“Geli saya dengar. Nak termuntah”, luah seorang guru.
“Ada patut makan babi. Tak tau ka babi tu haram”, tambah seorang guru lagi.
Isteri saya terdiam. Kisahnya ketika dia bertemu dengan teman-temannya baru-baru ini. Selepas masing-masing ditempatkan di sekolah, mereka berkumpul sekali sekala untuk bertukar-tukar cerita.
Tambahan pula ramai ustaz dan ustazah baru yang ditempatkan dikawasan tersebut. Sudah berjauhan dengan suami, sekali-sekala masing-masing mencari teman sebagai tempat untuk meluahkan kata bicara.
Menurut isteri saya, ada seorang pelajar di sekolah seorang temannya yang menikmati hidangan babi. Bapa seorang lelaki mualaf dan ibunya memang asalnya beragama Islam.
Menurut teman isteri saya, ibunya sebelum ini turut menjamah daging haiwan tersebut. Tetapi kini sudah meninggalkannnya dan mula memakai tudung. Pelajar ini, kadang-kadang apabila dibawa ke restoran yang menghidangkan haiwan tersebut dia turut menjamahnya. .Ayahnya juga mempunyai restoran yang menghidangkan daging babi.
Apabila isteri menceritakan kisah ini kepada saya melalui telefon, saya berikan sedikit respon kepadanya.
“Usah jijik kepadanya, dia juga manusia seperti kita. Minta teman tersebut cuba dekati pelajar itu. Kemudiannya fahamkan kepadanya kepada Islam secara berperingkat-peringkat. Guru adalah pendakwah, bukannya penghukum”, pesan saya.
Tidak dinafikan ada dalam kalangan guru-guru yang berbincang ini ada yang terus menghukum pelajar ini. Umur sudah dihujung remaja, tetapi langsung tidak boleh berfikir tentang haramnya babi ujar mereka.
Jijik Babi Kerana Zat atau Syariat
Saya yakin,budak tersebut tahu bahawa haiwan itu haram. Ini kerana di dalam media massa banyak artikel yang membincangkan berkenaan haramnya babi. Namun disebabkan oleh kebiasaan keluarganya memakan babi ini, menyebabkan dia tidak pernah terfikir jijiknya babi. Dari kecil dibawa menjamah hidangan yang berasaskan babi, sehinggalah dia meningkat dewasa. Kebiasaan yang membawa kepada kebinasaan.
Pernah suatu ketika saya menghadiri ceramah Maulidur Rasul di masjid. Penceramah yang hadir pada malam tersebut adalah seorang penceramah muda lulusan al-Azhar yang berkahwin dengan isterinya adalah mualaf yang memeluk agama Islam. Menurut beliau, apabila isterinya melihat babi akan terasa terliur akan keenakkan daging babi tersebut.
Menurut isterinya daging babi sangat enak dan lazat untuk dimakan. Lemak, manis dan mungkin berkrim katanya. Sejak memeluk agama Islam isteri sudah tidak menjamah daging babi, tetapi tidak pernah berasa jijik kepada babi. Dia meninggalkan babi kerana taat pada syariat Allah, bukan kerana zat babi yang dianggap najis Mughallazah. Menurutnya najis boleh dibasuh, tetapi makan mankanan yang haram adalah lebih teruk dari najis, kerana hukumnya berdosa. Dosa membawa ke neraka nauzubillahi min zalik.
Cinta Bukan Kerana Agama
Inilah bahana apabila tersalah memilih pasangan hidup. Apabila si ibu memilih seorang suami yang memeluk agama Islam hanya semata-mata untuk berkahwin, bukan kerana kesedaran. Akibatnya ditanggung oleh anak-anak yang dilahirkan.
Alhamdulillah ianya baik kerana berjaya mengislamkan suami, tetapi lebih baik sekiranya suami yang memeluk agama Islam ini diajak untuk beramal dengan Islam. Seterusnya menjadi suami yang soleh selari dengan tuntutan Islam.
Tetapi apabila islam yang dianuti tidak dipelajari, kesannya bukan hanya kepada diri tetapi tempiasnya turut terkena kepada anak-anak. Inilah antara sebab mengapa Islam meletakkan syarat utama dalam memilih pasangan hidup mestilah beragama. Tahu serba sedikit berkenaan halal haram. Menguasai asas-asas penting ilmu fardhu ain. Tidak perlu sampai bertaraf ulama’, tetapi janganlah pula menjadi seperti ular dalam semak.
Beragama bukan hanya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi beragama bermaksud bagaimana memenuhi tuntutan syahadah. Memahami ajaran Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Islam bukan hanya retorika, tetapi Islam adalah praktikal kehidupan. Islam is The Way Of Life.
Ibu Bapa Sebagai Pencorak
Ibu bapa adalah pencorak anak-anak. Sekiranya dari kecil anak-anak di didik dengan didikan yang salah, maka perkara ini akan diwariskan secara turun temurun. Ibu bapa yang bertanggungjawab menyediakan perkara asas kepada anak-anak. Antaranya pendidikan, makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Ibu bapalah yang menentukan tahap “halal” setiap perkara yang disediakan ini. Samaada halal dari sudut zat atau halal dari sudut hukum.
Mereka juga bertindak sebagai agen untuk mencorakkan anak-anak berdasarkan acuan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
“ Setiap anak yang baru dilahirkan itu lahir dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi dan Nasrani”.
Selain itu, Abul ‘Ala menyebut di dalam bait-bait syairnya :
Para pemuda itu tumbuh menjadi dewasa
Tergantung bagaimana orang tuanya membiasakan mereka
Pemuda tidak dapat ditaklukkan oleh akal semata
Melainkan oleh pembiasaan beragama dari orang-orang terdekatnya
Fahamkan Mereka Dengan Islam
Untuk menyelesaikan masalah ini bukannya senang. Tidak semuda A, B , C. Perlukan kepada usaha dakwah yang berterusan. Mungkin suatu hari nanti kita juga berhadapan dengan masalah begini. Atau lebih mencabar daripadanya.
Pesanan saya kepada guru ini, jangan menjadi guru yang mengajar, tetapi jadilah guru yang mendidik. Ini kerana dengan mengajar hanya singgah sebentar di akal, tetapi akhirnya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Tetapi dengan mendidik akan terus melekat dihati, dan selalunya kekal sehingga mati.
Sekiranya mereka faham, bukan hanya babi yang mereka tinggalkan, tetapi yang lebih daripada itu mereka perjuangankan.
Seperti kata Imam Hassan Al-Banna, “Al-Fahmu Muqaddamu Ala Kulli Amri Wa Nahyi”. Kefahaman adalah permulaan kepada segala arahan dan tegahan.
Tugas guru bukan mudah seperti kita berbicara, tetapi boleh menjadi pemuda cara. Pemudah cara kepada pelajar memperoleh ilmu, pemudah cara kepada para pelajar mengenal Allah yang maha Alim.