“Alhamdulillah selesai untuk hari ini…..Terima kasih diucapkan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang telah menaja saya dan rakan2 belajar di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara. Dan tidak lupa juga kepada pembayar-pembayar zakat”, status Fakhri Yusof, pelatih yang bergraduasi bagi Program Latihan Belia Asnaf melintasi di dinding laman facebook saya.
Walaupun saya tidak mengenalinya, tetapi terasa puas melihat kejayaan beliau. Saya tidak hadir ke majlis tersebut, tetapi saya dapat merasai erti sebuah kebahagiaan dalam majlis tersebut. CEO Zakat dan warga LZNK sudah tentu gembira. Para pembimbing ABM juga sudah pasti gembira. Semua pelatih juga mesti gembira.
Dihati kecil saya berbisik, “Walaupun mereka gembira, tetapi insan yang lebih gembira pada saat tersebut adalah ibu bapa. Saat-saat melihat anak mereka menerima sijil tamat pengajian”.
Tiada yang lebih bahagia dalam hidup, melainkan kita membahagiakan orang yang banyak memberi kepada kita dalam kehidupan kita. Sudah tentulah orang yang paling banyak memberi kepada kita dalam kehidupan kita iaitu ibu dan ayah.
Dalam hari graduasi ini, apabila seorang anak naik menerima segulung ijazah. Saat anak tersebut berjalan di atas pentas, si ibu dan ayah akan tersenyum puas. Tidak kurang yang mengelap air mata kerana kegembiraan. Manusia itu menangis kerana dua keadaan. Pertama kerana kesedihan. Keduanya kerana terlalu gembira yang tiada tertahan.
Mungkin dalam kehidupan, mereka jarang menangis kerana kegembiraan. Kerana kedukaan juga mungkin tidak. Kerana, kesusahan itu sudah sebati dengan hidup mereka. Apa yang hendak ditangisi, kerana apa yang berlaku itu adalah asam garam hidup mereka.
Jiwa golongan asnaf lazimnya kental dengan kemiskinan dan kesedihan, tetapi sebahagiannya kalah dengan penghargaan. Apabila mereka dihargai, mereka akan menitiskan air mata. Di saat-saat ada orang yang menghulurkan bantuan, mereka menitiskan air mata.
Di saat-saat anak mereka bergraduasi juga, mereka menitiskan air mata kerana merasakan diri mereka dihargai. Air mata yang mengalir seolah-oleh mereka berasa bebanan yang ditanggung selama ini terburai.
Andai kegembiraan ini dikongsi dan disaksi oleh para pembayar zakat mereka juga sudah tentu akan menikmati kebahagiaan. Di samping menunaikan zakat sebagai kewajipan, tetapi dalam masa yang sama mereka mampu membahagiakan orang lain tanpa mereka ketahui.
Alhamdulillah, pelatih yang bergraduasi juga telah berjaya mendapat tempat dalam bidang masing-masing. Semoga kerjaya yang mereka berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, dan lebih daripada itu semoga mereka berjaya menjadi pembayar zakat dimasa akan datang untuk membantu golongan yang lebih memerlukan. Bagi keluarga asnaf, pengiktirafan ini adalah suatu sinar baharu buat mereka sekeluarga.
Saat menulis artikel ini, dua kali saya terhenti menahan sebak dan linangan air mata. Tidak tergambar saat kebahagiaan ibu dan bapa ketika menerima penghargaan pada hari graduasi ini.
Tergambar wajah mak dan ayah saat menulis tulisan ini. Lantas saya berhenti menulis lalu menelefon mereka.
Tahniah kepada Tuan Syeikh Zakaria Othman.
Tahniah En Ridzuan Ahmad dan tim Agihan khususnya tim Kapten (B) Abdul Nasir Hasan dengan Pembangunan Asnaf atas program yang dijalankan.
Tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya.
Terima kasih juga kepada warga ABM.
Terima kasih kepada pembayar zakat.
Faisal Mustaffa
19 November 2018
#pembangunanasnaf
#zakatkedah
#jomzakat