Memilih Rumah Untuk Berumah Tangga

 

Mesti seronok kan abang berkahwin dengan ustazah? Kahwin kerana dakwah,” tanya saya suatu hari kepada seorang abang senior.

Dia tersenyum dengan pertanyaan saya. Kemudian mengangguk-angguk.

Kenapa tanya soalan begini?” balasnya.

Yalah. Nak tahu juga, abang. Mana tahu jadi pedoman untuk saya bila sudah kahwin nanti,” jawab saya.

Dah tak sabar nak kahwin ke?”

Bukan, abang. Saja bertanya. Kalau betul pun apa salahnya,” saya membalas sambil ketawa.

Sekarang abang tinggal sendiri atau dengan keluarga?” tanya saya lagi.

Keluarga abangTapi abang nak nasihat. Nanti kalau dah kahwin, baik tinggal sendiri daripada tinggal dengan keluarga,” jawabnya sambil berpesan.

Kenapa, bang?

Banyak cabarannya kalau tinggal dengan keluarga,” balasnya.

 

Dialog ini berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya masih belajar di Universiti Malaya. Ketika itu, sebut sahaja tentang perkahwinan, masing-masing akan terasa “auranya”. Semua berangan-angan untuk membentuk sebuah keluarga kerana umur sudah menginjak dewasa.

Apabila masa berlalu, makin banyak ilmu baru yang saya temui berkenaan rumah tangga. Pengalaman teman-teman sepejabat yang sering berkongsi cerita dan masalah membuatkan saya terkenang nasihat yang diberikan oleh senior saya ini beberapa tahun yang lalu.

Ketika itu, mungkin belum tahu kepentingannya kerana masih belum bergelumang dengan teman-teman yang sudah berumah tangga, tetapi kini sebaliknya. Antara nasihat yang diberikan oleh abang senior ini; untuk berkahwin perlulah membuat persediaan awal terutama berkaitan dengan tempat tinggal. Pasangan yang mahu berkahwin perlulah membuat keputusan dengan tepat sama ada mahu tinggal di rumah sendiri atau di rumah sewa, atau juga tinggal sementara bersama keluarga.

Memilih Antara Tiga Keadaan

Apabila mendirikan rumah tangga, terdapat tiga pilihan dalam menentukan tempat tinggal. Pertamanya, pasangan selepas berkahwin memilih untuk tinggal bersama dengan keluarga sebelah lelaki.  Ia diistilahkan sebagai patrilokal. Keduanya, bagi pasangan yang tinggal bersama keluarga isteri diistilahkan sebagai matrilokal. Manakala yang ketiga iaitu neolokal. Neolokal merujuk kepada pasangan yang tinggal secara sendiri, bukannya dengan keluarga.

Bagi sesetengah pendapat, neolokal adalah yang terbaik kerana pasangan lebih bebas untuk mengatur kehidupan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehidupan yang baru dibina. Segala tindakan yang dibuat tidak terikat dengan budaya keluarga. Boleh mencipta budaya dan suasana rumah yang baru. Lebih baik sekiranya disegarkan dengan suasana dan budaya Islam.

 

Cabaran Untuk Pasangan

Abang senior saya ini sempat bercerita berkenaan cabaran-cabaran yang dihadapinya apabila tinggal bersama keluarga. Pada awal perkahwinan, masih terdapat banyak perbezaan di antara suami dan isteri yang perlu diuruskan, ditambah pula dengan perbezaan cara berfikir individu lain. Misalnya, ibu bapa, abang, kakak dan adik-adik adakalanya boleh menyebabkan konflik semakin bertambah di dalam rumah tangga.

Cabaran ini kian terasa bagi mereka yang bergiat aktif dalam program dakwah. Aktiviti dakwah selalunya tidak tentu masa, menyebabkan ada dalam kalangan ahli keluarga yang berasa kurang senang. Bunyi-bunyi seperti ‘sibuk sungguh’, ‘asyik jalan, menyebabkan duit tidak boleh disimpan’ dan sebagainya sering terucap di bibir mereka yang tidak memahami.

Menurut senior saya itu, ada sebahagiannya yang ‘terkorban’ selepas sekian lama berkorban. Pada mulanya mungkin kita hanya mendengar rungutan tersebut, kemudian akhirnya berhenti dari jalan dakwah atas alasan keluarga.

 

24.  Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan-NYA”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.


Punca Tinggal Bersama Keluarga

Ada segelintir pasangan yang tinggal bersama keluarga kerana sememangnya dia “anak emak”. Baik lelaki atau wanita, sama sahaja. Anak emak  yang dimaksudkan oleh saya ini adalah anak manja. Oleh kerana tidak mahu berpisah dengan ibu dan ayah, maka pasangan yang dikahwininya “dipaksa” untuk tinggal dengan keluarga.

Tidak dapat dinafikan, terdapat sebab lain mengapa pasangan memilih untuk tinggal bersama keluarga, antaranya disebabkan masalah kewangan. Tidak mampu untuk bediri sendiri kerana keewangan keluarga belum kukuh. Tambahan pula, perkahwinan yang berlangsung sebelum ini menggunakan wang yang banyak. Lebih parah apabila perbelanjaan tersebut adalah daripada “personal loan” dari bank. Kepala berserabut memikirkan hutang keliling pinggang.

Selain itu, terdapat pasangan yang memilih untuk tinggal bersama keluarga kerana ingin menunaikan permintaan ibu bapa; ingin menjaga ibu bapa, faktor geografi terutamanya berdekatan tempat kerja, belum bersedia untuk berdikari, tradisi keluarga, atau pun sukarela untuk berbuat sedemikian.

 

Emak dan Isteri Dari Dunia Berbeza

Antara nasihat yang diberikan oleh senior ini antaranya berkaitan dengan cabaran sekiranya isteri tinggal bersama mertua. Berdasarkan pengalaman diri, sekiranya kedua-duanya mempunyai latar belakang yang berbeza, agak sukar untuk mencari titik persamaan.

Isteri dari kalangan orang yang terpelajar dan bekerja. Manakala ibu berlatar belakang orang kampung yang juga rajin bekerja. Isteri bekerja mengikut waktu pejabat atau pun sekolah sekiranya sebagai seorang guru. Manakala ibu yang kuat bekerja, kerjanya “24 jam”. Bermula seawal subuh bangun untuk memasak, berkebun, berkemas sehinggalah ke lewat malam.

Apabila menantu  pulang ke rumah, berkemungkinan menantu ini asyik sibuk dengan tugasan yang perlu diselesaikan di dalam bilik. Kebanyakan tugasan di pejabat menggunakan komputer yang membataskan isterinya untuk berjalan ke sana sini. Waktu membasuhnya mengikut jadual kerana perlu menyelesaikan kerja.

Akhirnya kehadiran isteri dipandang sinis oleh mertua kerana berbeza budaya. Ada sahaja perkara yang dibuat tidak kena. Yang tersepit adalah suami. Diluah mati emak, ditelan mati ayah. Akhirnya suami derita menanggung duka. Inilah suasana yang menguji sejauh mana kasih sayang antara suami dan isteri, dan diimbang pula dengan kasih terhadap kedua-dua ibu dan bapa. Di sinilah suami perlu bijak sebagai ketua keluarga untuk membuat keputusan.

 

Perlu Merancang Tempat Tinggal

Pesan abang kepada saya; Sekiranya ingin berkahwin, buatlah perancangan sebaiknya. Kita berhak untuk membuat keputusan sama ada mahu tinggal bersama keluarga atau sendirian. Buat penilaian antara baik dan buruknya. Lebih baik sekiranya kita menelusuri pengalaman orang yang lebih tua. Membuat keputusan untuk tinggal sendiri bukan bermaksud kita “membuang” keluarga, tetapi mengajar kita untuk berdikari.

Pengalaman berharga abang ini sedikit sebanyak membantu saya di dalam meneruskan kehidupan. Walaupun tinggal berasingan, ibu bapa tetap tidak dilupa. Pulang secara berkala, nafkah juga diberikan.  Buat teman-teman yang bakal melayari rumah tangga, fikir-fikirkan.

 

This entry was posted in Perkahwinan. Bookmark the permalink.

One Response to Memilih Rumah Untuk Berumah Tangga

  1. Nour Madihah says:

    Assallammualaikum ustaz, saya sedang menghadapi masalah ini. Suami saya dalam dilema. Saya tertekan skrg. Saya baru lepas kehilangan ayah, kini saya perlu menjaga 3 orang adik OKU dan ibu. Ibu mertua dan adik2 ipar tidak faham apa yang saya alami kini. Apabila pulang kerumah sewa kami, ibu mertua yang turut duduk sama disitu sudah tidak mahu bertegur sapa. Suami minta saya untuk bersabar. Saya amat2 tertekan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s