Mencari Hati Yang Sihat

“Encik, andai nak urus program, jangan urus seperti budak-budak. Susah orang dibuatnya,” ujar seorang peserta kepada seorang pegawai dalam nada kurang sopan. Wajah pegawai yang dimarahi tersebut merah padam, tetapi masih tersenyum. Pelajar yang memarahi tersebut berjalan naik bersama teman-temannya ke bilik hotel dalam keadaan marah.

Berdesing telinga saya dibuatnya. Walaupun bukan ditujukan kepada saya, tetapi tidak wajar perkataan tersebut disimbah kepada orang yang jauh lebih dewasa. Hati saya panas membara.

Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya masih lagi bergelar mahasiswa. Kami mengadakan sebuah program dengan sebuah universiti di Selatan Thai dan menginap di sebuah hotel.

Isu timbulnya kemarahan tersebut hanya disebabkan satu perkara, iaitu peserta yang berada di dalam bas gagal dihubungi kerana tiada peserta yang membeli kad sim negara tersebut. Ini menyebabkan pihak urusetia menjadi gelisah kerana gagal menghubungi peserta di dalam bas yang kami naiki.

Meskipun pada peringkat awal sebelum bertolak, kami telah diminta membeli kad sim negara tersebut, kami gagal membelinya. Ini kerana, kami tidak biasa dengan keadaan negara tersebut, menyebabkan kami tidak dapat membelinya.

Ketika tiba di hotel berkenaan, salah seorang pegawai pengiring bertanya kepada kami berkenaan mengapa kami tidak mendapatkan kad sim tersebut. Wajahnya kelihatan agak marah, mungkin kerana keletihan mencari hotel sebelum ketibaan kami. Kemudian, pegawai tersebut berlalu pergi.

Seterusnya, salah seorang daripada urusetia pelajar pergi berjumpa dengan pegawai yang lain. Umurnya jauh lebih muda daripada pegawai pertama tadi. Dengan tidak semena-mena, pelajar itu dengan nada marah melepaskan geramnya kepada pegawai tersebut. Terpinga-pinga beliau dibuatnya. Namun, beliau tidak memberikan sebarang respon. Beliau hanya tersenyum pahit.

Saya yang menyaksikan peristiwa tersebut terkejut. Tidak wajar teman saya itu menghamburkan perkataan sedemikian rupa kepada pegawai berkenaan. Walaupun yang dimarahinya bukan saya, tetapi hati saya sedikit tersinggung dengan perbuatan teman saya itu. Apa yang membuatkan saya tersinggung adalah kerana teman yang diherdik ini adalah individu yang tidak bersalah. Temannya yang membuat teguran, tetapi dia yang dihambur dengan kata-kata biadap begitu.

Namun begitu, pada saat-saat itu, terdetik rasa kagum di dalam hati saya. Dalam keadaan tegang begitu, beliau masih mampu tersenyum tanpa bicara. Entah apa yang ada di dalam hatinya sehingga mampu tersenyum sedemikian rupa.

“Saya minta maaf banyak-banyak, bang. Bagi pihak sahabat saya.” Saya menegur untuk memohon maaf kepada pegawai tersebut dan membahasakan dirinya sebagai abang.

“Tak mengapa, biasa saja bagi saya.”

“Betul ke abang tak ambil hati?” tanya saya.

“Ya. Ini perkara kecil sahaja,” balasnya ringkas.

Sebelum naik ke bilik, saya sempat bersembang-sembang dengannya. Sempat saya bertanya mengapa dia tidak berasa marah dengan perbuatan pelajar tadi. Jawab beliau, bukan dirinya tidak berasa marah, tetapi beliau cuba membuang perasaan marah tersebut. Ini kerana sifat marah yang ada di dalam diri itu adalah hembusan-hembusan syaitan untuk merosakkan hubungan sesama manusia.

Beliau tidak kisah dengan kata-kata pelajar itu kepadanya. Menurutnya, biar apa orang kata pada kita, tetapi Allah yang mengetahui apa yang ada di dalam hati kita. Kita masih ada Allah untuk membalas segala-galanya. Orang yang hatinya sakit, apabila dihambur dengan kata-kata yang sedemikian rupa mungkin akan bertambah sakit hatinya. Bermasam muka berhari-hari. Tetapi orang yang sihat hatinya, akan cuba mengawal perasaannya.

Ketika kami berbicara tentang perkara tersebut, beliau langsung tidak mencerca perbuatan pelajar tadi. Menurut beliau, pelajar itu adalah seorang yang baik. Banyak pertolongan yang telah diberikan olehnya kepada beliau. Terutamanya di dalam mencari bahan-bahan untuk pengajian di peringkat sarjana. Walaupun pelajar tersebut merupakan pelajar ijazah pertama, tetapi buku rujukan yang digunakan oleh mereka adalah sama.

Menurut beliau lagi, di dalam hidup ini kita akan menderita sekiranya mengingati kesalahan orang kepada kita. Manusia sentiasa membuat kesalahan, tetapi Allah tetap mengampunkan mereka sekiranya bertaubat. Apatah lagi kita sebagai manusia, andai kata orang membuat salah kepada kita, itu adalah asam garam dunia. Kita akan bahagia sekiranya mengingati kebaikan orang kepada kita dan melupakan segala silap dan salahnya pada kita.

Beliau cuba membawakan kisah kebaikan pelajar tersebut kepada dirinya. Banyak kebaikan yang telah diberikan oleh pelajar tersebut kepadanya. Membantunya dalam menguruskan program-program yang dijalankan oleh pihak universiti sehinggalah kepada urusan peribadi, iaitu berkaitan bahan-bahan pengajian di peringkat sarjana.

Sekiranya hanya kerana hal yang kecil sedemikian rupa menyebabkan dirinya bersangka buruk kepada pelajar tersebut akan menyebabkan dirinya kehilangan seorang teman yang dapat membantunya. Biarlah di dalam kehidupan ini kita mempunyai ramai teman yang dapat membantu daripada memiliki teman yang membuntu.

Namun begitu, pesannya pada saya; Sebagai seorang mahasiswa, jagalah akhlak dengan orang yang lebih tua. Jagalah adab dan tutur bicara terutama apabila terlibat di dalam arena dakwah. Masyarakat sekeliling memerhatikan kita. Hanya kerana kesalahan yang kecil, kadang-kadang dibesarkan menyebabkan dakwah yang dibawa sukar untuk diterima oleh mereka.

Faisal, bas dah sampai,” panggil Amirul, teman saya.

Lamunan kisah silam bubar ketika bas yang ditunggu telah tiba. Saya bergegas bangun daripada sofa untuk menyambut dan menguruskan peserta yang tiba. Tetamu yang hadir sepatutnya saya layani mereka.

 

Ketika Jiwa Berbicara,

Lee Garden Hotel

Hatyai, Thailand.

9 Mac 2011, 7.22 pm.

 

 

 

This entry was posted in Akhlak. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s