  • Pulang ke Hotel
  • Tidur
  • Hari Ketiga
  • Check Out
  • Bergerak ke Pattaya
  • Pulang ke Bangkok
  • Check In Hotel
  • Bertolak ke Siam Paragon menaiki LRT
  • Makan Malam di Arab Street berdekatan Hotel
  • Pulang ke Hotel
  • Tidur

 

Hari Keempat

  • Bergerak ke Kwan-Riam Floating Market
  • Menaiki Bot Menelusuri Sungai
  • Pulang ke Hotel
  • Bergerak ke Chatuchak Market
  • Pulang ke Hotel
  • Makan Malam di Arab Street berdekatan Hotel
  • Pulang ke Hotel
  • Tidur

 

Hari Keempat

  • Bertolak ke Airport
  • Terbang ke Hatyai
  • Membeli Belah di Danok
  • Pulang ke Alor Setar

 

Posted in Thailand, Travel | Tagged , , , , , | Tinggalkan komen

TIP PERJALANAN SEHARI KE HATYAI DARI ALOR SETAR

20160805_082716

Saya cuba mengajak beberapa orang rakan-rakan pejabat untuk masuk ke Hatyai. Tujuannya hanya satu untuk menunjuk jalan kepada mereka. Walaupun Kedah berjiranan dengan wilayah Songkhla, Thailand tetapi ramai yang tidak pernah ke Songkhla kerana takut. Takut kena bom kata mereka.  Pernah saya menceritakan kepada seorang teman di Pattani berkaitan dengan ketakutan rakyat Malaysia untuk ke Thailand terutamanya takut “Bom”. Mereka menjawab mudah, kalau banyak bom kami semua pun dah mati.

Jarak diantara Hatyai dengan Alor Setar lebih kurang 120 kilometer. Di dalam perjalanan kali ini kami berkonvoi sebanyak 3 buah kereta iaitu Proton Exora, Proton Waja dan Honda City. Kos penggunaan minyak Proton Exora pergi balik Jitra- Samila Beach- Hatyai – Jitra sebanyak RM 50 dan Honda City sekitar RM 30.

Merancang Perjalanan

Sebelum bergerak masuk ke Hatyai. Kami membuat perbincangan terlebih dahulu samaada mahu masuk ke sana melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam atau pun pintu masuk Durian Burung. Sekiranya masuk melalui Durian Burung, destinasi pertama yang akan dilawati adalah Sakom Beach dan Soi Sawan Beach. Sekiranya masuk melalui Bukit Kayu Hitam kami akan terus menuju ke Songkhla melalui Ko Yo Island dan menaikit feri untuk melintasi teluk menuju ke Samila Beach. Selepas berbincang, kami memilih untuk masuk melalui Bukit Kayu Hitam.

Di galakkan juga kepada yang belum pernah masuk untuk membuat “marking” tempat yang ingin dilawati di dalam google map bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan. Sebaik tiba dipekan Danok belilah sim kad Thailand bagi memudahkan kita mengakses internet untuk menggunakan google map. Selain itu, perisian map offline juga boleh digunakan untuk perjalanan ini.

peta

Laluan Bukit Kayu Hitam untuk ke Songkhla – Hatyai

Destinasi 1 : Ko Yo Island

20160805_105212

Selepas selesai urusan disempadan, kami terus memecut menuju ke Songkhla. Kami memilih jalan luar dan tidak melalui jalan dalam Bandar Hatyai bagi mengelakkan kesibukkan. Setibanya di simpang empat Hatyai kami membelok ke sebelah kiri untuk mengambil “jalan luar” yang lebih selesa kerana tidak mempunyai banyak kereta dan lampu isyarat.

Setibanya di Ko Yo Island kami singgah sebentar di pelantar ditepi Tasik Songkhla untuk menikmati kudapan pagi yang dibawa seperti roti planta, ketupan dan rendang serta air kotak milo.

Di Ko Yo Island terdapat sebuah muzium di atas bukit yang cukup indah permandangannya. Kami tidak masuk ke muzium tersebut kerana tiketnya agak mahal iaitu 100 Bath (RM10) seorang memandangkan perjalanan kami adalah perjalanan  bajet.

Destinasi 2 : Terminal Feri

20160805_113239

Selesai minum pagi, kami meneruskan perjalanan ke terminal feri berdekatan dengan perlabuhan Songkhla. Sememangnya kita boleh terus ke Samila Beach tanpa melalui Ko Yo Island dan menaiki feri melintasi Tasik Songkhla, tetapi lebih menarik sekiranya kita mencari sesuatu yang lain dari kebiasaannya. Tambang feri yang dikenakan untuk setiap buah kereta adalah sebanyak 20 bath (RM2).

Destinasi 3 : Dataran Memorial

IMG_1712

Sebaik turun dari feri, sebagai panduan kita perlu membelok ke kiri untuk menuju ke Samila Beach. Tidak jauh dari terminal feri, terdapat tapak monumen bersejarah dimana terdapat replika Naga Besar dan Tugu Tokoh Thailand.

20160805_114208

Selalunya di sini para pelancong mengambil kesempatan mengambil gambar tanda sudah sampai ke pantai Songkhla ini.

Destinasi 4 : Tang Kuan Hill

20160805_120610

Selepas selesai bergambar, kami bergerak menuju ke Tan Kuan Hill. Bukit Tang Kuan ini berada tidak jauh daripada simpang empat untuk ke Samila Beach daripada tapak memorial yang kami lawati sebelum ini. Ketika sampai disimpang empat tersebut, kita perlu terus untuk sampai ke Tang Kuan Hill iaitu lebih kurang 500 meter daripada persimpangan.

Tang Kuan Hill merupakan bukit yang menempatkan tempat ibadat masyarakat Buddha Thailand dan mempunyai permandangan yang menarik ke arah Laut Cina Selatan dan kawasan Bandar Songkhla. Ianya mempunyai kereta kabel seperti di Bukit Bendera tetapi jarak perjalanannya lebih pendek. Tambang yang dikenakan adalah sekitar 40 bath (RM4).

Destinasi 5 : Samila Beach

IMG_1768

Selesai sahaja menuruni  Tang Kuan Hill, kami menuju ke Samila Beach. Di Samila Beach kami berkelah memakan bekal yang dibawa. Kami membawa bekal bagi menjimatkan perbelanjaan kerana dengan jumlah seramai 14 orang tidak mustahil kos makan tengah hari  begitu mahal. Namun begitu, jangan risau kerana berdekatan Samila Beach terdapat banyak restoren makanan Islam yang ada ditepi pantai Samila Beach. Kami kemudiannya mengambil gambar di tepi pantai Songkhla dimana terdapat replika patung kucing dan patung ikan Duyung yang menjadi mercu tanda Samila Beach.

Destinasi 6 : Aquarium Songkhla

Selesai bergambar kami menuju ke Aquarium Songkhla. Namun begitu kami hanya melewati di sebelah luar kerana kehabisan bajet untuk membeli tiket masuk. Mungkin kerana kumpulan kami merupakan kumpulan orang dewasa dan pernah memasuki Under Waterworld di Langkawi menyebabkan masing-masing tidak mahu masuk ke Aquarium Songkhla ini.

Destinasi 7 : Zoo Songkhla

IMG_1796

Destinasi seterusnya yang sesuai dirancang selepas bersantai di Samila Beach adalah di Zoo Songkhla. Apa yang lebih menarik di sini adalah kita boleh membawa kereta masuk dengan hanya bayaran sebanyak 50 bath (RM5). Tiket masuk bagi dewasa adalah 150 Bath (RM15) dan kanak-kanak 100 bath (RM10).

Di dalam Zoo Songkhla, terdapat taman tema air yang mempunyai kolam renang yang menarik untuk anak-anak dan ibu bapa.

Destinasi 7 : Pusat Islam Songkhla

Selesai kami menjelajah Zoo Songkhla dengan menaiki kereta, kami beralih untuk Pusat Islam Songkhla yang terletak tidak jauh daripada Khlong Hea (Floating Market @ Pasar Sampan). Di Pusat Islam Songkhla kami mandi terlebih dahulu dan solat jamak takhir untuk waktu solat Asar dan Zohor.

Destinasi 8 : Khlong Hea (Floating Market @ Pasar Sampan)

IMG_1877

Selesai solat, kami membuat pusingan U-Turn menuju ke Floating Market. Kadar bayaran parking yang dikenakan adalah 20 Bath (RM2). Kami membeli belah disekitar Khlong Hea dan ketika itu jam sudah menunjukkan 6.30 petang waktu Malaysia.

Memandangkan waktu sudah lewat, kami membatalkan hasrat menuju ke Hatyai Market dan terus pulang ke Bukit Kayu Hitam. Kalau kami bermalam mungkin sempat, tetapi disebabkan tidak bermalam kami perlu bergerak pulang lebih awal bagi mengelakkan pintu ditutup untuk kami keluar.

20160805_163408

Destinasi 9 : Tesco Lotus Sadao

Sebaik sampai di Sadao, kami singgah di Tesco Lotus Sadao. Kami membeli beras pulut di Tesco memandangkan harganya yang lebih murah daripada pecan Danok. Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam 30 minit untuk membeli belah dan solat jamak bagi waktu Maghrib dan Isya di surau yang disediakan.

Destinasi 10 : Restauran Nurlaila, Dannok

20160805_210250

Sebaik selesai, kami bergerak menuju ke pekan Dannok dan singgah makan malam di Restoren Nurlaila. Kami membuat tempahan 6 ekor Ikan Loban masak merah, Tom Yam Campur dan Kerabu Mempelam. Manakala daging bakar yang begitu popular dalam kalangan pengunjung Malaysia habis. Kempunan daging kami pada malam tersebut. Jumlah yang perlu dibayar untuk 14 orang makan pada malam tersebut adalah RM 245.

Usai makan, kami membeli belah disekitar pekan Dannok dan seterusnya bergerak pulang ke Alor Setar.

Tentatif Perjalanan Sehari dari Alor Setar ke Songkhla (Di cadangkan membuat perancangan awal dan meneliti laluan jalan pergi dan balik supaya lebih efisien)

BC

Bergerak jam 7.00 Pagi di Alor Setar

Destinasi Lawatan

  • Ko Yo Island
  • Terminal Feri Songkhla
  • Dataran Memorial
  • Tang Kuan Hill
  • Samila Beach
  • Aquarium Songkhla
  • Zoo Songkhla
  • Pusat Islam Songkhla
  • Pasar Terapung (Khlong Hea)
  • Tesco Lotus (Tiba di danok jam 7 petang)
  • Restoran Nurlaila

Tiba di Jitra jam 11.30 Malam

Posted in Thailand, Travel | Tagged , , | Tinggalkan komen

JOM UMRAH 2016/2017

IMG-20160812-WA0011 (1)

UMRAH DARI NOVEMBER 2016 HINGGA JUN 2017?

Sebelum nak buat keputusan nak pi dgn Travel mana, mai nak bagitau….

TAWARAN DARIPADA AZZUHA TRAVEL YG TAK PATUT ANDA LEPASKAN UMRAH 2016/2017….SERIUS!!!!

Apa dia?
Ni nak kongsi dan share dgn semua…mmg best.

1. Subsidi 50% harga tiket flight ke KLIA@bas FREE. Mai kita bincang lanjut nak tau macam mana.

2. Kain ihram dan telekung PERCUMA, selain 3 biji beg..beg tarik, beg sandang, beg tangan (Mengikut pakej)

3. Pakej “TAK PENAT”. Sebab pergi ikut Jeddah…balik ikut Madinah atau Pi kot Madinah balik kot Jeddah. Salah satu. Flight direct dari KLIA ke Jeddah@Madinah.

4. Istimewa modul “koreksi hati” mencari kebahagian diri, keluarga dan kerjaya.

Setahu saya, susah nak dapat keistimewaan macam ni…..Dato’/Datin/ Tuan/Puan boleh cari tengok.

 

Utk info lanjut boleh hubungi Saya :

Ust Faisal 0194570666
Ust Faisal 0194570666

Email : ustfaisal@gmail.com

Posted in Umrah | Tagged , , | Tinggalkan komen

LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH : PENCERAHAN BERDASARKAN UNDANG-UNDANG DI NEGERI KEDAH DARUL AMAN

 

Di dalam kekalutan masyarakat berbincang berkenaan dengan boleh atau tidak zakat dan zakat fitrah dibayar terus kepada asnaf, seorang sahabat telah tag saya difacebook supaya memberi ulasan berkenaan dengan isu tersebut. Saya membalas dengan jawapan perlukan masa yang lebih lama bagi tujuan membuat sedikit kajian berkaitan dengan hal tersebut. Mungkin saya tidak akan menjawab persoalan sah atau tidak kerana jawapan berkaitan dengan hukum tersebut hanya layak dijawab oleh mufti, tetapi sebagai pencerahan kenapa institusi zakat di tubuhkan di Negeri Kedah saya akan cuba untuk menjawab persoalan tersebut.

Sebelum memberi respon, saya cuba menbuat rujukan kepada undang-undang dan pendapat para ulama di dalam membincangkan hal tersebut. Selain itu apabila berbincang berkaitan dengan ibadah zakat, saya lebih gemar merujuk kepada perbahasan yang dibawa oleh Dr. Yusof Al Qardhawi di dalam karya beliau iaitu Fiqh Zakat dan Bagaimana Mengatasi Masalah Ekonomi Dalam Islam serta beberapa penulisan daripada tokoh agama mutakhir ini. Ini bagi membolehkan, perbincangan berkaitan dengan hukum dan tata kelola zakat dihurai dengan lebih praktikal berdasarkan nas dan sirah.

SIAPAKAH ULUL AMRI YANG MENGURUSKAN ZAKAT DI NEGERI KEDAH

Di memahami isu ini, kita wajib mentaati arahan pemerintah selagi mana arahan tersebut tidak bercanggah dengan Al Quran dan Sunnah. Tuntutan ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah An Nisa ayat 59 :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulil amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu”.

Merujuk kepada perbincangan oleh Dr Zulkifli Al Bakri (2015), salah satu daripada maksud ulil amri adalah para penguasa yang sah berdasarkan pendapat Abu Hurairah, Ibnu Abbas dan Ibnu Zaid R.A.

Merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, di dalam Fasal 33 B memperuntukkan bahawa raja adalah Ketua Agama Negeri bagi Negeri Kedah Darul Aman. Baginda mempunyai bertanggungjawab kepada hal ehwal pentadbiran agama di Negeri Kedah Darul Aman seperti yang diperuntukkan Perenggan 1 dalam Senarai 2 (Senarai Negeri Jadual 9) Perlembagaan yang termasuk di dalamnya hal berkaitan dengan pengurusan zakat dan zakat fitrah.

Oleh itu, dalam konteks pentadbiran hal ehwal agama khususnya zakat di Negeri Kedah, ulil amri yang bertanggungjawab menguruskan hal tersebut adalah KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman. Dengan kuasa yang diperuntukkan ini, Baginda telah menubuhkan sebuah Lembaga yang dinamakan Lembaga Zakat Negeri Kedah seperti di dalam 4 (1) Suatu pertubuhan perbadanan bernama “Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman” ditubuhkan untuk membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan zakat dan zakat fitrah.

Di dalam menguruskan lembaga ini, keahlian lembaga adalah individu beragama Islam dengan syarat majoriti ahli mesyuarat terdiri daripada kalangan ahli agama yang mahir di dalam hukum dan undang-undang zakat dilantik oleh ulil amri iaitu KDYMM Sultan Negeri Kedah. Perlantikan juga tidak melibatkan individu yang terlibat secara langsung dengan politik bagi mengelakkan masyarakat memandang seorang terhadap institusi zakat di Negeri Kedah.

Oleh itu, tanggapan masyarakat berkaitan dengan ulil amri dalam hal ehwal pentadbiran zakat di Negeri Kedah yang dirujuk kepada kerajaan pentadbiran negeri yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya adalah salah.

Ini kerana, ulil amri yang sah menurut undang-undang di Negeri Kedah di dalam hal ehwal pengurusan agama Islam khususnya pentadbiran zakat adalah dibawah bidang kuasa Sultan Negeri Kedah. Baginda sebagai ulil amri berkuasa memberikan arahan berkaitan dengan urusan kutipan dan agihan zakat kepada rakyat jelata di Negeri Kedah.

LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH SEBAGAI AMIL RASMI MEWAKILI ULIL AMRI

Di dalam enakmen Lembaga Zakat Negeri Kedah 2015 telah memperuntukkan bahawa Lembaga boleh melantik kakitangan dana amil sebagai amil rasmi mewakili KDYMM Sultan Kedah bagi melaksanakan tugasan mengutip dan mengagih zakat di Negeri Kedah Darul Aman.

Pengambilan kakitangan bermula dengan proses pengiklanan dan temuduga dan kemudiannya calon yang perlu terlebih dahulu disahkan di dalam Mesyuarat Lembaga Zakat Negeri Kedah yang mana minit mesyuarat tersebut akan dibawa menghadap KDYMM Sultan Kedah bagi tujuan diperkenankan. Selepas diperkenankan tersebut, maka sahlah keputusan pelantikan kakitangan di Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Tugasan yang dijalankan oleh para amil ini adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang. Namun begitu, tidak dapat dinafikan, tugasan yang diamanahkan ini amat besar tanggungjawab dan kurang disenangi oleh masyarakat sebagai mana Sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Atiq :

“Akan datang dihadapanmu kelak para petugas zakat yang dibenci. Oleh itu, apabila mereka datang kepada kamu, maka sambutlah mereka dan berilah mereka kesempatan melakukan tugasnya. Apabila mereka jujur dalam menjalankan tugas, maka mereka akan mendapat pahala, sebaliknya apabila mereka berlaku zalim mereka berdosa. Sesungguhnya kesempurnaan zakat kamu adalah kerana kerelaan mereka dan mereka mendoakan kamu”. Hadis Riwayat Abu Daud

Syeikh al-Islam Ibnu Hajar Al Asqalani di dalam kitab Fathul Bari mengemukakan pendapat bahawa Imam yang berkuasa adalah mereka yang paling berhak untuk mengelola harta zakat, mengambil dan mengagihkan kepada asnaf yang layak menerimanya.

Berdasarkan perbincangan ini, amil zakat yang menjalankan tugasan mengutip dan mengagih zakat merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan oleh Sultan selaku ulil amri, bukannya kerajaan yang diangkat melalui proses pengundian dan mentadbir negeri Kedah seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.

Sehingga kini, LZNK masih terus mengekalkan identiti sebuah badan pengurusan zakat yang berada terus dibawah KDYMM Sultan Negeri Kedah tanpa terikat dengan mana-mana pihak yang berkepentingan berbantukan para ilmuan Islam di Negeri Kedah.

ADAKAH ULIL AMRI DI NEGERI KEDAH BERTEPATAN DENGAN KEHENDAK ISLAM

Terdapat golongan yang berpendapat bahawa ulil amri yang tidak melaksanakan undang-undang Islam adalah ulil amri yang tidak wajib ditaati.

Namun di dalam konsep negara berperlembagaan, perlaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh adalah tertakluk kepada bidang kuasa yang diberikan oleh kerajaan persekutuan di dalam perlembagaan. Oleh itu tidak wajar sekiranya, apabila ianya tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh diperingkat negeri maka kita terus menolak peranan ulil amri kerana dikatakan tidak bertepatan dengan syarak.

Di dalam konteks Negeri Kedah, Tuanku Sultan Negeri Kedah telah menjalankan amanah dengan dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Kedah melalui agensi yang berkaitan seperti Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan seterusnya Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman.

Oleh itu hujah yang mengatakan tidak wajib membayar zakat kepada ulil amri di Negeri Kedah Darul Aman tidak menjalankan undang-undang Islam secara menyeluruh adalah tertolak kerana Tuanku Sultan Negeri Kedah selaku ulil amri di dalam hal ehwal agama, mentadbir hal hal ehwal agama dengan baik setakat bidang kuasa yang diberikan oleh perlembagaan persekutuan.

Baginda tidak pernah melarang bahkan menggalakkan aktiviti keagamaan di negeri Kedah dan menyokong pertumbuhan institusi agama seperti pondok, sekolah agama dan sebagainya.

SARANAN MEMBAYAR ZAKAT MELALUI ULIL AMRI

Tidak dapat dinafikan, perbahasan berkenaan dengan kewajipan berzakat kepada ulil amri begitu panas mutakhir ini. Isu ketidak yakinan pembayar kepada institusi zakat dan pemerintah iaitu ulil amri tidak melaksanakan hukum Islam menjadi sebab kepada hujah membolehkan wang zakat diberikan terus kepada asnaf.

Menurut Dr Yusof Al Qardhawi, pengumpulan harta zakat tidak boleh dibuat secara individu. Hal demikian kerana zakat bukanlah suatu kewajipan bersifat individu tetapi ianya adalah suatu sistem yang bertujuan mendidik masyarakat dimana tata kelolanya diserahkan kepada pihak pemerintah.

Muaz Bin Jabal ketika dihantar oleh Nabi S.A.W telah mengarahkan supaya zakat dikutip daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. Arahan melaksanakan proses mengutip dan mengagih ini mengisyaratkan kepada perlunya ada tenaga khusus yang menjalankan kutipan tersebut bukannya diserahkan begitu sahaja oleh pembayar kepada sesiapa yang dikehendaki mereka.

PENDAPAT PARA SAHABAT

Dr Yusof Al Qardhawi di dalam buku Bagaimana Mengatasi Masalah Ekonomi Dalam Islam membawa beberapa kisah yang menyokong berkaitan dengan tanggungjawab menyerahkan zakat kepada pemerintah.

Sahal Bin Abu Soleh meriwayatkan daripada ayahnya, beliau berkata “ Ada seseorang yang mempunyai sejumlah harta yang bercampur dengan sedekah sudah mencapai nisab zakat.

Dia kemudiannya bertanya kepada Sa’ad Bin Abi Waqqas, Ibnu Umar, Abu Hurairah, Abu Said Al Khudri mengenai masalah zakatnya samaada dibahagikan sendiri kepada fakir atau diserahkan kepada penguasa? Kemudian mereka semua menyatakan bahawa zakat tersebut perlu diserahkan kepada penguasa dan tidak seorang pun antara mereka yang berselisih pendapat berkaitan dengan perkara ini.

Di riwayatkan oleh Mughirah Bin Syu’bah bahawa dia pernah bertanya kepada hambanya yang diberikan tugas menguruskan hartanya di Taif, “Bagaimana cara kamu mengeluarkan zakat hartaku”, tanya Mughirah.

Jawab pembantu tersebut, “Sebahagian saya bahagikan sendiri kepada fakir miskin manakala sebahagian yang lain saya serahkan kepada penguasa”.

Al Mughirah berkata : “Mengapakah engkau melakukan perkara demikian?”. Pembantu tersebut menjawab,

“Sesungguhnya mereka menyeleweng harta zakat untuk membeli tanah dan menggunakan duit zakat untuk berkahwin dengan seorang perempuan”.

Kemudian Al Mughirah berkata kepadanya, “Serahkanlah semua harta zakat itu kepada mereka kerana Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk menyerahkan zakat kepada mereka (yakni pemerintah). Di riwayatkan oleh Al Baihaqi di dalam sunan al Kubra.

POLEMIK MENARA ZAKAT HASIL SALAH GUNA WANG ZAKAT

Salah satu isu yang digunakan di Negeri Kedah untuk mengelakkan membayar zakat adalah pembinaan Menara Zakat yang dikatakan menggunakan duit zakat dan tiada kegunaanya. Berkaitan pembinaan Menara Zakat Kedah yang dikatakan tidak berfaedah dan membazir.

Oleh masyarakat ini, pembinaan ini sebenarnya menggunakan dana pinjaman tanpa faedah daripada kementerian kewangan jaminan kerajaan Negeri Kedah Darul Aman tempoh bayaran balik selama 10 tahun dan diberi tempoh bertenang selama 3 tahun pertama pembinaan siap.

Bayaran balik pinjaman Menara Zakat adalah menggunakan hasil sewa daripada penyewa di Menara Zakat KWSP, LHDN dan pelbagai jabatan yang mendiami Menara Zakat pada ketika tanpa menggunakan wang kutipan zakat. Selepas selesai pembayaran balik, kini hasil kutipan sewa diagihkan balik kepada lapan asnaf dan Menara Zakat menjadi hak umat Islam di Negeri Kedah Darul Aman.

Sekiranya para ulama pada ketika itu tidak berani berijtihad berdasarkan hukum syarak untuk membuat pinjaman dan membina Menara Zakat, tidak mustahil pada hari ini Lembaga Zakat Negeri Kedah akan menumpang di mana-mana pejabat ataupun menjadikan rumah kedai sebagai bangunan pejabat. Mendiami bangunan seperti hidup segan, mati tak mahu juga mungkin akan menjadikan institusi Zakat Kedah ditohmah sebagai tidak profesional, tidak mempunyai imej dan sebagainya.

Keputusan berani ini sebenarnya membawa keuntungan kepada umat Islam dimana tanpa mengeluarkan modal, Menara Zakat dapat dibina hasil wang kerajaan persekutuan dan membayar balik pinjaman menggunakan wang kerajaan persekutuan juga iaitu hasil sewa daripada agensi persekutuan pada ketika itu.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, sekiranya digunakan hujah ulil amri tidak bertepatan dengan syarak dan penyalahgunaan wang zakat bagi membina bangunan yang tinggi menjadi asas kepada penolakan pembayaran zakat kepada agensi yang diamanahkan oleh Sultan Negeri Kedah, maka pendapat tersebut tidak berasas semata-mata.

Dan sekiranya hujah bahawa ulil amri iaitu Sultan Negeri Kedah tidak perlu ditaati kerana tidak melaksanakan hukum Islam secara menyeluruh, soalan ini dilontarkan kembali kepada yang menimbulkan isu ini iaitu sejauh mana mereka menghormati dan mentaati pemerintah iaitu KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

Soal hukum sah atau tidak zakat dibayar terus kepada asnaf, mungkin boleh dirujuk kepada pihak sewajar seperti Jabatan Mufti Negeri Kedah kerana saya bukannya ahli hukum.

Hal ini kerana, artikel ini sekadar memberi pencerahan bahawa asas kepada melaksana kutipan dan agihan zakat di Negeri Kedah adalah dibawah seliaan dan bidang kuasa KDYMM yang merupakan pemerintah agama di Negeri Kedah yang wajib ditaati selagi mana tidak bertentangan dengan hukum syarak. Konteks perbincangan ini hanyalah berdasarkan realiti di Kedah semata-mata.

Mungkin artikel ini tidak digemari oleh golongan anti monarki, tetapi perbahasan ini adalah berdasarkan kepada peruntukkan undang-undang yang diguna pakai di Negeri Kedah Darul Aman.

Mohd Faisal Mustaffa

Pengurus Besar

Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia
Lembaga Zakat Negeri Kedah

#zakatfitrah #ulilamri #zakatdanpemerintah #persoalanbayarzakat #agihsendiri #menarazakat

Wallahu a’lam.

Posted in Organisasi | Tagged , , | Tinggalkan komen