Ketika ditingkatan 5, saya dibawa oleh sahabat saya Idris pada ketika itu untuk bersolat Jumaat di masjid kampung beliau, iaitu Masjid Lubuk Kawah. Menurut sahabat saya, sekiranya bernasib baik kami akan mendengar khutbah daripada Ust Mat Isa, seorang ustaz yang begitu petah dan sedap khutbahnya.
Kebetulan pada minggu tersebut sememangnya Ust Mat Isa yang berkhutbah. Saya tidak pernah mengenali beliau, tetapi sempat juga mendengar khutbah beliau yang saya kira dengan lenggok bahasa dan kiasan khutbah adalah begitu sedap didengar. Sindiran lembut masih terngiang-ngiang sehingga kini.
Sahabat saya Idris pada ketika itu juga sudah mula berkhutbah. Memandangkan dia pemidato sekolah menyebabkan dia lebih cepat untuk berdiri dengan lebih konfiden bagi berkhutbah dikhalayak ramai.
Saya pernah mencuba secara “acah-acah” bersendirian ketika di tingkatan 5. Tetapi tidak menjadi dan terus tidak mencuba. Tetapi semangat tidak pernah padam. Saya begitu kagum apabila mendengar khutbah naqib saya, Ust Dzulkhairi Md Nor ketika zaman belajar, khutbah sahabat saya, Ust Idris Yusof dan khutbah Ust Rodhi Abu Bakar. Selain itu, kekaguman kepada kepetahan arwah Ustaz Ahmad Puad Helmi ketika berkhutbah di Masjid Mergong dan khutbah Ust Rushdan Azizan di Masjid Alor Merah yang didengari ketika zaman persekolahan juga membawa satu keinginan yang membuak dalam diri ini.
Bahasa khutbah mereka tersusun cantik dan lontaran suara lantang tetapi bukan menjerit-jerit seperti mahu pecah kerongkong. Saya tidak suka khutbah yang menjerit-jerit walaupun mungkin ada yang minat begitu. Kerana kadang-kadang agak menyakitkan telinga.
Tahun ini, lebih kurang 13 tahun selepas mendapat inspirasi dari khutbah Allayarham Ust Mat Isa di Masjid Lubuk Kawah, saya diberi peluang berkhutbah di Masjid Lubuk Kawah. Hari ini merupakan bulan keempat. Bermakna sudah empat kali berkhutbah disitu.
Pernah menolak diperingkat awal, tetapi terpaksa mengalah juga menerima jemputan selepas beberapa kali menolak jemputan. Ini kerana di masjid tersebut audiennya adalah pelbagai latar dan terdiri daripada alim ulama besar.
Kali pertama berkhutbah disitu, dihadapan mimbar di saff pertama ada Allahyarham Prof Madya Dato’ Abdul Aziz Hanafi dan Tok Guru Hj Md Rejab, Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Kedah.
Dari atas mimbar kelihatan ramai ustaz-ustaz dan tok-tok guru pondok. Ini kerana sudah menjadi tradisi masjid tersebut menjadi tumpuan masyarakat di Kubang Pasu dan Alor Setar setiap kali hari Jumaat. Faktornya adalah disebabkan lazimnya khutbah yang dihidangkan adalah segar dan bertenaga.
Agak sukar sebenarnya, tetapi saya cuba gagahi. Gugup, gementar. Semuanya ada.
Apa yang saya buat? Saya perlu bersedia.
Setiap kali berkhutbah, saya akan merangka 1 teks berdasarkan tema daripada teks Jabatan Agama mahupun isu yang ingin disampaikan.
Hanya ayat Al Quran dan hadis yang dicatatkan didalam microsoft office untuk diprint. Manakala huraian dikembangkan dengan pen diatas kertas tersebut.
Selepas siap merangka teks, saya akan cuba berkhutbah seorang diri berkali-kali sehingga merasakan isi khutbah sudah tersusun dan masa yang ditetapkan adalah 20 minit. Tidak lebih dari masa yang diperuntukkan. “Short but sweet”, kata orang putih. 🙂
Kemudiannya, untuk kali yang terakhir rakaman akan dibuat menggunakan handphone. Saya akan mengulang-ulang mendengar khutbah tersebut samaada didalam kereta mahupun ketika membuat kerja dipejabat. Sekiranya ada kekurangan saya akan membuat penambahbaikan dari segi intonasi dan penambahan idea-idea baharu yang lebih bersifat setempat dan sesuai dengan audiens.
Itulah yang dibuat setiap kali berkhutbah. Sehingga kini, saya masih belajar dan terus belajar. Ketika berkhutbah bulan lepas, mendapat sedikit teguran daripada guru saya. Pada hari ini ketika menyampaikan khutbah jumaat, saya lebih berhati-hati dan memperbaiki teguran tersebut.
Saya teringat pesan guru saya didalam bidang latihan, Ustaz Pahrol Md Juoi.
“Bercakap ini perlukan jam kredit. Lagi banyak berceramah lagi cepat kita mahir”.
Antara lain pesan beliau,
“Sebelum kita cekap berceramah seperti diri kita. Tiru orang lain yang mana kita suka. Selepas itu jadi diri kita kembali”.
Kelemahan saya adalah membaca teks. Disebabkan kekalutan dikhuatiri tersangkut. Sebab itulah terpaksa berkhutbah secara spontan kecuali pada ayat Quran dan Hadis sahaja merujuk kepada teks kerana dikhuatiri silap.
Saya masih belajar dan akan terus belajar!.