Menjaga Iman Dengan Berkahwin

“Saya dalam dilema ustaz. Saya ingin berkahwin tetapi masalahnya mak dan ayah tak benarkan,” luah seorang pemuda semasa saya menyampaikan ceramah di sebuah kolej.

“Calonnya dah ada?”, tanya saya.

“Sudah ada ustaz. Dia bekerja di sini juga. Tapi kami berdua ni berjawatan kecil sahaja. Saya dan dia kedua-duanya kerani”, tambahnya lagi.

“Tapi masalahnya mak dan ayah kami. Bakal mertua saya mahukan wang hantaran yang tinggi. Mak ayah saya pulak nak buat kenduri yang besar. Tapi saya tak ada duit sebanyak itu”, dia mengeluh.

“Dah cuba bawa berbincang?”, saya bertanya lagi.

“Sudah. Mereka minta saya buat personal loan. Masalahnya kami berdua berjawatan kontrak. Susah nak buat personal loan. Tambahan pula saya tak suka nak berhutang banyak semata-mata untuk majlis perkahwinan. Nanti sudah beranak-pinak masih membayar hutang perkahwinan”, balasnya.

Pemuda yang saya temui ini adalah seorang yang baik dan berwajah jernih. Walaupun tidak berlatarbelakangkan sekolah agama, tetapi dialah yang aktif menghidupkan surau di kolej tersebut. Sebuah kolej baru yang terletak di cerok hutan di hujung utara tanah air. Bakal pasangannya juga saya kenali, seorang Muslimah yang bertudung labuh yang turut sama bekerja di situ.

Masalah yang dihadapi oleh mereka berdua ini bukan masalah terpencil, tetapi masalah yang kini kian membarah di dalam masyarakat negara kita. Perkahwinan adalah sesuatu yang mudah selepas kedatangan Islam, namun begitu apabila kini Islam semakin dipinggir dalam kehidupan, ianya menjadi payah. Kepayahan ini kerana amalan jahiliah mula menular kembali ke dalam masyarakat.

Ibu bapa lebih rela melihat anak mereka keluar ke sana sini dengan pasangan masing-masing, tetapi untuk berkahwin dengan kos yang sederhana jangan sekali!. Biar bertahun-tahun lamanya bergelumang dengan d

osa, tapi jangan mencalit arang ke muka mereka dengan mengadakan kenduri yang biasa. Mesti luar biasa! Bahkan ada sesetengahnya menyebabkan pasangan begini tertekan dan mengambil jalan pintas. Ada yang memilih untuk berkahwin di Selatan Thailand, dan ada juga yang memilih untuk bersekedudukan tanpa nikah. Akhirnya, lahir anak-anak luar nikah yang kemudiannya dibuang ke sana sini.

Perkahwinan bukanlah sesuatu yang hendak dibangga-banggakan, tetapi adalah sunatullah kehidupan bagi meneruskan zuriat dalam kehidupan. Cukuplah sebuah perkahwinan sederhana yang ada berkatnya, bukannya perkahwinan yang gah tetapi akhirnya rumah tangga punah-ranah. Berumahtangga untuk berbangga, bukan untuk mencari redha Allah.

Menjadi tanggungjawab ibu dan ayah untuk menilai di antara kehendak dan keperluan. Kehendak mereka adalah mahu mengadakan majlis perkahwinan yang gilang gemilang. Tetapi keperluan anak mereka adalah untuk berkahwin bagi memenuhi keperluan hidup mereka. Lebih besar lagi adalah mahu mengelakkan daripada terjerumus dengan zina di saat-saat dunia penuh dengan pancaroba pada hari ini.

            Apabila si anak sudah mempunyai pekerjaan sendiri dan ingin berkahwin, sewajarnya ibu bapa bersedia untuk mengahwinkan mereka. Mempermudahkan urusan, bukannya menyulitkan mereka untuk berkahwin. Ukurlah baju dibadan sendiri. Anak yang kecil janganlah dipadankan dengan baju yang besar, begitulah sebaliknya. Andai perkara begini berlaku, terang-terangan kita menzalimi anak-anak kita sendiri.

Pernah Saidina Abbas r.a menghimpunkan anak-anak lelakinya yang telah remaja, lalu berkata: “Wahai anak-anakku, jika kamu semua telah mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka beritahulah kepadaku, Insya-Allah aku akan berusaha untuk mengahwinkan kamu. Kerana apabila seseorang manusia telah melakukan zina, maka ketika

 itu Allah SWT mencabut iman mereka dari hatinya.”

Kisah ini memperlihatkan kepada kita bagaimana seorang ayah yang lebih mementingkan iman anaknya berbanding “kemegahan” semasa berkahwin. Tidak membincangkan majlis perkahwinan yang gilang gemilang, tetapi lebih menekankan berkenaan soal iman yang bila-bila masa sahaja boleh tercabut sekiranya mereka tidak berkahwin. Ini kerana iman itu lebih bermakna daripada segala-galanya. Perkahwinan bukan hanya untuk melempias nafsu semata-mata tetapi lebih besar daripada itu ingin menjaga iman yang sedia ada.

Seorang pemuda yang berkahwin dengan penuh keimanan, kehidupan mereka selepas berkahwin akan dilimpahi dengan rahmah dan mawaddah. Walaupun mereka berpendapatan kecil, tetapi Allah tetap mengurniakan kebahagiaan kepada mereka.

Berbeza dengan seorang yang berkahwin dalam keadaaan noda dan dosa. Majlis yang dijalankan penuh dengan sifat riya’ dan bangga diri. Berpesta pora dan dicanang ke seluruh dunia, akhirnya perkahwinan yang dibina hancur di tengah jalan. Itulah asam ragam dunia!

Kg Baru

10.29

16 Julai 2011

This entry was posted in Perkahwinan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Menjaga Iman Dengan Berkahwin

  1. abby maisaraj says:

    subhanallah..itu yang terbaik. perkahwinan dapat menghindar dari terusbergelumang dalam dosa..

  2. Siti Badriah Ishak says:

    Saya sangat setuju apabila sudah sampai waktu kahwinlah, lupakan adat yang lebih mementingkan `apa orang kata’. Kepentingan ialah apa Allah suruh. Wahai ibu dan bapa janganlah biarkan anak menanggung beban yang tak perlu sebenarnya. Saya mengeluarkan semua belanja kenduri untuk anak sulung saya kerana tiba2 dia kehilangan kerja. Dia hanya mampu mengeluarkan duit belanja dan membeli cincin, Saya katakan padanya tak pa kita teruskan juga perkahwinan tetapi sekadar apa yang mama mampu sahaja. Ketika itu saya adalah ibu tunggal.

    Alhamdulillah, sekarang saya sudah ada seorang cucu dan anak lelaki saya saya suruh dia teruskan pelajaran keperingkat Ijazah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s