Antara perkara yang dianggap negatif dan tidak suka ditimbulkan di dalam sesebuah perkahwinan adalah perceraian. Tanggapan negatif tentang perkara tersebut menyebabkan sebilangan besar pasangan suami isteri jarang membincangkan berkaitan dengan pengurusan harta implikasi daripada perkara besar tersebut. Tetapi yang pasti ianya berlaku tidak kira siapa samada seseorang itu bertaraf ulama atau pun orang biasa.
Apabila berlaku perceraian, terdapat implikasi berkaitan dengan harta yang melibatkan tuntutan kedua-dua belah pihak. Sekiranya tidak diuruskan awal akan menimbulkan kesulitan kepada suatu pihak yang lain. Sebagai contoh mudah, rumah yang dibeli atas 2 nama suami dan isteri lebih mudah untuk diselesaikan pembahagiannya berbanding tuntutan harta sepenceraian yang hanya ada nama sebelah pihak.
Sebelah pihak yang tiada namanya diatas geran perlu membawa bukti bahawa beliau menyumbang terhadap perolehan harta tersebut bagi mendapat keputusan mahkamah bahawa harta tersebut merupakan harta sepencarian. Berbanding jika diletakkan nama kedua-duanya diatas geran, maka lebih mudah untuk dibuat tuntutan bahawa harta tersebut ada bahagiannya.
Sekiranya tidak dirancang awal berkaitan dengan penama kepada harta, akan timbul isu sebelah pihak lagi dizalimi apabila berlaku perceraian. Si isteri mahupun si suami tinggal sebatang kara sehingga menunggu keputusan mahkamah berkaitan dengan proses tuntutan harta sepencarian dan sebagainya.
Islam adalah agama yang mengajar umatnya dengan penuh akhlak yang baik. Misalnya di dalam hal perceraian, si suami atau isteri sekiranya tidak sehaluan hendaklah berpisah dengan baik dan rasional didalam menguruskan hak masing-masing selepas perceraian misalnya seperti nafkah iddah, mut’ah ataupun pembahagian harta sepencarian dengan adil. Tetapi praktis yang berlaku adalah, selepas berlaku perpisahan sebahagian besar pasangan lebih suka bersikap padan muka dimana suatu pihak yang lebih berkuasa disebabkan mempunyai pendapatan lebih atau milikan harta di atas namanya akan menindas suatu pihak lagi menyebabkan berlakunya kezaliman di situ.
Sewajarnya pemilikan harta di dalam sesebuah perkahwinan dibuat atas perbincangan dan menjaga kebajikan bersama dengan andaian bahawa sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini maka jalan penyelesaiannya adalah memberi kebaikkan kepada kedua-dua belah pihak.
Langit tidak selalunya cerah!