TIP PERJALANAN SEHARI KE HATYAI DARI ALOR SETAR

20160805_082716

Saya cuba mengajak beberapa orang rakan-rakan pejabat untuk masuk ke Hatyai. Tujuannya hanya satu untuk menunjuk jalan kepada mereka. Walaupun Kedah berjiranan dengan wilayah Songkhla, Thailand tetapi ramai yang tidak pernah ke Songkhla kerana takut. Takut kena bom kata mereka.  Pernah saya menceritakan kepada seorang teman di Pattani berkaitan dengan ketakutan rakyat Malaysia untuk ke Thailand terutamanya takut “Bom”. Mereka menjawab mudah, kalau banyak bom kami semua pun dah mati.

Jarak diantara Hatyai dengan Alor Setar lebih kurang 120 kilometer. Di dalam perjalanan kali ini kami berkonvoi sebanyak 3 buah kereta iaitu Proton Exora, Proton Waja dan Honda City. Kos penggunaan minyak Proton Exora pergi balik Jitra- Samila Beach- Hatyai – Jitra sebanyak RM 50 dan Honda City sekitar RM 30.

Merancang Perjalanan

Sebelum bergerak masuk ke Hatyai. Kami membuat perbincangan terlebih dahulu samaada mahu masuk ke sana melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam atau pun pintu masuk Durian Burung. Sekiranya masuk melalui Durian Burung, destinasi pertama yang akan dilawati adalah Sakom Beach dan Soi Sawan Beach. Sekiranya masuk melalui Bukit Kayu Hitam kami akan terus menuju ke Songkhla melalui Ko Yo Island dan menaikit feri untuk melintasi teluk menuju ke Samila Beach. Selepas berbincang, kami memilih untuk masuk melalui Bukit Kayu Hitam.

Di galakkan juga kepada yang belum pernah masuk untuk membuat “marking” tempat yang ingin dilawati di dalam google map bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan. Sebaik tiba dipekan Danok belilah sim kad Thailand bagi memudahkan kita mengakses internet untuk menggunakan google map. Selain itu, perisian map offline juga boleh digunakan untuk perjalanan ini.

peta

Laluan Bukit Kayu Hitam untuk ke Songkhla – Hatyai

Destinasi 1 : Ko Yo Island

20160805_105212

Selepas selesai urusan disempadan, kami terus memecut menuju ke Songkhla. Kami memilih jalan luar dan tidak melalui jalan dalam Bandar Hatyai bagi mengelakkan kesibukkan. Setibanya di simpang empat Hatyai kami membelok ke sebelah kiri untuk mengambil “jalan luar” yang lebih selesa kerana tidak mempunyai banyak kereta dan lampu isyarat.

Setibanya di Ko Yo Island kami singgah sebentar di pelantar ditepi Tasik Songkhla untuk menikmati kudapan pagi yang dibawa seperti roti planta, ketupan dan rendang serta air kotak milo.

Di Ko Yo Island terdapat sebuah muzium di atas bukit yang cukup indah permandangannya. Kami tidak masuk ke muzium tersebut kerana tiketnya agak mahal iaitu 100 Bath (RM10) seorang memandangkan perjalanan kami adalah perjalanan  bajet.

Destinasi 2 : Terminal Feri

20160805_113239

Selesai minum pagi, kami meneruskan perjalanan ke terminal feri berdekatan dengan perlabuhan Songkhla. Sememangnya kita boleh terus ke Samila Beach tanpa melalui Ko Yo Island dan menaiki feri melintasi Tasik Songkhla, tetapi lebih menarik sekiranya kita mencari sesuatu yang lain dari kebiasaannya. Tambang feri yang dikenakan untuk setiap buah kereta adalah sebanyak 20 bath (RM2).

Destinasi 3 : Dataran Memorial

IMG_1712

Sebaik turun dari feri, sebagai panduan kita perlu membelok ke kiri untuk menuju ke Samila Beach. Tidak jauh dari terminal feri, terdapat tapak monumen bersejarah dimana terdapat replika Naga Besar dan Tugu Tokoh Thailand.

20160805_114208

Selalunya di sini para pelancong mengambil kesempatan mengambil gambar tanda sudah sampai ke pantai Songkhla ini.

Destinasi 4 : Tang Kuan Hill

20160805_120610

Selepas selesai bergambar, kami bergerak menuju ke Tan Kuan Hill. Bukit Tang Kuan ini berada tidak jauh daripada simpang empat untuk ke Samila Beach daripada tapak memorial yang kami lawati sebelum ini. Ketika sampai disimpang empat tersebut, kita perlu terus untuk sampai ke Tang Kuan Hill iaitu lebih kurang 500 meter daripada persimpangan.

Tang Kuan Hill merupakan bukit yang menempatkan tempat ibadat masyarakat Buddha Thailand dan mempunyai permandangan yang menarik ke arah Laut Cina Selatan dan kawasan Bandar Songkhla. Ianya mempunyai kereta kabel seperti di Bukit Bendera tetapi jarak perjalanannya lebih pendek. Tambang yang dikenakan adalah sekitar 40 bath (RM4).

Destinasi 5 : Samila Beach

IMG_1768

Selesai sahaja menuruni  Tang Kuan Hill, kami menuju ke Samila Beach. Di Samila Beach kami berkelah memakan bekal yang dibawa. Kami membawa bekal bagi menjimatkan perbelanjaan kerana dengan jumlah seramai 14 orang tidak mustahil kos makan tengah hari  begitu mahal. Namun begitu, jangan risau kerana berdekatan Samila Beach terdapat banyak restoren makanan Islam yang ada ditepi pantai Samila Beach. Kami kemudiannya mengambil gambar di tepi pantai Songkhla dimana terdapat replika patung kucing dan patung ikan Duyung yang menjadi mercu tanda Samila Beach.

Destinasi 6 : Aquarium Songkhla

Selesai bergambar kami menuju ke Aquarium Songkhla. Namun begitu kami hanya melewati di sebelah luar kerana kehabisan bajet untuk membeli tiket masuk. Mungkin kerana kumpulan kami merupakan kumpulan orang dewasa dan pernah memasuki Under Waterworld di Langkawi menyebabkan masing-masing tidak mahu masuk ke Aquarium Songkhla ini.

Destinasi 7 : Zoo Songkhla

IMG_1796

Destinasi seterusnya yang sesuai dirancang selepas bersantai di Samila Beach adalah di Zoo Songkhla. Apa yang lebih menarik di sini adalah kita boleh membawa kereta masuk dengan hanya bayaran sebanyak 50 bath (RM5). Tiket masuk bagi dewasa adalah 150 Bath (RM15) dan kanak-kanak 100 bath (RM10).

Di dalam Zoo Songkhla, terdapat taman tema air yang mempunyai kolam renang yang menarik untuk anak-anak dan ibu bapa.

Destinasi 7 : Pusat Islam Songkhla

Selesai kami menjelajah Zoo Songkhla dengan menaiki kereta, kami beralih untuk Pusat Islam Songkhla yang terletak tidak jauh daripada Khlong Hea (Floating Market @ Pasar Sampan). Di Pusat Islam Songkhla kami mandi terlebih dahulu dan solat jamak takhir untuk waktu solat Asar dan Zohor.

Destinasi 8 : Khlong Hea (Floating Market @ Pasar Sampan)

IMG_1877

Selesai solat, kami membuat pusingan U-Turn menuju ke Floating Market. Kadar bayaran parking yang dikenakan adalah 20 Bath (RM2). Kami membeli belah disekitar Khlong Hea dan ketika itu jam sudah menunjukkan 6.30 petang waktu Malaysia.

Memandangkan waktu sudah lewat, kami membatalkan hasrat menuju ke Hatyai Market dan terus pulang ke Bukit Kayu Hitam. Kalau kami bermalam mungkin sempat, tetapi disebabkan tidak bermalam kami perlu bergerak pulang lebih awal bagi mengelakkan pintu ditutup untuk kami keluar.

20160805_163408

Destinasi 9 : Tesco Lotus Sadao

Sebaik sampai di Sadao, kami singgah di Tesco Lotus Sadao. Kami membeli beras pulut di Tesco memandangkan harganya yang lebih murah daripada pecan Danok. Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam 30 minit untuk membeli belah dan solat jamak bagi waktu Maghrib dan Isya di surau yang disediakan.

Destinasi 10 : Restauran Nurlaila, Dannok

20160805_210250

Sebaik selesai, kami bergerak menuju ke pekan Dannok dan singgah makan malam di Restoren Nurlaila. Kami membuat tempahan 6 ekor Ikan Loban masak merah, Tom Yam Campur dan Kerabu Mempelam. Manakala daging bakar yang begitu popular dalam kalangan pengunjung Malaysia habis. Kempunan daging kami pada malam tersebut. Jumlah yang perlu dibayar untuk 14 orang makan pada malam tersebut adalah RM 245.

Usai makan, kami membeli belah disekitar pekan Dannok dan seterusnya bergerak pulang ke Alor Setar.

Tentatif Perjalanan Sehari dari Alor Setar ke Songkhla (Di cadangkan membuat perancangan awal dan meneliti laluan jalan pergi dan balik supaya lebih efisien)

BC

Bergerak jam 7.00 Pagi di Alor Setar

Destinasi Lawatan

  • Ko Yo Island
  • Terminal Feri Songkhla
  • Dataran Memorial
  • Tang Kuan Hill
  • Samila Beach
  • Aquarium Songkhla
  • Zoo Songkhla
  • Pusat Islam Songkhla
  • Pasar Terapung (Khlong Hea)
  • Tesco Lotus (Tiba di danok jam 7 petang)
  • Restoran Nurlaila

Tiba di Jitra jam 11.30 Malam

This entry was posted in Thailand, Travel and tagged , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s