Bercinta Bertahun, Berkahwin Sehari

“Faisal, hari ini ikut abang ke Mahkamah”, ajak Abang Hafiz.

“Mahkamah mana abang”, saya meminta kepastian.

“Esok kita ada kes di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur”, balasnya.

“Kes apa abang?”.

“Esok kes Mal. Permohonan untuk mendapatkan perintah interim hadhanah secara ex-parte”, balasnya.

“Ada apa-apa dokumen yang perlu saya sediakan?”.

“Faisal cuba study sikit kes yang kita nak bawa esok. Kes ni bermula daripada fail penceraian dan beberapa kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Nanti mudah Faisal nak buat laporan”, beritahu  Abang Hafiz.

Hampir setiap hari ada sahaja kes-kes berkaitan dengan perceraian yang perlu diselesaikan semasa saya menjalani praktikum di firma guaman Tetuan Faiz Adnan & Co. Hampir tiga bulan saya berada di sana dengan harapan apabila sudah tamat belajar nanti akan bersedia untuk menjadi seorang peguam syarie.

Banyak yang saya pelajari terutama berkaitan dengan asam ragam rumah tangga. Etika yang sepatutnya diamal oleh seorang peguam syarie, walaupun pada ketika itu memang tidak terniat langsung untuk menjadi seorang peguam syarie.

 

Bercinta Bertahun, Berkahwin Sehari

Pengalaman menjalani praktikum di firma guaman dan setahun sebelum itu di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu menyedarkan saya tentang krisis keluarga yang kian meruncing. Saban hari ada sahaja kes-kes perceraian yang mesti diselesaikan.

Ada pasangan yang hanya sempat berkahwin sehari sahaja, kemudiannya keesokkan harinya mereka bercerai!. Bercinta bertahun-tahun lamanya, tetapi berkahwin hanya sehari.

Pernah seorang klien yang saya temui, apabila ditanya kenapa dia hendak bercerai. Dia menjawab saja suka-suka. Tidak ada sebab yang kukuh untuk bercerai. Isterinya juga merancang untuk bercerai selepas melahirkan anak kedua baru-baru ini. Tiada angin, tiada ribut tetapi bercerai. Tujuan mereka berkahwin pun sebenarnya hanya suka-suka. Hanya untuk menghalalkan persetubuhan, jawabnya selamba. Saya berfikir, apakah krisis sebenarnya yang menimpa umat sehinggakan bercerai pun kerana suka-suka!.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh JAKIM berkenaan kadar perceraian di Malaysia pada tahun 2009 yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 4 Mac 2011. Bagi setiap 15 minit 1 kes perceraian yang berlaku, setiap 1 jam sebanyak 4 kes perceraian, setiap 24 jam sebanyak 96 kes, sebulan sebanyak 2880 pasangan cerai, dan setahun sebanyak 34 560 kes yang dicatatkan.

 

Bercerai Itu Susah

Saya mengakui, ketika mendengar jawapan bercerai kerana suka-suka menyebabkan darah saya menyirap. Tetapi sebagai seorang wakil firma guaman saya tidak sewajarnya saya menunjukkan tanda-tanda benci dengan sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Cerai adalah perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah SWT. Perkara yang dibenci Allah, hanya dibuat suka-suka oleh manusia. Sengaja suka-suka menyebabkan Allah “benci” kepadanya.

Seseorang yang ingin bercerai perlu menyedari bahawa bercerai itu susah. Pertamanya berkenaan tuntutan undang-undang dan keduanya tuntutan syarak. Dari sudut undang-undang pasangan perlu mengikuti beberapa proses naik turun mahkamah dan ke semuanya memerlukan kepada kos yang agak tinggi.

Keduanya kesan dari sudut syarak. Perkara inilah yang akan diperhalusi oleh mahkamah dan jarang diketahui oleh masyarakat umum. Permasalahan berkaitan mut’ah, nafkah iddah, nafkah anak, hak hadhanah dan sebagainya.

Kecelaruan semakin bertambah apabila seseorang suami gagal menunaikan tanggungjawab ini selepas perceraian. Perkara ini boleh menyebabkan suami dikenakan tindakan oleh mahkamah kerana ingkar perintah mahkamah. Tanggungjawab ini bukan hanya sehari, tetapi sehingga lepas ke semua tanggungannya dengan isteri yang diceraikan. Sekiranya tersilap langkah boleh dipenjara!.

 

Anak-anak Terabai

Apabila perceraian berlaku diantara suami dan isteri, lazimnya anak-anak yang menjadi mangsa. Ketika anak-anak masih lagi diperingkat membesar dan memerlukan kasih sayang yang secukupnya, ibu-bapa pula memikirkan haluan masing-masing.

Kebajikan anak-anak terabai, bahkan ada yang dibiarkan tanpa bimbingan. Paling menyedihkan adalah beberapa kejadian yang berlaku akhir-akhir ini. Ada beberap kes kanak-kanak mati didera oleh kekasih ibunya sendiri. Di dera untuk memenuhi nafsu kebinatangan yang ada pada manusia yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan. Bukan hanya keperluan tidak dipenuhi, tetapi mereka terus “dihantar” bertemu Illahi.

Inilah bahana cinta yang tidak diiringi dengan tanggungjawab. Hanya bercinta kerana nafsu semata-mata, rumah tangga yang dibina terburai ditengah jalan. Tanggungjawab inilah yang sukar untuk dicari dalam kalangan pasangan yang berkahwin pada hari ini.

 

Kursus Perkahwinan Yang Efektif

Dua tahun lepas saya menghadiri kursus perkahwinan yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya. Sepanjang mengikuti kursus tersebut, pengisian yang diberikan lebih banyak kepada lawak yang bersifat “lucah”. Malangnya daripada penceramah yang pertama dan penceramah yang terakhir, lawak yang dibuat adalah sama dan stereotaip. Cuba bayangkan selama dua hari para peserta menunggu, dari pagi sehingga petang hanya untuk mendengar cerita-cerita dan lawak yang berulang.

Namun begitu para peserta terpaksa juga menunggu dan mendengar celotehan para penceramah kerana mahukan “lesen” untuk berkahwin. Kerana semangat yang berkobar-kobar untuk berkahwin, kursus tetap dilalui walaupun hanya masuk dewan untuk “tidur”.

Setelah bertahun lamanya modul kursus perkahwinan dijalankan di Malaysia, sewajarnya kursus perkahwinan perlu diberikan nafas baru. Perlunya ada pembangunan modul yang lebih efektif dan komprehensif selari dengan peredaran zaman.

Bukan hanya membincangkan hukum hakam untuk menghadapi perkahwinan, tetapi perlu diterapkan juga kaedah bagaimana untuk menguruskan sebuah keluarga. Kurangnya kefahaman berkenaan “Parenting Skill” dalam kalangan pasangan yang berkahwin pada masa kini juga perlu diberi penekanan.

Bukan hanya menekankan keperluan untuk berkahwin, tetapi ditekankan juga tujuan sebenar sebuah perkahwinan. Bukan hanya kahwin kerana suka-suka, tetapi juga perlu menghindar murka.

 

This entry was posted in Parenting and tagged , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s