Suri Rumah Satu Profesion

Suatu hari, seorang lelaki yang agak berumur bernama Pak Halim bertemu dengan seorang kaunselor. Tujuan utama pertemuan tersebut adalah untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Menurut Pak Halim, sejak kebelakangan ini, isterinya, Mak Zainab kurang melayaninya. Mak Zainab seperti sudah tawar hati dengannya. Menurut Pak Halim, selama ini isterinya tidak bekerja. Hanya dia yang berkerja. Mari kita ikuti dialog di antara Pak Halim dengan kaunselor.

“Apa kerja Pak Halim?” tanya kaunselor.

“Kerja saya hanya bersawah padi, encik,” jawab Pak Halim.

“Mak Zainab pula?”

“Mak Zainab tak kerja.”

“Tiap-tiap pagi, siapa yang sediakan sarapan?”

“Mak Zainab yang sediakan sebab dia tak kerja.”

“Pak Halim pula, bila pergi bendang?”

“Lepas sarapan pagi, saya pergi bendang sampai tengah hari.”

“Anak-anak, siapa yang hantar ke sekolah?”

“Anak-anak, Mak Zainab yang hantar ke sekolah sebab dia tak kerja.”

“Mak Zainab buat apa selepas hantar anak-anak ke sekolah?”

“Sebab dia tak kerja, dia kemaskan rumah dan masak untuk kami sekeluarga.”

“Sebelah petang, apa yang Pak Halim buat?”

“Selalunya Pak Halim tidur selepas makan tengah hari.”

“Mak Zainab pula buat apa selepas makan tengah hari?”

“Sebab dia tak kerja, sebelah petang Mak Zainab menjahit kain. Kemudian selepas  asar, kadang-kadang dia sapu sampah. Selepas itu, dia sediakan makan malam untuk keluarga.”

“Sebelah malam, apa yang Pak Halim buat?” tanya kaunselor itu lagi.

“Sebelah malam, Pak Halim berehat sebab siangnya dah letih bekerja. Kadang-kadang Pak Halim pergi ke surau.”

“Apa yang Mak Zainab lakukan di malam hari?”

“Mak Zainab, malam-malam dia rajin mengayam tikar sehingga lewat malam. Sebab dia tak kerja, itu yang dia buat,” jawab Pak Halim.

Kaunselor kemudian menggaru-garukan kepalanya. Dia memikirkan; antara Pak Halim dan isterinya yang tidak bekerja, siapakah yang lebih banyak bekerja? Sedangkan kerja Mak Zainab bermula seawal waktu subuh sehinggalah lewat malam, tetapi dikatakan tidak berkerja oleh suaminya.

Dilema Isteri Tidak Bekerja

Kisah ini sengaja saya bawakan untuk menggambarkan situasi yang berlaku kepada segelintir masyarakat kita. Apabila ditanya tentang isteri, hanya dijawab isterinya tidak berkerja. Sehingga tanpa disedarinya, isteri yang tidak bekerja dibebankan dengan kerja yang melebihi suami yang berkerja.

Bermula daripada memasak di awal pagi, menghantar anak ke sekolah, membasuh, mengemas rumah, memasak makanan tengah hari, menjahit kain, menyapu sampah, mengayam tikar dan sebagainya. Tidak terhitung sekiranya dikira satu persatu. Seorang isteri tidak akan duduk diam melainkan melakukan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.

Inilah perbezaan di antara lelaki dan wanita. Cuba kita bayangkan, sekiranya Pak Halim berada di tempat Mak Zainab, sudah tentu dialog ini yang kita dengar sekiranya Mak Zainab mengatakan Pak Halim tidak berkerja.

“Takkan buta kot mata sampai kata aku tak ada kerja. Dari pagi sampai malam, takkan ini bukan kerja?”

Tetapi Mak Zainab sekali-kali tidak pernah merungut walaupun dirinya dianggap tidak berkerja walaupun bebanan kerjanya menguruskan rumah tangga lebih berat daripada kerja suaminya. Bagi Mak Zainab, selama ini dia bahagia membuat kerja untuk keluarga kerana dia cintakan keluarganya. Mahu memberi sebanyak mungkin.

 

Suri rumah Sebagai Profesion

Meski tugas suri rumah sering dipandang sinis oleh sesetengah golongan, tetapi ia tetap merupakan suatu profesion. Cuba kita kenang kembali; sejak kecil sehingga dewasa, sudah banyak borang yang diisi oleh kita. Bermula daripada sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, entah berapa banyak borang yang perlu diisi, dan kebanyakan borang itu mengandungi ruangan maklumat pekerjaan ibu. Selalunya, bagi anak yang mempunyai ibu yang tidak bekerja, mereka akan mengisi pekerjaan ibu mereka sebagai suri rumah. Jarang sekali kita melihat ruangan pekerjaan ibu diisi sebagai tidak bekerja.

Pernah saya bertemu dengan seorang teman dari Yaman yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D di tempat saya bekerja. Secara kebetulan, dia tersilap mencari pejabat pendaftaran sehingga sampai ke pejabat saya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Moosa, guru Bahasa Inggeris di Yaman. Apabila ditanya; apakah pekerjaan isterinya, dia menjawab; isterinya bekerja sebagai suri rumah. Saya berkata kepadanya bahawa isterinya tidak bekerja. Dengan pantas, dia menjelaskan bahawa tugas seorang isteri bukan bekerja mencari nafkah, tetapi kerjanya menghiburkan suami selepas penat bekerja. Baginya, agak memalukan sekiranya isterinya bekerja, kerana kudrat yang ada pada dirinya mampu untuk menyara keluarga.

 

Budaya Berbeza

Budaya yang diamalkan oleh Moosa ini tidak berlaku dalam masyarakat negara kita. Sekiranya terjadi sekalipun, mungkin dalam kalangan orang yang berada. Misalnya, apabila suami sudah mempunyai pendapatan yang kukuh, isteri diminta menjadi suri rumah untuk menguruskan rumah tangga.

Tetapi ada juga yang masih memilih untuk bekerja, kerana budaya di dalam negara kita menggalakkan golongan wanita untuk berkerja. Bekerja untuk mengembangkan lagi produktiviti negara, dan keduanya bagi menambah pendapatan keluarga.

Sekiranya isteri tidak bekerja, bagi masyarakat awam, biasanya agak sukar untuk membina kehidupan dengan selesa. Ini kerana pendapatan suami biasanya tidak mencukupi bagi menanggung kos sara hidup yang kian meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, tujuan isteri bekerja adalah untuk membantu suami bagi mengukuhkan sumber kewangan keluarga.

 

Suami Perlu Bijak Menghargai Isteri

Tidak dinafikan, mungkin ada isteri tidak pernah merungut berkenaan kerja-kerja rumah yang dilakukannya. Suami seharusnya menghargai sumbangan besar ini. Isteri melakukannya kerana “cinta tanpa syarat”. Isteri tidak pernah mengukur berapa banyak khidmat yang diberikan, kerana mereka sering berfikir hanya untuk memberi. Intense love does not measure, it just give.

Untuk para suami, sewajarnya pengorbanan isteri melakukan kerja yang jauh lebih berat ini dihargai sebaiknya. Seorang isteri bukannya mengharapkan sebarang balasan, tetapi tidak salah untuk seorang suami memberikan ganjaran. Apabila ditanya apakah pekerjaan isteri, jawablah; isteri saya seorang suri rumah yang menjalankan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.

This entry was posted in Keluarga and tagged , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s