“Makan Luar” : Suami, Isteri Menempah Murka

Saya mencintai dia, tapi masalahnya saya sudah bersuami. Lelaki tersebut teman sepejabat saya. Kami sering keluar bersama. Dia juga sudah mempunyai isteri”.

Kisah-kisah begini seringkali kita baca di dalam majalah ataupun akhbar terutamanya dihari minggu. Semakin hari kes sebegini semakin menjadi-jadi. Semakin banyak dalam kalangan suami atau isteri yang sudah berkahwin sudah mula “makan luar”.

Entah di mana silapnya. Apa yang menyedihkan, sesetengah luahan tersebut menceritakan pada pasangan mereka tiada cacat celanya tetapi hati mereka suka untuk berbuat sedemikian. Kononnya kerana cinta. Cinta yang palsu hanya untuk menempah murka dan dicampakkan ke neraka Allah SWT di akhirat.

Pernah beberapa tahun yang lalu, ketika mengendalikan program motivasi perkara begini permasalahan begini pernah diajukan kepada saya. Agak sukar untuk saya memberikan jawapannya. Perlu dicermati betul-betul sebelum membuat sebarang kenyataan. Sekiranya dari perspektif undang-undang, ternyata isteri tersebut termasuk dalam golongan isteri yang nusyuz. Bahkan pernah juga ketika praktikum dipejabat agama, ada pasangan yang ditangkap khalwat dan kedua-duanya sudah mempunyai suami dan isteri masing-masing.

 

Nasi Sudah Menjadi Bubur

Pernah suatu hari seorang teman menunjukkan sms yang dihantar oleh seorang wanita yang tidak dikenali kepadanya. Wanita yang telah berkahwin tersebut meminta pandangan daripada teman saya ini.

Di dalam sms tersebut dia menyatakan bahawa dia tidak pernah menjual maruah dirinya, tetapi pernah bercinta dengan seorang lelaki dan ketika itu dia sudah berkahwin dan mempunyai anak. Semasa hanyut dibuat percintaan tersebut, dia telah memberikan beberapa keping gambarnya yang tidak berpakaian kepada lelaki tersebut. Malangnya, kini gambar tersebut telah tersebar di laman internet dan facebook. Suaminya mula kurang senang dengan dirinya. Barangkali sudah retak dan menanti belah.

Wanita sekali lagi menyakan bahawa dia tidak bersalah di dalam hal ini dan tidak pernah menjual maruah dirinya. Tanpa dia sedari memberi gambar tidak berpakaian kepada lelaki bukan muhrim adalah haram dan seperti menjual maruah paling berharga buat seorang wanita.

Ketika membaca sms tersebut saya hanya mampu beristiqhfar dan menggelengkan kepala. Teman saya ini mengambil keputusan untuk tidak membalas sms tersebut kerana tidak kenal gerangan penghantar sms tersebut. Dikhuatirinya jawapan sms yang diberikan akan dimanupulasi.

Seperti kata pepatah melayu, nasi sudah menjadi bubur. Kayu sudah menjadi arang. Rumah tangga yang diharapkan bahagia hingga ke syurga, bertukar menjadi “neraka” dipertengahan jalan. Benarlah kata hukama, “Berfikirlah sebelum bertindak, kerana bertindak tanpa berfikir, akibatnya menyesal tak sudah”.

 

Hamba Syahwat

Menurut Imam Al-Ghazali, individu yang bertindak sedemikian rupa adalah kerana cenderung menuruti nafsu syahwat mereka. Kata hukama, andai kita gagal menunggangi nafsu maka nafsu akan menunggani kita.

Menurut Imam Al-Ghazali lagi, nafsu syahwat mampu menjadikan seorang raja sebagai hamba, manakala sabar mampu menjadikan seorang budak sebagai raja. Bahkan nafsu yang berada di dalam diri sebenarnya jauh lebih berbahaya daripada syaitan. Ini kerana nafsu memerintah kejahatan, manakala syaitan hanya memperalat nafsu untuk untuk melakukan kejahatan tersebut.

Nafsu yang gagal dikawal, selalunya cenderung ke arah benda yang haram walaupun perkara yang halal ada di depan mata. Sudah mempunyai isteri yang dihalalkan atas nama Allah, tetapi masih mencari yang haram kerana dibelengu nafsu. Begitu juga dengan wanita yang sudah mempunyai suami yang halal baginya, tetapi masih menempah api neraka dengan bermain kayu tiga dengan lelaki lain.

Lebih dahsyat lagi sekiranya perhubungan tersebut membawa kepada penzinaan sehingga menyebabkan rosaknya benih yang tertanam di dalam rahim wanita tersebut. Berkemungkinan anak yang dilahirkan bukanlah zuriat hasil perkahwinannya yang halal, tetapi hasil perhubungannya yang haram.

Selepas beberapa ketika, akhirnya timbul rasa penyesalan di dalam hati mereka, tetapi segalanya sudah tidak berguna. “Seronok berzina hanya sekejap, tetapi deritanya ditanggung seumur hidup”.

 

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka

Bagi yang telah terlanjur, kembalilah ke jalan yang benar. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka. Rasulullah SAW bersabda:

“Jika seseorang berzina, hilanglah imannya dan di atas kepalanya ada semacam kegelapan. Jika dia bertaubat dari perbuatan itu, iman akan kembali padanya”.

Kepada para suami, tunaikanlah amanah sebagai ketua keluarga dengan sebaiknya. Jadilah imam kepada “masjid” yang dibina dihari perkahwinan. Hidupkan “masjid” yang dibina ini dengan roh masjid seperti solat berjemaah bersama keluarga, membaca al-quran dan melaksanakan perkara-perkara yang baik di dalamnya.

Manakala kepada para isteri, jadilah isteri yang mampu menjaga kehormatan diri dan harta suami ketika ketiadaanya. Insya Allah, keluarga yang dibina akan menjadi syurga didunia dan berkekalan sehingga ke syurga akhirat.

Kepada suami isteri, bertanamlah di ladang yang milik sendiri yang dihalalkan. Jangan hanya nampak “makanan” yang sedap diluar yang penuh dengan dosa, tetapi “makanlah” hidangan dirumah yang diikat dengan nama Allah untuk menghalalkannya.

Felda Bukit Tangga

Jam 1.00 pagi

5 April 2011

 

 

This entry was posted in Perkahwinan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s