Dengan Hidayah, Kerja Jadi Mudah

Saya bersyukur. Dalam program ini saya jelas tujuan hidup saya. Baru saya sedar selama ini kerja-kerja yang saya lakukan di pejabat merupakan ibadah kepada Allah SWT”, luah seorang peserta kursus sebaik selesai menjalankan kursus.Wajahnya kelihatan bersemangat. Jelas kelihatan beliau seperti mendapat nafas baru di dalam kehidupan.

Ini bukan kali pertama saya mendengar luahan-luahan begini daripada para peserta kursus. Selama tiga tahun bergelumang dengan dunia latihan, baik latihan yang dijalankan kepada badan kerajaan mahupun korporat, daripada level atasan sehingga level bawahan. Luahan beginilah yang sering dinanti-nantikan daripada mulut para peserta. Sekiranya ada yang meluahkan begini, bermakna kursus tersebut sudah mencapai KPI yang diharapkan. KPI tersebut adalah mereka jelas bahawa kerja-kerja yang dilakukan di pejabat merupakan ibadah di sisi Allah SWT melalui ibadah umum mereka.

Setiap kali mengendalikan kursus, apabila para peserta meluahkan perasaan mereka hati saya sedikit terusik. Walaupun berulang-ulang kali saya mendengar luahan yang hampir sama, tetapi setiap kali saya mendengarnya hati saya tetap berasa sebak. Hati sebak kerana bersyukur kerana hidayah Allah telah mengetuk pintu hati mereka.

Di dalam kesibukkan dengan tugas-tugas baru yang perlu dipikul dijabatan baru, di samping aktiviti rutin yang agak padat memandangkan waktu ini merupakan fasa terakhir untuk saya menyiapkan buku yang diusahakan bersama isteri, namun begitu masih diberi peluang untuk menjayakan projek terakhir saya yang dirancang ketika berada di UUM CAS sebelum ini iaitu kursus Motivasi Jiwa bersama staff Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Kursus terakhir bagi saya di UUM kerana selepas ini kerja-kerja yang dilakukan lebih memfokuskan kepada pentadbiran berbanding kerja-kerja sebelum ini yang berkaitan dengan latihan. Walaupun bertukar, saya tetap bersyukur kerana kedua-dua ruang dan peluang baru yang diberikan ini merupakan medan ibadah baru bagi saya iaitu dimedan penerbitan.


Walaupun kehadiran pada kali ini hanya sebagai pengganti kepada Dr Shukri Ahmad, tetapi peluang yang diberikan tetap digunakan sebaiknya. Pengalaman hampir 3 tahun menjalankan program latihan semasa berkhidmat di Fitrah Perkasa digunakan sepenuhnya bagi memastikan setiap hidangan kuliah dijamah oleh para peserta dengan sepuas-puasnya.

Di dalam kursus Motivasi Jiwa siri pertama dan kedua yang dijalankan, saya hanya hadir sebagai urusetia dan pembantu fasilitator yang lebih banyak memerhati kerana tidak mahu menganggu perancangan yang dibuat oleh fasilitator utama iaitu Ust Khadafi dan Dr Shukri. Tidak menyampaikan sebarang ceramah tetapi hanya membantu menjadi imam di surau sahaja. Ini kerana Kursus Motivasi Jiwa merupakan produk mereka berdua, maka tidak eloklah sekiranya saya menggangu perancangan mereka.

Kehadiran saya ketika itu hanya sebagai urusetia dan serba sedikit membantu mereka yang masih baru di dalam dunia latihan berbentuk keagamaan. Membantu dan memberi garis panduan untuk mengendalikan program latihan berkesan terutamanya apabila melibatkan jumlah peserta yang besar dan masa yang agak panjang iaitu selama 3 hari 2 malam. Namun begitu kesulitan yang dihadapi oleh Dr Shukri di saat-saat akhirnya menyebabkan baton beliau di serahkan kepada saya. Peluang yang diberikan digunakan sebaiknya bagi tidak menghampakan 60 orang peserta yang hadir.

Hidayah Milik Allah

“Hidayah yang menusuk ke dalam kalbu mereka itu datangnya dari Allah. Kita hanya perantara untuk membawa mereka ke arah itu”.

Ini merupakan pesan sifu di dalam bidang latihan saya semasa menjalankan latihan motivasi ketika berkhidmat di Kuala Lumpur. Inilah motivasi yang dipegang sehingga kini dalam menjalankan program-program latihan kepada mana-mana organisasi.

          Perubahan sememangnya diharapkan oleh semua pihak, namun begitu perubahan yang lahir daripada hati nurani merupakan perubahan yang hakiki. Ini kerana, hati merupakan singkapan iman. Iman merupakan kurniaan Allah kepada hamba-hambanya yang betul-betul terpilih.

Ada peserta yang hidayahnya datang semasa di dalam program, dan ada sebahagian peserta yang mendapat hidayah selepas pulang daripada program. Bahkan ada juga yang mengambil masa bertahun-tahun untuk berubah. Ini kerana hidayah Allah milik mutlak Allah SWT. Allah hanya memberikannya kepada hamba-Nya yang terpilih sahaja. Firmah Allah SWT :

“Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Dengan Hidayah Kerja Jadi Mudah

Mendapat hidayah bermakna Allah memberikan kebaikkan kepada kita. Hidayah bermakna petunjuk, seumpama kompas kehidupan yang diberikan oleh Allah SWT. Hidayah Allah itu luas sifatnya. Ada yang mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam, ada yang sudah beragama Islam, tetapi diberikan hidayah untuk beramal dengan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT.

Antara bentuk hidayah yang diberikan oleh Allah SWT juga antaranya kita dapat memahami bahawa kerja yang kita lakukan dipejabat sehari-harian merupakan ibadah kepada Allah SWT. Dengan hidayah yang diberikan, kerja-kerja yang dilaksanakan akan menjadi bertambah mudah. Mudah kerana ketika itu kita akan meletakkan setinggi-tinggi pergantungan kepada Allah SWT.

Melalui hidayah ini, produktiviti kerja kita akan meningkat. Keyakinan dan motivasi kerja makin bertambah dari hari ke hari. Segala bentuk motivasi dan kekuatan ini merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang berserah diri sekeluruhan hidup mereka pada-Nya. Bermula daripada urusan diri, rumah tangga sehinggalah kepada urusan pekerjaan turut disandarkan kepada Allah SWT.

Antara Tujuan dan Keperluan

Kerja dipejabat bukan sekadar untuk makan gaji, tetapi lebih daripada itu. Medan beribadah di pejabat melalui kerja-kerja yang dilaksanakan seharusnya difahami sebagai ruang untuk kita merebut pahala yang diberikan oleh Allah SWT. Gaji adalah keperluan, tetapi Allah adalah tujuan.

Sekiranya kita hanya memikirkan keperluan, maka sedikit demi sedikit akan hilang Allah dalam tujuan hidup kita. Tetapi sekiranya kita meletakkan Allah sebagai tujuan utama kita bekerja, keperluan kita tetap akan dipenuhi kerana sudah menjadi lumrah alam setiap yang bekerja pasti akan mendapat balasan iaitu gaji.

Bagi yang meletakkan keperluan semata-mata di dalam pekerjaannya, maka dia hanya menerima gaji sahaja. Mereka hanya membina kesenangan tetapi belum tentu mendapat ketenangan. Manakala bagi yang mengutamakan tujuan iaitu Allah di dalam pekerjaan mereka, maka mereka mendapat “bonus” daripada Allah. Di penuhi keperluan melalui gaji yang diperolehi, dan diberikan ganjaran pahala dan ketenangan di dalam melaksanakan pekerjaan daripada Allah yang menjadi tujuan utama di dalam pekerjaannya.

Cetusan Hidayah Perlu Di Teruskan Dengan Ilmu dan Iman

Ada sebilangan yang merungut, kesedaran yang dapat di dalam kursus selalunya tidak bertahan lama. Ada yang mempunyai semangat berkobar-kobar untuk berubah, namun akhirnya semangat tersebut semakin luntur di makan masa. Kata pepatah melayu seperti hangat-hangat tahi ayam.
Untuk memastikan hidayah yang diperolehi ini berterusan, kita mestilah berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan ilmu agama yang bersifat fardhu ain. Kesedaran yang dihasilkan atas dasar akan memberikan kita kekuatan untuk terus beramal dan bekerja. Beramal tanpa ilmu ibarat layang-layang yang tidak diikat dengan tali, tidak mampu untuk dikawal dan akhirnya hilang dibawa angin entah ke mana.

Selain itu, hati juga perlulah sentiasa disuburkan dengan iman. Iman merupakan perkara asas yang perlu di selesaikan sebelum kita melangkah menuju Allah SWT. Melalui iman yang mendalamlah kita akan mendapat kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan optimis dan kesannya meningkatkan produktiviti kerja kita.

Dengan iman kita meletakkan Allah sebagai “bos” di dalam pekerjaan kita. Allah is our CEO. Sekiranya kita tidak dipantau oleh bos kita sekalipun, kita tetap bekerja bersungguh-sungguh kerana kita yakin bahawa Allah tetap memerhatikan kita. Ke mana sahaja kita pergi, merasakan Allah sentiasa berada di dalam hati kita.

Menghidupkan Suasana Kekeluargaan Di Pejabat

Untuk terus kekal melakukan perubahan pada diri sendiri, sokongan dan dokongan padu sahabat-sahabat sepejabat merupakan salah satu daripada faktor penting. Sekiranya wujud mawaddah (kebahagiaan), mahabbah (kasih sayang) dan sakinah (ketenangan) di pejabat, ianya turut sama membantu kita untuk terus istiqomah di dalam perubahan tersebut.

Kata pakar-pakar motivasi, “orang yang tidak bahagia di tempat kerja, tidak akan bahagia di dalam hidupnya”. Ini kerana, sebahagian besar “prime time” kita dihabiskan bersama teman-teman di pejabat. Bermula daripada jam 8 pagi sehinggalah jam 5 petang.

Sekiranya kita gagal untuk mewujudkan suasana kebahagiaan dalam kalangan sahabat-sahabat seorganisasi, maka selama itulah kita akan hidup dalam keadaan menderita. Ketika itu sekiranya kita lemah kita akan tersungkur, tetapi sekiranya kita optimis dengan janji Allah ianya memberikan kekuatan kepada kita untuk terus bekerja.

Pelbagai aktiviti boleh di jalankan seperti majlis tahlil bulanan bersama, majlis tazkirah, bacaan yasin dan sebagainya. Sekali sekala mengadakan kenduri arwah secara kecil-kecilan hasil sumbangan infak dan sukarela ahli organisasi. Perkara-perkara beginilah yang memupuk sifat kasih sayang dalam kalangan kita. Yang berkemampuan membantu dari sudut kewangan, manakala yang kurang berkemampuan membantu dari sudut meramaikan. Saling membantu dan bersinergi di antara satu sama lain. Hasilnya lahir sebuah organisasi yang wujud sakinah atau ketenangan di dalamnya.

Doa Senjata Terakhir

Setiap hari kita tanpa kita sedari, kita berdoa sekurang-kurangnya 17 kali setiap memohon diberikan hidayah oleh Allah SWT di dalam bacaan al-Fatihah ketika solat. Kesan daripada doa tersebutlah sehingga kini pelbagai bentuk hidayah atau petunjuk yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Bagi orang-orang celik hatinya, hidayah yang diberikan ini mereka rebut sebanyak-banyaknya. Manakala bagi orang yang buta hatinya, hidayah yang diberikan ini dilepaskan begitu sahaja. Berlalu pergi tanpa merasakan kerugian walaupun hidayah terbentang di hadapan mata. Seperti kata teman saya Izzat Amin, hidayah umpama bunga. Andai seseorang kekasih menerima bunga, dia akan mencium bunga tersebut tanda menghargai. Namun begitu, andai kera diberikan bunga, kera tersebut akan mengoyak-ngoyakkan bunga tersebut.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang terpilih, yang sentiasa “tamak” untuk merebut hidayah Allah SWT. Terus berdoa dan berusaha untuk mendapatkan hidayah sebagai panduan di dalam kehidupan.

Mohd Faisal Mustaffa
26 Julai 2011 / 10.33 pm

This entry was posted in Dakwah, Motivasi, Organisasi. Bookmark the permalink.

2 Responses to Dengan Hidayah, Kerja Jadi Mudah

  1. achmad abdollah says:

    Terbaik dari editor

  2. mashitah says:

    ya Allah jadikanlah diriku dan umat islam semua di dunia ini menjadi insan yg berjaya di dunia dan akhirat…..semoga kita bersyukur dengan apa yg kita ada.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s