Erti “MAN” Pada Seorang Suami

“Kamu nak berkahwin tak lama lagi kan?”, tanya Pak Su kepada saya.

“Insya Allah. Kalau tak ada aral bulan depan Pak Su”

“Kalau nak kahwin ni kamu kena bersedia. Tahu serba sedikit ilmu-ilmu nak berumah tangga ni. Kalau nak kerja ada ilmu. Kalau nak kahwin pun kena ada ilmu juga. Sebab menguruskan rumah tangga ini ada seninya” Pak Su meneruskan bicaranya.

“Seni?. Maksud Pak Su seni bagaimana?”, saya cuba memancing Pak Su untuk menceritakan dengan lebih lanjut.

“Maksud Pak Su. Kalau nak jadi suami, kamu mesti jadi lelaki sejati. Kamu ada MAN”, balas Pak Su.

“MAN?. Man tu memang lelakilah Pak Su. Saya memang lelaki pun”.

“Bukan MAN yang itu Pak Su maksudkan. MAN ni singkatan bagi “Money”, “Authority” dan “Necessity”, terang Pak Su.

“Pandai Pak Su cakap orang putih”, usik saya.

Pak Su tersenyum. Saya tahu dulu dia pernah belajar di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar berbahasa Inggeris. Semasa berada di dalam tentera juga Pak Su pernah dihantar menjadi tentera pengaman diluar negara dibawah PBB. Tambahan pula tugasnya sebagai seorang pemandu teksi sering menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa perbualan apabila membawa pelancong ke suatu destinasi.

“Bagaimana pula dengan agama Pak Su?. Bukankah agama itu lebih penting dari MAN yang Pak Su cakap ni”, soal saya.

“Kamu ni Ustaz, jadi tak payah Pak Su cakap tentang agama. Kamu sudah tahu tujuan hidup kamu. Bagi kamu bab-bab agama ni dah selesai. Yang Pak Su nak cakap ni tentang keperluan. Kalau tujuan sudah ada, keperluan juga mesti lengkap”, bidas Pak Su.

“Ya Pak Su”, saya membalas ringkas.

Beginilah apabila bercakap dengan orang yang lebih berpengalaman. Ada sahaja ilmu-ilmunya yang tidak terjangkau oleh pemikiran saya.

“Bab kamu sebut tentang agama tadi. Yang itu Pak Su faham. Syarat yang terpenting untuk menjadi suami yang baik, kamu perlu beragama. Beramal dengan agama dan menghidupkan rumah tangga dengan agama”, tambah Pak Su.

“Tapi kamu perlu tahu, untuk menjadikan kamu seorang suami yang dihormati oleh isteri kamu mestilah mempunyai money. Kamu mesti ada duit. Memang orang cakap, duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit”.

Saya mengangguk perlahan mendengar celotehan Pak Su.

Pak Su menerangkan kepada saya betapa perlunya seorang suami mencari duit bagi menampung nafkah isteri dan anak-anak. Sekiranya tidak berduit, maka sukar bagi suami untuk menunaikan tanggungjawabnya untuk memberikan nafkah.

Pak Su menerangkan kepada saya betapa tentang peri pentingnya mempunyai sumber pendapatan dan bagaimana nak menguruskan pendapatan dengan baik. Menurut Pak Su, walaupun dia hanya bekerja sebagai pemandu teksi, tetapi segala urusan nafkah keluarganya tetap dia tunaikan. Dia tidak bergantung kepada isteri walaupun Mak Su bekerja sebagai guru. Menurut Pak Su jarang sekali dia menggunakan gaji duit gaji Mak Su kecuali di dalam beberapa perkara.

Teringat saya kepada teman-teman yang sebahagiannya beria-ia bercinta, kononnya mahu ke gerbang bahagia. Apabila ditanya apa persediaanya, jawapannya hampa. Tabungan tiada kerana sibuk menghabiskan duit kepada kekasih yang dicintai. Akhirnya cinta yang dibina hancur terburai ditengah jalan. Bahkan ada seorang teman yang saya temui, kini diblack list di bank kerana menjadi penjamin kepada kekasihnya ketika bercinta dahulu. Sudahlah tidak berwang, menjadi penjamin yang menyebabkan leher sendiri terjerut.

Bagi situasi yang sudah berumah tangga, teringat saya ketika menjalankan kursus bersama Ust Hashim dan Ust Pahrol kepada pengurus-pengurus besar. Ramai dalam kalangan pengurus-pengurus ini terdiri daripada kalangan wanita. Purata pendapatan mereka sebulan dalam lingkungan 30 ribu sehingga 50 ribu sebulan. Bahkah ada dalam kalangan mereka yang bergelar jutawan. Di akhir kursus tersebut seorang wanita menangis-nangis sambil menceritakan kisah hidupnya. Di mana beliau pernah menganggap dan menyebut kepada suaminya yang, bahawa dia lebih rendah kedudukan daripadanya. Suaminya hanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan yang gajinya jauh lebih rendah daripadanya.

Pak Su juga tidak putus-putus mengingatkan pada saya, wang ini bukan tujuan tetapi adalah keperluan. Untuk membina sebuah rumah tangga, suami perlu mempunyai wang yang cukup untuk mencapai tahap yang kedua. Wang yang cukup bukan bermakna kaya, tetapi mampu menyara keluarga dan menunaikan kewajipan yang dituntut syarak.

Pak Su seterusnya menghuraikan tentang kepentingan “Authority” apabila menjadi suami. Ini kerana authority ini adalah suatu kuasa besar yang dipertanggungjawabkan oleh agama kepada suami.

Suami harus mempunyai kuasa di dalam menguruskan rumah tangga. Daripada sebesar-besar perkara iaitu berkaitan dengan cerai terletak diatas kuasa suami sehinggalah sekecil-kecil perkara.

Antara kaedah untuk mempunyai kuasa di dalam keluarga adalah dengan menyediakan nafkah yang secukupnya. Sekiranya di dalam rumah tangga tersebut, hanya isteri yang bekerja bagi menampung keluarga kesannya kuasa suami semakin hilang. Kecualilah suami mempunyai penyakit yang menyebabkan dia tidak boleh bekerja.Tetapi ada juga sesetengah isteri yang suaminya tidak berkuasa mencari nafkah akhirnya suaminya ditinggalkan.

Suami perlu mempunyai kuasa untuk mengarahkan isteri dan anak-anak melaksanakan tuntutan agama. Memberikan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah seterusnya mendidik mereka beramal dengan ajaran Islam.

Namun hari ini apabila suami sudah tiada kuasa, ramai isteri dan anak-anak bermaharajalela. Aurat dibuka di sana sini. Bahkan yang lebih dahsyat ada suami yang membiarkan isteri mereka keluar dengan lelaki lain tanpa dilarangnya. Inilah bahana sekiranya suami sudah tidak mempunyai kuasa di dalam keluarga.

Ketiga adalah necessity. Keperluan asas yang perlu di sediakan oleh suami kepada keluarga. Ini berbalik kepada nafkah yang sudah disentuh sebelum ini. Menurut Pak Su, sebolehnya suami perlu bersedia menyediakan peralatan yang diperlukan oleh isteri dan anak-anak sesuai dengan tahap kemampuannya. Jangan dibiarkan ahli keluarga tidak mempunyai keperluan asas sehingga menyebabkan mereka terabai.

Semenjak dua menjak ini, ramai dalam kalangan suami yang gagal menyediakan keperluan isteri. Duit gaji yang diperolehi dijoli di sana sini. Bagi yang terlibat dengan najis dadah, bukan setakat keperluan tidak disedian tetapi habis barang-barang isteri dijualnya bagi mendapat najis dadah.

Keperluan yang disediakan oleh suami ini jugalah akan menyebabkan keluarga menjadi bahagia. Menurut Pak Su, walaupun dirinya hidup sederhana tetapi mereka tetap bahagia. Mak Su memahami kemampuan Pak Su. Jarang sekali Mak Su meminta lebih-lebih daripada Pak Su.

Pernah suatu ketika Pak Su dan Mak Su tinggal berjauhan kerana Pak Su terpaksa dihantar bertugas di Sarawak. Mak Su tabah hidup bersendirian membesarkan anak-anak tanpa Pak Su disisi. Mahu selalu pulang, wang tidak mencukupi. Setahun hanya 2 kali pulang bertemu Mak Su di sini. Mak Su tidak pernah mengeluh kesah. Mak Su tahu dan memahami situasi Pak Su. Sebab itulah Pak Su bahagia hidup bersama Mak Su.

Walaupun berjauhan, keperluan Mak Su dan anak-anak tetap dijaga. Pak Su yakin, kasih sayang Pak Su bukan pada ucapan yang dilafazkan, tetapi kepada usaha dan tindakan Pak Su untuk membahagiakan keluarga.

Saya terfikir panjang mendengar nasihat daripada Pak Su. Seorang tua yang nampak biasa, tetapi kehidupannya penuh dengan “seni-seni” kehidupan. Bila ditanya kepada Pak Su dimana dia belajar semua ini. Jawabnya mudah. Belajar dari pengalaman diri dan orang lain.

 

This entry was posted in Keluarga, Suami and tagged , , . Bookmark the permalink.

One Response to Erti “MAN” Pada Seorang Suami

  1. anis says:

    seronok mendengar dan membaca isi dalam blog ini. moga menjadi panduan serta pedoman bagi kita untuk terus mengharungi bahtera rumahtangga yang penuh dengan badai jika tidak diselangi dengan ilmu, iman dan juga akal fikiran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s