PERKONGSIAN PERANCANGAN PERJALANAN KE BANGKOK DARI ALOR SETAR

IMG_1557

Baru-baru ini saya berkesempatan bersama rakan-rakan berjalan-jalan ke Bangkok. Perjalanan ini dirancang secara spontan bersama rakan-rakan untuk melihat selok belok kehidupan di Bandaraya Bangkok. Mungkin perjalanan ini biasa, tetapi sengaja dikongsikan untuk rujukan kepada mana-mana rakan-rakan yang ingin membawa keluarga ke sana sekurang-kurangnya catatan ini boleh dijadikan sebagai pedoman.

Sebelum perjalanan bermula, saya ditugaskan untuk membuat kajian berkenaan dengan selok belok di Bangkok. Ini bagi mengelakkan perjalanan kami sia-sia dan membuang masa yang secara tidak langsung meningkatkan kos perjalanan. Berdasarkan penelitian, untuk ke suatu tempat dari suatu tempat memakan masa yang agak lama. Oleh itu, kami memutuskan untuk memilih tempat-tempat tertentu sahaja untuk dilawati. Perancangan kami, untuk perjalanan kali ini mengambil masa 5 hari bermula daripada petang Khamis sehingga hari Isnin. Jarak perjalanan dari satu tempat ke satu tempat diambil kira oleh kami bagi tujuan merancang perjalanan yang lebih tersusun. Saya mengkaji google map dan membuat “marking” tempat yang akan dituju pada google bagi memudahkan untuk kami mencari jalan apabila tiba di sana

 

Perancangan Awal Perjalanan

Memandangkan jarak perjalanan dari Alor Setar berada di tengah-tengah antara Hatyai dan Pulau Pinang, kami memilih untuk menaiki penerbangan ke Bangkok daripada Hatyai International Airport. Harga tiket pergi balik penerbangan Air Asia seorang pada ketika itu sekitar RM 270.00. Ianya lebih murah daripada penerbangan melalui Pulau Pinang atau Kuala Lumpur kerana ianya adalah penerbangan domestik dalam negara.

Selain itu, kami juga membuat tempahan hotel dan kereta sewa terlebih dahulu bagi melancarkan perjalanan. Mungkin tidak ekonomik berbanding kos yang dibelanjakan oleh “Backpackers” tegar, tetapi ianya lebih praktikal dan terancang bagi kami yang kesuntukan masa untuk bercuti ini. Kami memilih kereta sewa jenis Nissan Almera daripada Syarikat National dengan kadar sewa RM 120.00 sehari dan jumlah keseluruhan RM 360.00 bermula daripada jam 11 pagi hari Jumaat sehingga 11 pagi hari Isnin.

Pada hari Khamis malam Jumaat kami bermalam di Hotel Sodchuen Boutique Hotel. Hotel ini terletak diluar kemeriahan malam bandar Hatyai. Manakala bagi hotel pada malam pertama di Bangkok, kami menempah Sawasdee Hotel berdekatan dengan Khoasan Road yang menjadi tumpuan ramai Backpacker daripada seluruh dunia. Kedudukannya begitu dekat dengan terminal boat (cruise boat) untuk menyelusuri Sungai Chao Pharaya menyebabkan saya membuat keputusan memilih hotel tersebut (Selepas menginap tidak dicadangkan hotel ini kerana terlalu teruk).

Manakala pada malam kedua dan ketiga kami menginap di Unico Hotel berdekatan dengan Sukhumit Road. Pemilihan ini dibuat kerana ianya berdekatan dengan LRT dan terletak ditengah-tengah pusat bandar Bangkok yang memudahkan kami bergerak ke mana-mana destinasi yang dikehendaki. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan hotelnya berpuluh kali ganda lebih selesa daripada hotel kami Sawasdee Hotel dengan harga yang ditawarkan. Sebab itu rasanya ramai yang mencadangkan supaya bermalam disini.

Kesemua hotel ini ditempah melalui laman agoda selepas dibuat perbandingan harga dengan laman web lain seperti Trivago dan sebagainya dengan jumlah bayaran RM 629.42 untuk 2 bilik bagi 4 malam penginapan. Sengaja kami mengambil hotel yang sedikit selesa berdasarkan review di laman agoda.

Kami turut mengambil insurans perjalanan daripada saya AXA Insurans untuk perlindungan perjalanan kami. Premium yang dibayar adalah asas sahaja iaitu sebanyak RM12 seorang bagi empat hari perjalanan yang melindungi asas untuk kemalangan, kematian dan perubatan.

Selain itu juga kami membawa bekalan meggi dan roti bagi memudahkan urusan makan disana sekiranya perlu. Ianya amat berguna kerana setiap pagi kami sarapan pagi dengan memakan roti dan megi sahaja. Ianya lebih mudah dan menjimatkan masa.

 

HARI PERTAMA : BANGKOK

Memulakan Perjalanan Ke Bangkok

20160513_065206

Hotel Di Hatyai

Selepas selesai waktu kerja, masing-masing pulang ke rumah. Kami bergerak daripada Jitra menuju ke Hatyai kira-kira jam 5.00 petang menaiki perodua Viva. Selesai berurusan dipintu sempadan, kami membeli sim kad Thailand bagi memudahkan urusan perjalanan.

Dalam perjalanan menuju ke Hatyai, kami singgah disebuah kedai ditepi jalan untuk makan malam. Waktu tersebut kira-kira jam 8.00 malam dan hujan renyai-renyai. Di kedai tersebut kami bertemu dengan seorang Mak Cik tua berumur sekitar 70 tahun mampu bertutur Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Thailand dengan baik. Rupa-rupanya beliau adalah penterjemah bahasa dan juga merupakan guru al Quran yang pakar dalam bidang tarannum.

20160512_201041

Hotel Sodchuen Boutique Hotel

Setibanya di Hatyai, kami Check In di Hotel Sodchuen Boutique Hotel yang berdekatan dengan simpang empat Hatyai dan bertentangan dengan Home Pro. Kami memilih hotel diluar kawasan bandar adalah bagi memudahkan pergerakkan keesokkan hari untuk ke lapangan terbang. Selesai check in dan persiapan diri serta solat kami keluar menuju ke Night Market yang terletak berdekatan dengan Hotel tersebut.

 

Airport Hatyai – Bangkok

Seawal jam 7 pagi kami bertolak daripada Hotel menuju ke Hatyai Airport dan meninggalkan kereta dikawasan parking yang disediakan. Kami kemudiannya bersarapan pagi dengan roti dan air mineral yang dibawa.

Ketika hendak masuk ke balai berlepas, kami mengalami masalah kerana tiket yang hendak digunakan diprint depan belakang untuk 2 orang. Hal ini menyebabkan pihak imigresen tidak membenarkan kami masuk ke balai berlepas. Sambil berjalan, kami terlihat ada sebuah pejabat yang beroperasi di situ dan meminta pertolongan supaya boarding pass kami diphotostat setiap satu seorang. Alhamdulillah mereka membantu dengan dikenakan sedikit bayaran. Selesai kami keluar, mereka cepat-cepat menutup pintu pejabat mungkin tidak mahu diganggu oleh orang lain yang mungkin mempunyai masalah seumpama kami.

20160513_085344

Bertemu Geng Bank Rakyat yang turut ke Bangkok

Di Hatyai Airport kami bertemu dengan team kembara Bank Rakyat yang turut sama merancang perjalanan ke Bangkok. Cuma perjalanan mereka lebih pendek iaitu sekitar 3 hari dan perjalanan hari pertama terus ke Pattaya menggunakan pemandu pelancong berserta van yang telah ditempah awal.

20160513_120521

Dibawa oleh kakitangan National Car untuk mengambil kereta di tapak parking. Selepas bersembang, dia seorang Muslim.

Setiba di Bangkok, kami mencari kaunter kereta sewa National Car yang telah ditempah lebih awal. Bagi tujuan penyewaan, Kad kredit diperlukan sebagai cagaran untuk sewa kereta tersebut. Jenis kereta yang disewa adalah Nissan Almera. Sebenarnya, booking kereta sewa terus di lapangan terbang harganya lebih murah berbanding secara online. Tambahan pula booking diatas talian tidak termasuk insuran kemalangan atau kehilangan, tetapi booking terus dilapangan terbang dengan harga yang lebih murah adalah termasuk dengan insurans pelbagai. Tidak mengapa. Ini pengalaman kali pertama! Ilmu.

Pusat Islam, Bangkok

Pusat Islam Bangkok

Selesai mengambil kunci, kami terus bergerak menuju ke Pusat Islam, Bangkok. Di aras tanah masjid terdapat pelbagai gerai yang menjual makanan. Apa yang menarik, di depan pintu masuk dijual Burger Ramly. Terasa seronok produk Malaysia dijual dalam bentuk booth disana. Terdapat juga gerai menjual Damsyik Bun dan roti dimana penjualnya kelihatan seperti perlarian Syiria.

Kami menikmati juadah tengah hari di situ. Lauk ikan tilapia masak kuning dan nasi putih. Kebanyakkan lauk sudah habis dan kami terpaksa berebut-rebut untuk membeli makanan disini. Selesai solat dan makan, kami bergerak menuju ke Khoasan Road untuk mencari Sawasdee Hotel. Dalam perjalanan, kami singgah di kedai-kedai yang menjual barang ukiran yang diperbuat daripada kayu.

 

 

Sawasdee Hotel di Khoasan Road

Sebaik tiba di Hotel, masalah yang dihadapi parking kereta. Kami terpaksa berpusing berkali-kali mencari parking dan akhirnya kereta diparking dalam kawasan Watt. Kereta hanya boleh diparking dikawasan hotel selepas jam 10 malam. Selepas check in dan masuk ke dalam bilik, kami semua terkejut melihat keadaan bilik hotel. Agak buruk dan tidak begitu selesa. Saya berseloroh kepada kawan-kawan, “saja aku pilih hotel buruk nak tarbiah hampa”. Suasana hotel yang agak suram serta kondisi bilik yang agak usang berserta aircond yang panas, air dibilik air panas menyebabkan kami agak kurang selesa. Terfikir dikepala, bagaimana pula hotel untuk keesokkannya. Suasana dibawah hotel kelihatan backpackers dari seluruh dunia bersantai sambil memegang botol arak. Boleh dikatakan sejak awal kami check in sehingga malam hari kelibat mereka sentiasa ada melepak dibawah hotel tersebut.

Kepada rakan-rakan yang ingin ke Khoasan Road, mungkin boleh memilih hotel yang lebih baik untuk keselesaan keluarga.

 

River Cruise di Sungai Chao Pharaya

 

River Cruise dan Asiatique Market

Selepas berehat buat seketika, kami keluar untuk menuju ke jeti River Cruise. Jarak daripada hotel dengan jeti lebih kurang 500 meter perjalanan. Kami menaiki bot dengan kadar tambang 40 bath seorang. Bersama-sama kami ramai pelancong daripada barat. Boleh dikatakan hanya kami sahaja pelancong asia, lain-lainnya merupakan orang putih.

Sambil melawati Sungai Chao Pharaya, ditebing sungai kelihatan rumah-rumah setinggan dan bangunan pencakar langit di Bangkok. Kehidupan di Bangkok boleh dikatakan agak kotor dan kurang bersih. Rumah-rumah ditepi sungai melepaskan sisa kumbahan ke dalam sungai menyebabkan apabila kita melawati kawasan sungai airnya agak berbau kuat.

Destinasi akhir river cruise ini adalah di Asiatique Market. Setiba di situ kami berjalan-jalan melihat barangan yang dijual di situ. Pelbagai barangan dijual disitu dengan harga yang mahal. “Cekik darah” kerana tempatnya agak eksklusif.

Selesai membeli belah, kami menaiki bot untuk pulang ke Khaosan Road. Rupa-rupanya kami tersalah naik bot dan bot tersebut berhenti dipertengahan jalan. Bot malam untuk ke Khoasan Road yang merupakan check point terakhir sudah tidak ada. Sepatutnya kami menaiki tut tut untuk pulang.

Setiba bot dicheck point pertengahan jalan pulang, kami turun ke jeti. Pada mulanya kami bercadang untuk berjalan kaki pulang ke hotel, tetapi apabila melihat jarak perjalanan lebih kurang 8 kilometer, kami memilih untuk menaiki tut tut. Tambang yang dikenakan adalah 400 bath dengan alasan jarak Hotel kami jauh dari tempat tersebut. Kami berempat menaiki tut tut melalui celah-celah bangunan. Pemandu tersebut memandu tut tut begitu laju dan dengan cekapnya menyelit dicelah-celah kenderaan lain yang lebih besar.

 

Mencari Muslim Food

Setiba di Khoasan Road, kami melihat terdapat papan tanda masjid. Kami membuat keputusan untuk ke masjid dengan 2 tujuan utama. Pertama untuk solat Fardhu Isya dan Maghrib secara jamak takhir dan keduanya untuk bertanya kedai makan muslim.

Setiba di Masjid, kami bertanya berkaitan dengan “Muslim Food”. Kami diberitahu bahawa terdapat kedai makan muslim bernama Aishah. Selesai solat, kami keluar mencari kedai Aishah. Di situ kami ternampak sebuah kedai Halal milik lelaki arab, tetapi menjual arak. Tidak jadi kami singgah. Akhirnya kami bertemu kedai Aisyah tersebut. Rupanya hanya dia yang memakai tudung, tetapi yang lain tidak dan kelihatan seperti orang siam. Bertato dan sebagainya.

Kedai-kedai berdekatan ada yang menjual Moo (Babi) yang merupakan hidangan istimewa mereka. Di sebelah jalan, kelihatan 2 orang pelajar bertudung makan di sebuah gerai yang kelihatan milik bukan Islam. Mungkin biasa bagi mereka, bagi orang luar seperti kami agak kurang selesa kerana hidangan juga agak kurang bersih dan berbau. Banyak sebenarnya kedai Muslim di bandar Bangkok, cuma kami sahaja tidak menemuinya. Ada dalam kalangan kami yang langsung tidak lalu menjamah makanan tersebut. Tak mengkelan katanya. Selesai makan, kami mengubah kereta untuk diparking dihadapan Hotel dan pulang beristirehat di Hotel.

 

HARI KEDUA BANGKOK

Bergerak Ke Pattaya

Seawal pagi kami bangun, selesai Solat Subuh kami bersiap-siap untuk menuju ke Pattaya. Jarak perjalanan daripada Bangkok ke Pattaya lebih kurang 150 kilometer memakan masa 2 jam 30 minit perjalanan. Tujuan utama kami ke Pattaya bukan untuk menikmati pantai dan aktiviti pulau ke pulau, tetapi semata-mata ingin melihat jalan raya dan kawasan disekitar Bangkok – Pattaya sahaja. Sebaik sampai di Pattaya, kami berjalan-jalan disekitar pantai dan seterusnya mencari kedai makan muslim untuk menikmati makanan tengah hari.

20160514_100708

Kami singgah di sebuah kedai makan dimana terdapat patung berjubah dan berkopiah dihadapan kedai tersebut. Hiasan kedai ala-ala arab. Rupa-rupanya pemilik kedai tersebut, suaminya merupakan orang arab Mesir. Selesai makan, kami bertolak pulang ke Bangkok dan berehat di hotel.

 

Siam Paragon

Selepas solat Asar, kami keluar menuju ke stesen LRT Retchawit untuk ke Siam Paragon. Antara pasar membeli belah yang terbesar di Bangkok. Di sana terdapat aquarium besar seperti yang terdapat di KLCC. Memandangkan caj yang dikenakan agak mahal iaitu 110 bath seorang, kami hanya bergelegar dibahagian luar sahaja.

Pulang daripada Siam Paragon, kami menikmati makan malam di sebuah lorong yang menjual makanan arab. Menurut sahabat saya, keadaaan malam dilorong tersebut sama seperti di Pasar Khan Khalili di Mesir. Penuh dengan barangan arab dan penjual serta pengunjung juga sebahagian besar daripada kalangan orang arab. Namun begitu, hidangan kami pada malam pertama ini agak kurang sedap. Nasi goreng yang dijamah adalah Nasi Goreng Ajinomoto.

Pada malam tersebut, kami juga menikmati teh arab selepas selesai makan malam. Caj yang dikenakan agak tinggi. 240 bath untuk tiga orang.

20160514_201443

 

HARI KETIGA BANGKOK

Floating Market

Pada hari ketiga, kami berkira-kira untuk pergi ke Floating Market. Berdasarkan pembacaan, floating market yang popular adalah Damnoek Floating Market. Tetapi kedudukannya agak jauh daripada Bangkok. Bahkan berdasarkan review, disini kadang-kadang caj yang dikenakan agak mahal dan ada dalam kalangan pengunjung “terkena” dicaj menaiki bot sebanyak 2000 bath untuk sebuah bot. Melihat kepada review tersebut, kami beralih mencari pasar terapung yang lain dan bertemu dengan Kwan-Riam Floating Market di dalam google map. Jarak perjalanan sekitar 30 kilometer daripada Unico Hotel. Di sini kami menaiki bot mengelilingi sungai dengan bayaran 60 bath seorang. Kami singgah di dua check point yang telah ditetapkan iaitu di sebuah pasar kecil dan taman orkid. Air sungai tersebut begitu kotor seumpama air tahi!. Hitam melegam dan busuk. Kalau di Malaysia, agak sukar untuk dijadikan aset pelancongan kerana dikhuatiri penyakit kencing tikus. Rumah-rumah setinggan ditepi sungai yang sempit itu melepaskan bahan-bahan kumbahan ke dalam sungai tersebut.

Selesai merentas sungai yang memakan masa hamper 3 jam, kami beredar daripada Floating Market untuk pulang ke Hotel. Di pertengahan jalan kami berjumpa sebuah kedai muslim yang mana pemiliknya adalah orang Pattani dan pernah berniaga di Kota Sarang Semut, Alor Setar. Di situ kami makan sepuas-puasnya memandangkan perut kami agak lapar. Menurut beliau, terdapat banyak kedai muslim di Bangkok.

 

Chatuchak Market

Di sebelah petang, kami mengambil LRT daripada stesen Retchawi untuk ke stesen Mo Chit. Ini Tujuan kami adalah untuk ke Chatuchak Market iaitu pasar terbesar di Asia Tenggara. Memilik lebih daripada 5000 buah gerai yang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad.

Tidak dinafikan, barang-barang yang dijual disini begitu murah.Wallet yang dibeli ditempat lain dengan harga 150 bath, disini hanya 100 bath. Boleh dikatakan kami shoping sakan disini.

Selesai membeli belah, kami mengambil tiket LRT untuk pulang ke Hotel. Pada malam ini, kami singgah makan lorong arab ini sekali lagi dan makanan pada malam kedua tidak mengecewakan. Hehe. Baru bertemu makanan yang lauknya sedap sedikit.

HARI KEEMPAT BANGKOK

20160516_164134

Pada hari keempat, kami bersiap-siap untuk pulang. Sejujurnya, sepatutnya kami merancang pulang pada petang hari ketiga dan bermalam di Hatyai dan berjalan-jalan di Hatyai pada hari keempat.

Kami bertolak daripada Hatyai ke Bangkok sekitar jam 1 tengah hari. Setiba di Hatyai, kami mengambil kereta dan membayar caj parking untuk 4 hari sebanyak 400 Bath. Kami bergerak pulang ke Dannok dan singgah membeli beras pulut di pekan Sadao.

Selepas itu, kami singgah di pekan Dannok untuk makan. Kami makan sepuas-puasnya menu Nasi Putih, Ikan Loban Masak Merah, Tom Yam campur dan daging bakar. Kami tiba di Jitra kira-kira jam 10.00 malam waktu Malaysia.

————————————————————————

Antara tentatif dilalui oleh kami sepanjang permusafiran ini adalah seperti berikut :

Hari Pertama

  • Bertolak Dari Alor Setar pada jam 5.00 Petang
  • Check In di Hotel Hatyai
  • Makan Malam
  • Jalan-jalan Up Town Hatyai (Night Market belakang Hatyai Festival).
  • Tidur

 

Hari Kedua

  • Bertolak ke Hatyai Airport
  • Berlepas daripada Hatyai Airporat ke Bangkok
  • Mengambil Kereta Sewa
  • Makan Tengah Hari dan Solat di Bangkok Islamic Center
  • Check In Sawasdee Hotel
  • Menaiki “Cruise Boat” di Sg Mekong
  • Jalan-jalan Asiatique Market
  • Pulang ke Hotel
  • Tidur
  • Hari Ketiga
  • Check Out
  • Bergerak ke Pattaya
  • Pulang ke Bangkok
  • Check In Hotel
  • Bertolak ke Siam Paragon menaiki LRT
  • Makan Malam di Arab Street berdekatan Hotel
  • Pulang ke Hotel
  • Tidur

 

Hari Keempat

  • Bergerak ke Kwan-Riam Floating Market
  • Menaiki Bot Menelusuri Sungai
  • Pulang ke Hotel
  • Bergerak ke Chatuchak Market
  • Pulang ke Hotel
  • Makan Malam di Arab Street berdekatan Hotel
  • Pulang ke Hotel
  • Tidur

 

Hari Keempat

  • Bertolak ke Airport
  • Terbang ke Hatyai
  • Membeli Belah di Danok
  • Pulang ke Alor Setar

 

This entry was posted in Thailand, Travel and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s