“Ustaz Faisal ya?”, Tanya seorang kakak ketika saya mengendalikan kursus di sebuah tempat.
“Ya. Saya”, jawab saya ringkas.
“Akak nak ucap terima kasih sebab ustaz dah sedarkan suami saya”.
“Sedarkan suami akak?,”
Saya terkial-kial. Wajah wanita di hadapan saya ini sangat asing bagi saya. Tidak pernah saya kenali seingat fikiran saya. Saya bukannya orang popular yang sering muncul corong radio, apatah lagi di kaca televisyen. Menulis buku pun tidak pernah.
“Ya Ustaz. Ustaz ingat tak pemandu Datin yang menginap sebilik dengan ustaz semasa kursus di Perak baru-baru ini”, tambah kakak tersebut.
Baru saya teringat. Ketika menjalankan kursus di Perak, saya menginap sebilik dengan 2 orang pemandu organisasi tersebut. Manakala dua orang lagi fasilitator tidur di chalet bersebelahan. Walaupun bilik agak kecil, tetapi hati saya gembira kerana mendapat teman baru pada ketika itu.
Bersembang Tentang Solat
Walaupun berprogram selama 3 hari 2 malam, tetapi kami hanya sempat bersembang hanya pada sebelah malam pertama sahaja. Ini kerana, pada sebelah siangnya jadual program terlalu padat. Manakala pada malam kedua, di adakan BBQ atas permintaan pengerusi kelab tersebut.
Selepas selesai program pada malam tersebut, saya menghabiskan masa selama sejam untuk bersembang dengan kedua orang pemandu ini. Perbincangan tersebut berkisar tentang soal-soal keagamaan.
Isu yang paling banyak di sentuh adalah berkenaan dengan solat. Saya menceritakan kepada mereka sebuah kisah berkenaan keberkatan menunaikan solat. Di mana, ketika saya mengendalikan kursus di sebuah tempat seorang meluahkan perasaannya. Perniagaannya makin maju selepas dia menunaikan solat. Begitu juga dengan seorang teman yang lain, hasil padinya bertambah semenjak dia tidak meninggalkan solat.
Solat Membawa Keberkatan
Begitu juga di dalam rumah tangga. Orang yang mendirikan solat di dalam rumahnya akan bahagia. Tambahan pula di adakan solat jemaah di dalam rumah tersebut merangkumi seluruh ahli keluarga. Tetapi bagi orang-orang yang meninggalkan solat, walaupun mereka menganggap diri mereka bahagia sebenarnya mereka salah. Hidup mereka sentiasa sempit dan kusut dengan pelbagai masalah. Rumah tangga yang dibina tiada keberkatan kerana meninggalkan suruhan Allah SWT.
Mungkin ada yang mendabik dada, sepanjang hidup mereka tidak pernah menunaikan solat tetapi rumah tangga mereka kekal sehingga ke mati. Itu mungkin jawapan akal yang bersandarkan nafsu. Tetapi bagaimana dengan jawapan hati yang bersandarkan dengan iman. Bagaimana sekiranya keluarga yang nampak bahagia ini, apabila berkumpul di mahsyar kelak adakah mereka akan terus bahagia? Bagaimana dengan nasib seorang ayah yang di khabarkan oleh Baginda SAW yang akan dituntut hak oleh anak dan isterinya. Bagaimana sekiranya sekiranya mereka sekeluarga dicampakkan ke dalam neraka Allah SWT semata-mata kerana tidak bersolat? Mungkinkah mereka akan bahagia?
Keluarga Makin Bahagia
Menurut kakak tersebut, sebelum ini suaminya tidak pernah menunaikan solat. Tetapi selepas pulang daripada program tersebut suaminya mula menunaikan solat.
Saya terkedu. Suami kakak tersebut bukan peserta di dalam kursus tersebut. Sekali-kali pun tidak pernah menjejakkan kaki masuk ke dalam dewan kuliah mendengar siri ceramah yang di sampaikan. Tetapi beliau mendapat hidayah daripada program tersebut.
Terdetik di dalam hati, maha adil dan agungnya Allah SWT. Daripada ramai-ramai peserta yang hadir, salah seorang yang dipilih untuk mendapat hidayah adalah seorang pemandu yang rendah pangkatnya.
Menurut kakak tersebut, sejak akhir-akhir ini kehidupan mereka semakin mendapat ketenangan. Inilah yang dikatakan berkat. Ketenangan ini adalah milik mutlak Allah SWT. Ianya hanya dikurniakan kepada orang-orang yang hanya tunduk dan sujud kepada-Nya.
“Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allahlah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Q.s. al-Fath: 4).
Ingin bertanya beberapa soalan…