DNA Dalam Merencana Dakwah

Kami dah buat macam-macam program ustaz, tapi program kami tak dapat sambutan”, luah seorang pimpinan mahasiswi melalui sesi soal jawab ketika saya menyampaikan ceramah disebuah IPTS.

Apa yang persatuan kamu dah lakukan”, saya bertanya kembali kepada para audien selepas dilontarkan pertanyaan tersebut. Masing-masing menjawab aktiviti-aktiviti yang telah mereka jalankan, tetapi sebahagiannya tidak mendapat sambutan.

Inilah antara soalan popular yang sering dilontarkan sekiranya saya menyampaikan ceramah kepada pimpinan persatuan. Program yang dijalankan tidak mendapat sambutan. Hinggakan ada dalam kalangan mereka sudah berputus asa. Siapa yang harus dipersalahkan?

Dilema begini juga melanda sebahagian organisasi yang menjalankan program-program bersifat keagamaan. Program dakwah yang dijalankan kurang mendapat sambutan walaupun banyak program yang dijalankan. Perkara ini pernah diluahkan oleh seorang teman ketika saya menziarahi rumahnya pada hari raya yang lalu.

Belajar Dari Usahawan Tempe

Apabila dilontarkan soalan sedemikian rupa, saya tidak terlebih dahulu memberikan jawapannya. Ini kerana saya sendiri tidak tahu jawapan yang sesuai dan sesuai dengan individu tersebut. Biarlah mereka sendiri yang mencari jalan keluar bagi masalah tersebut, saya cuma boleh mencetuskan idea untuk mereka berfikir.

Antara perkara yang sering saya lontarkan kembali kepada teman-teman yang bertanya soalan-soalan begini adalah kisah seorang ahli perniagaan.

Terdapat seorang ahli perniagaan yang menjual tempe. Dia berangan-angan untuk memasarkan tempenya ke seluruh negara. Di kampungnya, dia memang dikenali sebagai seorang pakar membuat tempe. Tempenya sedap dan tahan lama. Tempe yang dijualnya hanyalah di bungkus di dalam plastik putih dan dihujung plastik tersebut dicucuh dengan lilin untuk menutup plastik tersebut.

Dari hari ke hari, tempenya semakin kurang mendapat sambutan kerana muncul produk tempe baru yang semakin banyak di dalam pasaran. Angan-angannya untuk memasarkan tempenya ke seluruh negara kian malap. Setiap hari dia hanya memikirkan untuk menghabiskan jualan tempenya hanya untuk menampung perbelanjaan seharian ahli keluarganya. Situasi ini berlarutan berbulan lamanya.

Pada suatu hari, penjual tempe ini di datangi oleh anak saudaranya yang belajar disebuah Universiti. Penjual tempe ini mengadu masalah yang dihadapinya kepada anak saudaranya dengan harapan dia dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Anak saudaranya memberikan beberapa cadangan kepada penjual tempe tersebut. Antaranya mengenai penjenamaan semula nama tempenya, plastik bungkusan yang lebih menarik dan mencuba meneroka pasaran baru di kampung-kampung yang belum dijual tempe.

Selepas membuat rebranding ke atas produk tempenya, dari hari ke hari jualan tempenya semakin meningkat. Sehingga beliau berjaya membuka sebuah kilang membuat tempe dan dipasarkan ke seluruh negara.

Dakwah Perlu Nafas Baru

Selepas menceritakan kisah pembuat tempe ini, saya meminta teman-teman untuk membuat perbezaan diantara masalah yang dihadapi oleh mereka dengan penjual tempe tersebut. Produk penjual tempe adalah tempe, manakala produk seorang daie adalah dakwah yang dibawanya.

Antum a’lamu bi umuri dunyakum”. “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu”, balas saya.

Dunia semakin hari semakin berubah, manusia yang menghuninya turut berubah. Apabila dunia dan manusia berubaha mengikut zaman, kaedah dakwah juga perlulah diberikan nafas baru untuk membawa manusia kembali pada Allah. Matlamat dakwah tetap satu iaitu mambawa manusia untuk kembali kepada Islam dan menyembah Allah SWT, tetapi kaedahnya perlu pelbagai.

Apabila kita gagal menjual “produk” dakwah kepada mad’u (orang yang di dakwah), ada beberapa kemungkinan yang berlaku.  Pertamanya, hati mad’u yang kita dakwah itu telah mati. Keduanya, dakwah yang kita sampaikan tidak menarik.

Saya yakin, jawapan yang pertama iaitu hati mad’u telah mati tidak wajar dijadikan sebagai alasan. Jawapan ini bersifat reaktif yang lebih menyalahkan orang lain. Hati yang mati sekiranya disirami dengan iman nescaya akan subur kembali.

Saya lebih tertarik untuk mengambil pendekatan pro aktif. Iaitu kurangnya sambutan kepada program-program keagamaan kerana pendekatan yang diambil oleh daie itu sendiri.

Kaedah dakwah yang dijalankan perlu melalui proses rebranding. “Produk” yang lebih mesra “pengguna” dan memenuhi keperluan mereka. Kaedah “marketing” produk haruslah lebih agresif bagi menarik minat golongan sasaran dakwah ini.

DNA dalam berdakwah

Bagi organisasi dakwah, Dakwah Need Analysis (DNA) adalah suatu keperluan. Melalui DNA, perencanaan program-program dakwah dapat dijalankan mengikut keperluan dan kehendak masyarakat yang wujud di dalam kelompok tersebut.

Bermula dengan pengumpulan data melalui pelbagai kaedah seperti soal selidik, temu bual dan sebagainya boleh dijalankan ke atas kumpulan sasaran dakwah bagi mendapatkan data berkenaan keperluan mereka.

Hasil soal selidik tersebut dianalisis dan pendokumentasian data dibuat. Melalui data-data yang diperolehi, agenda dakwah dirancang berdasarkan keperluan-keperluan berdasarkan analisis tersebut. Dakwah yang dirancang adalah untuk memenuhi “gap” yang ada pada mereka.

Program dakwah yang dirancang ini perlulah direncanakan dan dijalankan mengikut kumpulan sasaran. Samaada di peringkat asas, separa advance dan golongan yang sudah advance di dalam mengamalkan tuntutan agama. Untuk menarik lebih ramai orang menyertainya, kaedah “pemasaran” program ini perlulah lebih menarik dan lain dari yang lain. Berusaha membuat kelainan semaksima mungkin.

Selepas itu, pernilaian perlulah dibuat bagi melihat sejuah mana program dakwah yang dijalankan mencapai target yang diharapkan.

Andainya seorang usahawan berusaha melakukan pelbagai perkara untuk memasarkan produknya, apatah lagi seorang daie. Seorang daie perlu berusaha dengan lebih kuat untuk menyampaikan “produk” dakwah yang merupakan amanah Allah SWT kepada mereka.

Dakwah Multi-Style

Saya tertarik dengan pandangan seorang sarjana mengenai organisasi yang berpusat dimasjid. Ujarnya, kakitangan yang berkerja dan berada dimasjid jangan hanya menjadikan masjid dan surau-surau untuk menyampaikan dakwah.

Ujarnya, aktiviti dakwah perlu dirancang dengan lebih agresif melalui program yang dijalankan dari jabatan ke jabatan yang ada dibawah organisasi tersebut. Aktiviti yang pelbagai dirancang dan dilaksanakan secara tersusun dan berkala.

Perkara-perkara asas islam yang meliputi ilmu-ilmu aqidah, syariat dan akhlak dipakejkan secara modul untuk disampaikan kepada mad’u. Contohnya, dengan hanya mengikuti modul solat selama satu hari, seseorang individu sudah mampu melaksanakan solat dengan betul. Program yang dilaksanakan hanyalah sebagai cetusan, untuk menambah ilmu peserta boleh disarankan untuk ke masjid atau surau bagi menadah kitab atau mendengar kuliah bagi menambah ilmu agama.

Brosur dan poster program dakwah perlulah lebih menarik dan tampak profesional. Designer brosur program dakwah perlulah lebih kreatif untuk dan menampilkan penampilan yang luar biasa. Susunan ayat yang lebih lunak dan mampu menimbulkan keinginan seseorang untuk menyertai program yang dianjurkan tersebut.

Dakwah Memerlukan Strategi

Teringat ketika zaman permulaan bergelar mahasiswa, saya pernah di amanahkan sebagai exco memimpin Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ketika itu umur masih setahun jagung, masih mentah dengan pengalaman. Mencari strategi yang terbaik untuk menggerakkan persatuan. Ketika saya diperkenalkan kaedah Balance Score Card (BSC) untuk merencanakan strategi program dakwah yang dijalankan.

Daripada BSC, kami beralih kepada MBO (Management By Objective) di dalam merangka gerak kerja persatuan ini. Beberapa siri bengkel diadakan untuk memahami dan merangka aktiviti dakwah persatuan. Aktiviti dakwah yang dirancang lebih menjurus kepada objektif yang hendak dicapai selari dengan visi dan misi organisasi.

Buku-buku sirah karangan Dr Said Ramadhan Al Buti, Abdul Munir Ghatban, Muhammad As Sibai’ dan Al-Raheq Makhtum karangan Al-Mubarakfuri cuba diterokai bagi memahamai kaedah dan strategik dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Penerokaan strategik dakwah tidak terhenti disitu sahaja. Bagi merancakkan lagi aktiviti dan menarik minat ramai, ada dalam kalangan teman-teman cuba mencari kaedah yang lebih terkini. Ketika itu, kami cuba menggunakan “Blue Ocean Strategy”. Mencipta sesuatu yang baru di dalam dunia dakwah, dan hasilnya terbukti berkesan. Berjaya menarik perhatian golongan “untapped market”.

Daripada teman yang rajin membaca seperti Hilman Nordin, kami cuba mendapat input-input baru daripadanya. Dia tidak lokek untuk berkongsi strategi-strategi di dalam buku Outliers, The Tipping Point dan Blink karya Malcolm Gladwell. Intipati kandungan buku tersebut kami cuba garapkan untuk menjadikan program dakwah yang dijalankan lebih versatile.

Merancang dan Bertindaklah

Saidina Ali pernah berpesan, “Kebenaran yang tidak tersusun, akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”.

Untuk menjayakan aktiviti dakwah, merancanglah dengan teliti aktiviti yang ingin dijalankan secara mingguan, bulanan dan tahunan. Begin with the end in mind. Bermulalah dengan menggambarkan matlamat akhir di dalam perancangan tersebut. Gunakan strategi-strategi yang terkini untuk menarik perhatian mad’u untuk menghadiri program yang dirancang ini.

Jangan terlalu prejudis pada mad’u, tetapi yang paling penting, daie perlu bertindak untuk melaksanakannya. Semoga kalian terus berjaya. Kita berusaha, Allah SWT yang menentukannya.

Felda Bukit Tangga

12.43 am

4 April 2011

This entry was posted in Dakwah and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s