Slot Bersama Pelajar Tingkatan 5 SBPI Kubang Pasu

image

Bersama Pelajar SBPI Kubang Pasu dalam merancang kerjaya masa hadapan.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Catatan Perjalanan Percutian Ke Ao Nang, Krabi dan Phuket : Tips Asas Persediaan Sebelum Bercuti

IMG_1682

Percutian yang dirancang sememangnya sesuatu yang menyeronokkan dan menjimatkan. Baru-baru ini saya sempat bersama ahli keluarga dan seorang teman bercuti ke Krabi dan seterusnya ke Phuket sempena cuti Hari Raya Aidil Fitri. Rancangan untuk ke sana dibuat secara spontan yang akhirnya turut disertai oleh kawan kepada biras saya. Berdasarkan pengalaman bermusafir ke sana selama 3 hari 2 malam.

Selepas pulang dari percutian ini, teringin untuk saya kongsikan berkenaan persiapan-persiapan asas yang perlu oleh orang baru yang ingin bercuti ke sana. Mungkin tulisan ini tidak bermanfaat bagi orang yang sudah biasa ke sana, tetapi bagi yang ingin menjejakkan kaki kali pertama ke sana dengan kenderaan sendiri, saya yakin tulisan ini sedikit sebanyak membantu anda.

Tempahan Hotel Melalui Agoda

13

  
Bilik Smile Hotel (Ihsan web Smile Hotel)

Langkah pertama untuk memulakan trip ini adalah dengan melayari blog-blog yang menceritakan pengalaman mereka ke Krabi. Sedikit sebanyat catatan tersebut membantu kami terutama dari sudut jalan yang perlu dilalui. Tambahan pula tiada seorang pun dari kalangan kami yang berpengalaman dan tahu selok belok jalan untuk ke sana. Paling jauh hanya setakat hatyai sahaja.

Selepas mendapat maklumat berkenaan Krabi, kami mula mencari hotel yang bersesuaian dengan kadar harga yang berpatutan melalui laman Agoda. Selepas membuat perbandingan, kami memilih untuk menempah Smile Hotel yang berada di kawasan Ao Nang Beach. Harga yang ditawarkan adalam RM55.00 semalam. Kos keseluruhan bagi 4 buah bilik untuk 2 malam adalah sekitar RM 499.00 termasuk cukai perkhidmatan. Apabila kami tiba ternyata kondisi hotel tersebut cukup baik dan sesuai untuk seisi keluarga. Katilnya agak besar dan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan hotel bajet di Malaysia.

Penyediaan Dokumen Perjalanan

Pada mulanya kami merancang untuk menggunakan pas lawatan sempadan sahaja (border pass) kerana kosnya yang rendah iaitu RM10.00 bagi sekeping border pass. Namun begitu, selepas disemak dengan rakan-rakan, border pass hanya boleh digunakan lima wilayah di selatan Thai iaitu Songkhla, Satun, Yala, Narathiwat dan Pattani. Wilayah Krabi tidak termasuk di dalam syarat yang diluluskan oleh pihak berkuasa Thailand ini.

Walaupun sebenarnya boleh juga sekiranya kami mahu menggunakan border pass, tetapi memikirkan risiko yang akan ditanggung sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa Thailand, kami memutuskan untuk membuat passport antarabangsa bagi ahli trip yang tidak mempunyai passport antarabangsa.

Penyediaan Insurans Kenderaan

Untuk memasuki pintu sempadan Thailand, kita perlu membeli insurans kenderaan Thailand. Untuk membuat insurans, kita perlu membawa sesalinan geran kenderaan yang ingin dibawa.

20130817_093811

Insuran kereta ke Thailand

Sekiranya di pekan Changlun, insurans ini boleh dibeli dikedai-kedai disebelah kiri jalan menghala ke Bukit Kayu Hitam. Harganya sekitar RM16.00 dengan jumlah perlindungan sebanyak 5 juta Bhat iaitu RM50 ribu duit Malaysia. Insurans juga boleh dibeli di kedai berdekatan pintu masuk Bukit Kayu Hitam dengan harga RM18.00 iaitu lebih mahal RM2.00 berbanding harga di pekan  Changlun. Selain itu, ianya juga boleh dibeli di RnR Gurun atau kedai-kedai lain yang menawarkan insurans untuk ke sana.

Di kawasan Changlun ada beberapa buah kedai yang menyediakan khidmat penukaran wang ke mata wang Thailand. Selepas dibuat survey dibeberapa buah kedai, penukaran wang direstoran di simpang traffic light bertentangan dengan kompleks C-Mart Changlun antara yang tertinggi berbanding kedai-kedai lain. Sehingga 12 Ogos 2013, sekiranya kita menukar sebanyak RM 100.00, kita akan mendapat duit tukar sebanyak 960 baht dimana kita akan defisit sebanyak RM4.00.

 tukaran duit thai
Penukaran wang Ringgit Malaysia ke Baht Thailand

Peralatan Tambahan

Sekiranya kita ke sana, bagi yang belum pernah ke sana diingat supaya dibawa bersama soket elektrik untuk kegunaan mengecas hp atau untuk menggunakan alatan elektrik lain yang dibawa di Malaysia. Ini kerana plug di sana berbeza dengan soket di Malaysia dan memerlukan converter untuk menyesuaikan plug kita dengan soket Thailand. Harga converter ini di pasaraya-pasaraya di Malaysia lebih murah berbanding dibeli di Thailand.

 soket thailand
Soket elektrik di Negara Thai
 

convorter thai

Converter Plug

Selain daripada itu, sekiranya kita memakai hp jenis android, dicadangkan supaya dibawa bersama charger hp didalam kereta bagi mengelak kehabisan bateri.

Mengisi Minyak Kenderaan

Perjalanan yang dilalui oleh kami sepanjang ke Danok- Krabi – Phuket – Krabi – Wang Kelian jaraknya lebih kurang 1050 km. Kami ke sana berkonvoi 3 buah kereta iaitu sebuah Proton Waja 1.6 c.c, Toyota Hilux 2.0 c.c (diesel) dan Toyota Harrier 2.5 c.c.

Jumlah penggunaan minyak bagi proton waja keseleruhan adalah sebanyak RM200 dimana diisi penuh RM120 di Caltex, Changlun dan dibawa simpanan tong sebanyak RM50 dan diisi pula di Thailand sebanyak 500 baht sewaktu pulang dan sewaktu tiba di Wang Kelian kami mengisi pula sebanyak RM30.

Bagi Toyota Hilux penggunaannya minyak sangat menjimatkan. Sepanjang perjalanan biras saya mengisi minyak penuh di BHP Bukit Tangga sebanyak RM 130 dan ianya mencukupi perjalanan pergi balik sejauh 1050 km. Purata penggunaan minyak adalah sekitar 13 sen bagi setiap kilometer.

Manakala bagi Toyota Harrier penggunaan minyak adalah paling tinggi. Secara keseluruhannya rakan saya mengisi minyak keretanya pergi balik sebanyak RM 400.00 termasuk isian penuh di Malaysia dan Thailand.

Untuk perjalanan jauh begini, dicadangkan minyak diisi penuh di stesen minyak berhampiran pintu masuk. Antaranya stesen minyak Caltex, Taman Teja Changlun (Merupakan stesen minyak terakhir yang berada disebelah kiri jalan menghala ke Bukit Kayu Hitam) dan stesen minyak BHP, Bukit Tangga (stesen minyak yang paling hampir dengan pintu sempadan tetapi berada di sebelah kanan iaitu jalan menghala ke Changlun). Ini kerana minyak di Thailand jauh lebih mahal daripada di Malaysia.

Jenis minyak yang dicadangkan adalah Caltex kerana ianya lebih menjimatkan dan mempunyai pick up dan tidak disyorkan untuk mengisi minyak petronas kerana ianya cepat habis dan kurang pick up terutamanya untuk perjalanan jauh.

Tetapi bergantunglah kepada pengguna kerana ada dikalangan pengguna yang memboikot stesen minyak selain petronas. Pemilihan ini dibuat berdasarkan pengalaman menggunakan jenis-jenis minyak ini untuk perjalanan jauh kerana minyak Caltex lebih kilometer dan kuat pick up.

Memilih Pintu Masuk Perjalanan Ke Krabi

export_16

Laluan berwarna merah adalah jalan melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam. Manakala jalan berwarna laluan berwarna biru melalui Wang Kelian.

Terdapat 2 jalan utama untuk ke Krabi. Pertamanya melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar yang akan melalui jalan Hatyai-Pathalung-Trang dan Krabi. Keduanya melalui pintu masuk Wang Kelian- Cha Lung-Thung Wa-Trang-Krabi.

Bagi perjalanan kali pertama dicadangkan kita melalui kedua-dua jalan tersebut bagi membolehkan kita mengetahui selok belok jalan di Thailand. Sekiranya diberi peluang untuk pergi ke sana buat kali kedua, bagi saya sudah tentu akan memilih jalan melalui pintu masuk Wang Kelian kerana jaraknya yang lebih dekat berbanding jalan melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam.

Untuk keluar melalui pintu Wang Kelian, kita mestilah sampai ke pintu sempadan sebelum jam 6.30 petang walaupun had yang diberikan sehingga jam 7 petang Malaysia ataupun bersamaan dengan jam 5.30 petang Thailand. Sekiranya terlewat kita perlu berpatah balik untuk keluar melalui Bukit Kayu Hitam ataupun Padang Besar ataupun terpaksa menambah hari untuk bermalam di Satun.

Kebiasaannya perjalanan melalui Wang Kelian hanya memakan masa sekitar 4-5 jam manakala melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam sekitar 6-7 jam bergantung kepada kelajuan pemanduan. Kita boleh menjimatkan masa sekurang-kurangnya 2 jam sekiranya masuk melalui pintu Wang Kelian. Perjalanannya pun agak mengujakan kerana melalui kawasan perkampungan Thailand. Dengan khidmat GPS akan lebih memudahkan kita untuk melalui jalan tersebut.

Dokumen Di Pintu Masuk

 visa
Visa Ketibaan yang perlu diisi dan boleh didapatkan secara percuma di Pejabat Imigresen Thai

Sebaik melepasi pintu masuk Malaysia, kita akan bertemu dengan kompleks imigresen Thailand. Tempat meletakkan kenderaan terletak disebelah kiri dibelakang pejabat imigresen tersebut. Di sini kita akan mengisi borang visa ketibaan yang boleh diperolehi di pejabat imigresen Thailand secara percuma. Tempat mengambil visa ketibaan yang berada didalam kawasan pagar imigresen.Kita boleh mendapatkan borang disini secara percuma.

20130813_101417

Pejabat Imigresen Thai  untuk mendapatkan borang visa ketibaan yang berada disebelah kiri kawasan dalam pagar
 

Sekiranya kita menggunakan khidmat agen yang berada dimeja berdekatan pejabat tersebut RM2 dikenakan bagi setiap pengisian borang. Sebaiknya ambillah borang sendiri kerana jaraknya meja tersebut dengan pejabat imigresen Thailand hanyalah 5 meter sahaja.

20130406_155323

Agen yang menunggu diluar pagar mengenakan caj RM2 sekeping bagi setiap visa ketibaan yang diisi oleh mereka (ihsan sebuah blog kerana terlupa shot gambar tempat agen ni).
 

Untuk membawa masuk kenderaan kita perlu menyelesaikan urusan mengisi visa ketibaan dan selepas itu barulah boleh menguruskan kebenaran membawa masuk kenderaan ke Thailand. Perlu diingatkan kita perlu membawa sesalinan fotokopi geran kenderaan dan surat kebenaran tuan punya kenderaan sekiranya kereta tersebut bukan hak milik kita. Selepas membuat pendaftaran masuk kenderaan pastikan dokumen yang dikembalikan disimpan untuk digunakan semasa keluar dari sempadan Thailand. Pernah seorang teman didenda lebih daripada seribu ringgit ketika masuk kali kedua ke Thailand kerana terlupa untuk menyerahkan kembali borang kebenaran membawa masuk kenderaan tersebut kepada pihak kastam Thailand ketika kali pertama ke sana. Beringatlah sebelum terkena.

Selepas kita mengecop passport kita, pihak berkuasa Thailand akan mengembalikan sekeping borang yang bertulis “departure” ataupun berlepas pulang ke Malaysia. Borang ini perlu disimpan untuk digunakan ketika mana untuk keluar dari Thailand nanti. Selalunya imigresen Thailand akan meminta RM2 seorang bagi setiap passport yang dicop sebagai tips. Sekiranya kita bijak bernegosiasi, kadang-kadang kita tidak perlu membayar tips tersebut ataupun dikurangkan kepada RM1 sahaja. Ianya bergantung kepada kepandaian kita berbicara dengan pegawai imigresen Thai yang menjaga kaunter tersebut.

Membeli Sim Kad Thailand

Bagi memudahkan perhubungan, sebaik sahaja masuk ke pekan Danok, singgahlah di 7 eleven yang terletak disebelah kiri jalan untuk membeli sim kad Happy Tourist yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi DTAC Thailand. Yang menariknya pakej sim kad ini adalah termasuk dengan pakej data.

IMG_1600

Pack Sim Kad Happy Tourist. Sim kad ini mempunyai pakej data unlimited untuk kemudahan pelancong ke Thailand

Sekiranya kita membeli sim kad yang berharga 290 baht (lebih kurang RM29), kita akan mendapat kemudahan unlimited internet selama 7 hari dan terdapat didalamnya kredit sebanyak 100 baht (lebih kurang RM10). Ataupun kita boleh membeli sim kad yang berharga 49 baht (Lebih kurang RM4.90) dimana kemudahan unlimited internet yang diberikan adalah selama 24 jam dan tempoh berbual sebanyak 15 baht (lebih kurang RM1.50).

Sekiranya kita membeli sim kad yang berharga 49 Baht ini dicadangkan supaya membeli banyak sim kad untuk membolehkan kita melayari internet setiap hari. Pengalaman saya di sana, saya membeli 3 simkad bagi setiap orang dimana setiap hari kami menukar simkad bagi membolehkan kami melayari internet untuk menggunakan whats app, face book ataupun google maps sebagai pedoman perjalanan di sana. Ini kerana 3 sim kad untuk sehari internet bersamaan dengan 150 baht berbanding harga simkad yang mempunyai kemudahan internet selama 7 hari sebanyak 290 baht. Penjimatkan sebanyak 140 baht.

Sekiranya kita ingin menggunakan talian kita di Malaysia dengan melakukan roaming, elakkan daripada kita melakukan roaming ke atas packet data. Biarlah roaming hanya untuk talian perbualan telefon dan sms sahaja. Ini kerana, ramai yang sudah terkena daripada ribuan ringgit sehingga ratusan ribu ringgit untuk membayar roaming packet data yang digunakan diluar negara.

Mencari Makanan Halal

Untuk mencari makanan halal di Thailand sebenarnya tidak susah. Tetapi perlu perlu meninjau dengan teliti terutamanya di sepanjang perjalanan. Tetapi untuk perjalan pergi dan balik sekiranya berkonvoi, sebaiknya sekira ada bekal ianya lebih baik terutama yang mempunyai anak kecik. Ataupun kita mengambil sarapan pagi yang berat di Changlun atau Danok untuk melapik perut. Elok juga sekiranya dibawa meggi dan roti gardenia untuk kita makan sepanjang perjalanan ataupun disebelah malam di dalam hotel.

Di sepanjang perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, selepas melepasi pekan Danok hanya sebuah dua sahaja kedai makan Muslim yang bertanda halal. Sekiranya terlajak, makanan hanya akan di temui di RnR Trang, yang berada di kanan jalan menghala balik.

 IMG_1567
Kawasan RnR Trang yang berada di sebelah kanan jalan. Awas jangan terlepas!
 
 r n r trang
Bangunan RnR Trang

Oleh kerana emak dan saya tidak makan makanan Thailand kerana tidak lalu, emak dan ayah saya membawa bekal untuk dimakan selama 3 hari. Bekal yang dibawa adalah telur rebus dan sambal kering ikan bilis yang dipelajarinya daripada seorang teman ketika menunaikan haji di Mekah dimana sambal bilis ini mampu bertahan selama sebulan tanpa dipanaskan kembali. Rasanya sedap. Cara membuatnya juga mudah. Selain itu, emak membawa telur dan nasi serta periuk elektrik untuk memasak nasi disana. Oleh itu, tidak ada masalah untuk emak dan ayah makan.

Manakala kami pada sebelah pagi bersarapan dengan makanan yang dibawa oleh emak, manakala pada sebelah tengah hari dan malam kami makan diluar sementara emak dan ayah makan bekal yang dibawa.

Sebagai anak, apabila berjalan bersama ibu bapa perkara-perkara begini seharusnya dititik beratkan bagi mengelakkan ibu bapa kita kelaparan. Tambahan pula ibu bapa yang berlatar belakangkan orang kampung yang jarang menikmati makanan Thai yang pedas dan kadang-kadang dimasak oleh tukang masak yang “cemerkap” ataupun memakai pakaian yang tidak menutup aurat. Persediaan ini dibuat selepas ada dikalangan rakan kami yang pergi sebelum ini merungut ibu bapa mereka kelaparan kerana tiada makanan yang sesuai untuk mereka makan kerana tidak sesuai dengan selera mereka.

Antara restoran yang Halal yang terdapat di Ao Nang, Krabi antaranya Hasna, Chaba dan sebuah restoran yang berada di depan restoran Hasna. Namun begitu, sepanjang perjalanan pulang dari Krabi melalui pekan Thung Wa, tidak banyak kedai makan yang ditemui. Selepas terlepas kedai makan di pekan Thung Wa, kami hanya menikmati makan tengah hari di Pekan Cha Lung berdekatan dengan Satun kira-kiran jam 5 petang.

Bagi orang yang baru sampai ke sana seperti kami, diakui agak susah untuk mencari kedai makan halal ketika pergi dan pulang. Tetapi apabila berada di Krabi sudah banyak kedai makan halal di sana. Oleh itu, untuk perjalanan akan datang persiapan boleh dibuat untuk menyediakan bekalan makanan bagi perjalanan pergi dan pulang terutamanya kepada anak-anak kecil atau orang tua yang sudah berumur yang tidak tahan lapar.

Perjalanan Ke Phuket


Dari pekan Ao Nang Beach, terdapat 2 cara untuk ke Phuket. Pertamanya melalui jalan darat sejauh 130 KM dengan anggaran perjalanan selama 2 jam 30 minit ataupun menaiki bot yang disediakan iaitu selama 2 jam.

IMG_1629
Penjaja di Tepi Patong Beach, Phuket

Sekiranya kita menaiki kenderaan sendiri, perjalanannya agak letih. Namun begitu, sekiranya kita menaiki bot, apabila tiba di Phuket kita terpaksa menyewa kenderaan pula untuk bergerak.. Seeloknya sekiranya mahu ke Phuket dari Ao Nang, perlulah bermalam disana bagi mengelakkan masa terbuang di dalam perjalanan tanpa sempat menikmati aktiviti di sana.

  Di Phuket terdapat banyak masjid dan makanan halal. Namun begitu, di sana juga terdapat pelancong memakai pakaian yang tidak cukup. Kami hanya duduk sebentar di sana kerana keadaan yang agak kurang selesa untuk mata memandang.

Aktiviti Membeli Belah

Di Krabi dan Phuket, kami langsung tidak sempat untuk membeli belah kerana banyak masa dihabiskan di atas kenderaan. Tambahan pula berdasarkan survey yang dibuat, kebanyakkan barang yang dijual lebih tinggi harganya berbanding di Kedah.

Misalnya kami membeli telur ayam 10 biji disebuah kedai kampung dengan harga 450 baht jauh lebih mahal daripada kita. Harga buah tampoi 500 baht berbanding di negara kita RM3.

Aktiviti membeli belah kami lakukan di nat Wang Kelian. Harganya tidak jauh beza dengan harga di Krabi. Ada antaranya yang lebih murah dan mudah untuk tawar menawar kerana penjualnya pandai berbahasa Melayu Pattani.

Selain itu, duit lebihan berbelanja di Thailand juga boleh ditukarkan dengan penjual di Wang Kelian dimana mereka menukar duit dengan kadar sama harga. Sebagai contoh biras saya menukar 8000 baht bersamaan dengan RM800. Jauh lebih menguntungkan berbanding sekiranya ditukar dikedai pengurup wang yang mungkin akan membeli dengan harga yang jauh lebih rendah.

Selamat Melancong


Inilah Sedikit catatan mungkin boleh dijadikan pedoman untuk teman-teman yang ingin ke Krabi. Bolehlah  kita belajar sedikit sebanyak belajar asas Bahasa Thai untuk memudahkan komunikasi di sana seperti perkataan makan, kedai, jalan dan sebagainya yang asas dan mudah. Untuk belajar Bahasa Thai bolehlah diprint untuk dibawa dari laman Diari Anak Timur (Klik)

Untuk tujuan aktiviti, banyak catatan dari rakan-rakan yang lain yang pernah ke sana. Hanya dengan menaip AKTIVITI MENARIK DI KRABI (Klik), kita akan dapat membaca pengalaman pengunjung yang pernah ke sana dengan pelbagai aktiviti menarik. Catatan saya ini lebih dikhususkan berkaitan persediaan teknikal untuk ke sana  bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana.

Posted in Thailand, Travel | Tagged | Tinggalkan komen

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

image

Alhamdulillah selesai sudah kita menjalani ibadah Puasa. Semoga kita bertemu lagi ramadhan akan datang. Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pengunjung. Semoga hari kemenangan ini memberi momentum kepada kita untuk terus istiqamah menjadi hamba Allah yang bertaqwa.:-)

Salam Aidil Fitri dari Faisal dan Juwairiah

Posted in Berita | Tagged , | Tinggalkan komen

Berilah harapan, bukan menambah kekusutan

 Gambar Ketika Gotong Royong di UUM Press 

Suatu hari saya berborak dengan seorang kenalan yang lebih berumur daripada saya. Dia mengadu berkenaan masalah yang dihadapi oleh dirinya. Saya mendengar luahan hatinya satu persatu. Saya memahami keperitan yang dialami oleh kenalan saya ini. Walaupun nampak wajahnya ceria, tetapi terselit keresahan yang amat sangat. “Begitulah Faisal. Naik pangkat sikit adalah ujiannya”, luahan kenalan tersebut. “Saya disantau orang”, tambah dia lagi.

Lalu saya memotong tanpa memberi peluang kepada dia bercakap. Melalui sindrom-sindrom yang diberitahu dan kaedah rawatan yang dijalani saya dapat mengagak perkara yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi saya diamkan sahaja kerana sudah menjadi kewajipan bagi seorang teman untuk tidak mengusutkan lagi keadaan. Teman yang baik adalah teman yang membantu, bukan membuntu. Bukan saya tidak suka menyebut perkataan tersebut, tetapi tidak elok sekiranya ianya disebut dihadapan orang yang mengalaminya. Tanpa membincangkan perkara tersebut, saya memberikan harapan kepadanya bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya.

Ini kerana setiap perkara yang terjadi adalah dengan izin Allah, dan ubatnya juga adalah datangnya daripada Allah SWT. Mujurlah beliau mengiakan kenyataan saya. Perbincangan kami lebih menjurus kepada perkara yang positif berbanding perkara yang negatif. Sekiranya perkara negatif yang dibincangkan, berkemungkinan dirinya akan terus berputus harapan. Sedangkan saya hanyalah manusia biasa yang tidak mengetahui segala-galanya. Semuanya adalah rahsia Allah SWT. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa ada segelintir masyarakat yang suka menilik-nilik sebegini sehingga menyebabkan pesakit akan bertambah sakit.

Begitu juga di dalam bidang perubatan. Ada segelintir dikalangan pengamal perubatan berlagak seolah-olah mengetahui berkenaan perkara ghaib. Misalnya apabila seseorang itu datang mengadu berkenaan penyakit yang dialami, ada yang memberi jawapan yang membuatkan pesakit itu putus harapan. Seringkali kita terdengar dialog-dialog sebegini. “Menurut pengalaman saya, penyakit seperti Tuan ini hanya dapat bertahan sebulan sahaja lagi.Oleh itu saya nasihatkan Tuan supaya pulang dan menunggu saat-saat pengakhiran hidup Tuan”.

Namun begitu, selepas dirawat mengikut kaedah alternatif ada dalam kalangan pesakit ini yang tidak menemui ajalnya. Mengapakah perkara ini terjadi? Ini kerana hidup dan mati ini adalah ilmu Allah SWT. Sebijak mana sekalipun akal dan fikiran manusia, mestilah kembali kepada Allah. Seperti kata Pak Hamka, hujung akal, pangkal agama. Seseorang yang ditimpa sesuatu penyakit, ianya merupakan ujian Allah SWT. Oleh itu, kepada sesiapa sahaja samaada Doktor, Jururawat ataupun pengamal perubatan alternatif sewajarnya mengambil peluang ini untuk mendekatkan para pesakit dengan penciptanya. Hanya inilah jalan yang terbaik untuk mengembalikan mereka kepada Allah SWT. Bukannya masa untuk menilik dan menunjuk pandai berdasarkan pengalaman masing-masing. Berilah harapan, bukan menambah kekusutan.

Posted in Motivasi | Tinggalkan komen

Beralih Angin

Alhamdulillah. Kalimah yang cukup ringkas tetapi memberikan makna dan tafsiran yang cukup luas. Cukup banyak kurniaan yang diberikan oleh Allah untuk disyukuri oleh hamba-Nya.

Terdetik hati untuk menulis apabila melihat blog yang sudah lama ditinggal tidak “diupdate”. Namun begitu, tika itu terlalu banyak kerja yang perlu di selesaikan. Tetapi alhamdulillah, ditengah kesibukkan dapat disiapkan juga sebuah manuskrip.

Alhamdulillah bermula 1 Februari 2012 mula bertugas sebagai Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Zakat Negeri Kedah Darul Aman (JZNK). Beralih angin dari UUM setelah hamper 2 tahun menimba pengalaman sebagai seorang pentadbir di sana. Kata orang, jauh perjalanan, luas pengalaman. Mudah-mudahan penghijrahan ini memberikan pengalaman yang berharga buat diri ini.

Kepada teman-teman UUM Press, terima kasih di atas jalinan ukhuwah yang dijalinkan selama ini. Semoga kalian terus cemerlang dengan jayanya.

Posted in Organisasi | Tagged , , , , , | 1 Komen

Forum Munajat Cinta

” Cinta kepada Allah adalah tujuan tertinggi diantara darjat-darjat yang tinggi”

Posted in Cinta, Dakwah | 3 Komen

Tegur Isteri Tanda Sayang

 

Tegur Isteri Tanda Sayang

“Hidup berumah ini ini perlu ada seninya”, nasihat seorang tua pada saya pada suatu hari.

“Seni bagaimana tu Pak Cik?”, tanya saya sambil tersenyum dan seterusnya ketawa.

“Ish kamu ni, jangan fikirkan yang bukan-bukan”, balasnya.

“Tak adalah Pak Cik, saya mengusik ja”.

“Macam ni, ada banyak seni yang yang perlu dipelajari terutamanya yang baru bergelar suami seperti kamu”.

“ Seni bagaimana tu Pak Cik”.

“Ada banyak seni sebenarnya. Tapi salah satu seni yang paling penting diperingkat awal perkahwinan ini adalah seni menegur isteri”.

Menegur Isteri Suatu Cabaran

            Menegur isteri merupakan suatu perkara yang amat mencabar bagi seorang lelaki. Walaupun ianya nampak mudah, namun begitu sekiranya tersalah langkah boleh membawa pecah belah di dalam rumah tangga.

            Bukan semua isteri mudah menerima teguran daripada suami, apatah lagi bagi pasangan yang memulakan perkahwinan dengan percintaan. Apabila si suami memberi teguran, si isteri akan mengungkit kisah-kisah lama semasa bercinta dimana si suami membontoti sahaja kehendaknya pada ketika itu. Sehinggakan bau kentut pun dirasakan wangi seperti deodoren.

Fitrah Wanita Perlu Di Tegur

Sudah menjadi fitrah kejadian, untuk menjadikan seorang wanita itu baik mereka perlulah ditegur dan selalu diingatkan tentang kebaikkan. Menegur bukan sahaja untuk memperbaiki, tetapi lebih daripada itu adalah sebagai salah satu langkah untuk menjadikan isteri sebagai isteri yang terbaik di dunia dan akhirat.

Oleh sebab itulah Baginda S.A.W telah berpesan kepada golongan suami berkenaan perihal ini:

Sabda Nabi S.A.W:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita”

                                                                                    (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

 

Seni Dalam Menegur

            Sebagaimana pesan Nabi S.A.W, untuk meluruskan tulang yang bengkok bukannya mudah. Andai tersilap mungkin boleh patah, seandainya dibiarkan ianya akan terus bengkok selama-lamanya. Di sinilah suami perlu bijak mencari strategi untuk meluruskan tulang yang bengkok ini.

            Menurut Pak Cik tersebut, ada perkara-perkara yang boleh digunakan dan tidak boleh digunakan untuk menegur isteri.

            Pertamanya, teguran tersebut boleh dilakukan secara lisan ketika pasangan suami isteri berdua-dua dalam keadaan yang tenang. Jangan sekali-kali menegur ketika sedang makan dan dihadapan khayalak ramai kerana ianya boleh menjatuhkan maruah isteri.

            Keduanya boleh dilakukan secara penulisan. Si suami boleh menulis surat atau email kepada isteri dengan ayat yang puitis untuk menegur si isteri. Namun begitu katanya, jangan sekali-kali menegur isteri dengan sms kerana ianya boleh menimbulkan salah faham dan menghancurkan hati isteri. Apatah lagi sekiranya sms tersebut diterima ketika bekerja atau memandu yang boleh menyebabkan fikiran isteri terganggu.

            Tetapi menurutnya, ianya bergantung kepada keselesaan masing-masing. Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Asalnya ianya berhikmah nescaya ianya membawa kepada mawaddah. Teguran mestilah ikhlas untuk membimbing isteri daripada tidak tahu kepada tahu. Bukan untuk menunjukkan “kekuasaan” sebagai suami semata-mata. Bak kata orang tua-tua, “cubit-cubit sayang”.

 

Bahana Suami Tidak Menegur

Sesetengah golongan lelaki memilih untuk berdiam diri. Awas, kadang-kadang tindakan berdiam diri ini boleh membawa si suami terjerumus ke dalam golongan yang dayus. Langsung tidak memberi respon walaupun si isteri melakukan kesalahan di depan mata.

Takutlah akan pesan Baginda S.A.W :

Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : ” Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? , berkata nabi : “ Iiatu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) – ( Riwayat At-Tabrani)

 

Menegur Isteri Tanda Kasih Sayang

            Ada yang menganggap, menuruti kehendak isteri itu adalah salah satu tanda seorang suami itu menyayangi isterinya. Namun begitu, ada juga premis yang menganggap perkara ini boleh menjerumuskan rumah tangga tersebut kepada kebinasaan. Ini kerana, bukan kesemua kehendak isteri perlu dituruti oleh suami.

Sekiranya isteri melakukan kesalahan atau kesilapan, ianya perlulah ditegur seawal membina rumah tangga. Janganlah ditangguhkan kerana ianya boleh membawa barah di dalam kehidupan rumah tangga tersebut. Akhirnya menjadikan kesalahan sebagai perkara biasa. Akhirnya isteri naik tocang, rumah tangga menjadi pincang. Akhirnya suami mendapat pengiktirafan sebagai suami yang dayus. 

Hidupkanlah budaya tergur menegur , nasihat-menasihati di dalam rumah tangga. Andai isteri tersalah, suami menegurnya. Begitu juga sebaliknya.

Posted in Keluarga | 8 Komen

Selamat Menyambut Kemenangan

 

Bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan-Nya dapat kita pada tahun ini merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadhan. Mudah-mudahan amalan yang dilakukan di bulan yang berkat ini akan berterusan sehingga nafas kita yang terakhir.

Tanpa kita sedari, kita antara insan yang terpilih dalam kalangan hamba-Nya untuk melalui Ramadhan pada kali ini. Ada sesetengah individu yang amat merindui Ramadhan, tetapi mereka tidak sempat menemui Ramadhan kerana Allah terlebih dahulu menjemput mereka kembali bertemu dengan-Nya. Ada juga sempat bertemu dengan Ramadhan, tetapi tidak sempat untuk mengakhiri Ramadhan kerana mereka terlebih dahulu mengakhiri kehidupan di dunia yang fana ini untuk hidup di dunia yang tiada kesudahannya.

 Mudah-mudahan Ramadhan pada kali ini memberikan sedikit anjakan dan perubahan dalam diri kita. Banyakkanlah berdoa dihari-hari terakhir Ramadhan ini supaya amalan-amalan sunat yang kita amalkan dapat diteruskan sehingga bertemu Ramadhan seterusnya. Kita beribadat bukan kerana kita hamba Ramadhan, tetapi kita beribadat kerana kita mencari redha Allah SWT. Mulakan dengan diri, diikuti dengan ahli-ahli keluarga yang lain. Hayatilah pesanan ulama ini, “Tegakkan Islam dalam dirimu, Nescaya Islam akan tertegak didalam negaramu”.

Sedikit pesanan yang ingin dikongsikan. Di dalam kita beramal, jadilah seperti air yang mengalir. Apabila berhadapan dengan halangan terus mengalir dan mencari jalan untuk maju ke depan.Tetapi janganlah menjadi air yang bertakung, tidak bergerak. Semakin lama bertakung baunya semakin busuk.

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan. Maaf zahir batin sekiranya terdapat sebarang khilaf. Bersama-sama kita menyambut kemenangan ini dengan kesyukuran.

Posted in Berita | Tinggalkan komen

Bersama Mengejar Malam Al-Qadr

Ramadhan beberapa hari sahaja lagi. Seperti tahun-tahun kebiasaannya, penghujung Ramadhan ini kebiasaanya disurami dengan kegilaan membuat persiapan menyambut hari raya. Masjid yang awalnya penuh melimpah ruah dulunya, kini bagaikan “bocor” kerana hanya meninggalkan sisa. Jemaah yang melimpah-limpah terus melimpah keluar sehingga tidak datang-datang lagi.

Kemeriahan dihujung Ramadhan ini turut di”matikan” dengan lagu-lagu raya yang dimainkan dicorong radio dan televisyen. Bahkan ada yang beria-beria menghantar sms mengucapkan “Selamat Hari Raya” difasa-fasa terakhir Ramadhan ini. Agak sukar untuk saya membalasnya kerana “mood” Syawal masih belum berada dihati. Walaupun ada sekeping dua kad raya dikirimkan, tetapi untuk menghantar sms hari raya agak janggal rasanya.

Namun begitu disaat ramai yang lalai ini masih ramai sahabat-sahabat yang tidak lupa untuk terus berpesan berkenaan malam al-qadr. Samaada peringatan yang diberikan melalui sms ataupun facebook, ianya tetap memberikan manfaat kepada seluruh kaum muslimin yang berpuasa.

Kepada teman-teman, marilah sama-sama kita mengejar malam al-qadr. Gunakanlah baki-baki terakhir Ramadhan ini untuk kita mengintai malam al-qadr ini. Laksanakanlah sekadar termampu, mudah-mudahan amalan di malam hari yang dilaksanakan ini mampu untuk diteruskan pada bulan-bulan mendatang. Mudah-mudahan amalan yang dilakukan secara berkualiti di bulan Ramadhan mampu diteruskan sehingga penghujung akhir hayat kita. Amin

“Ya Allah, Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan”

Posted in Dakwah | Tinggalkan komen

Usah Di Jaja Bakal Menantu

Kesian kawan mak yang sorang tu. Dulu dia asyik cerita nak dapat menantu orang senang. Orang hebat. Sekarang ni menantu yang dia puji langsung tak layan bila dia berziarah ke rumahnya”, cerita ibu mertua saya pada saya suatu hari.

“Menantu dia kerja apa mak?”, tanya isteri saya.

“Dengar kata engineer”, balasnya.

Saya hanya mendengar butir-butir bicara mereka sambil menikmati hidangan berbuka. Masih saya ingat ketika mula-mula berkahwin dulu, apabila orang bertanya kepadanya apa pekerjaan bakal menantunya, dia hanya menjawab “Tidak tahu. Tapi yang pasti kerjanya dok bagi ceramah”.

Ketika itu kerjaya saya adalah sebagai seorang trainer di Kuala Lumpur, manakala isteri pula masih belum menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Pendapatan yang diperolehi tidaklah besar, tetapi cukup untuk menampung keperluan hidup pada ketika itu. Kerjaya biasa, tetapi cukup untuk membuatkan saya puas.

Kini giliran adik ipar saya pula bakal mendirikan rumah tangga. Soalan yang ditanya kepada ibu mertua juga adalah soalan yang sama. “Bakal menantu awak kerja apa?”. Ibu mertua saya hanya mampu menjawab, “Dia buka perniagaan sendiri”. Jawapannya ringkas tanpa dihurai panjang. Walaupun saya tahu bakal biras saya ini pendapatannya jauh lebih besar daripada seorang pegawai kerajaan, tetapi saya memahami mengapa beliau memberikan jawapan sedemikian.

Jawapan yang diberikan membuatkan teman-temannya terlopong. Mereka seperti kehairanan. Mengapa anak-anaknya yang diberikan pendidikan tinggi tetapi bermenantukan seorang peniaga. Manakala menantu pertamanya hanya seorang penceramah!

  Teruskan membaca

Posted in Kaya Jiwa, Keluarga, Perkahwinan | Tagged , , , , | 11 Komen