Andai Mahu Berkahwin, Perlu Penyesuaian

“Banyak ragamlah isteri aku tu,” luah Iqbal kepada Khairil pada suatu hari.

“Kenapa?” tanya Khairil.

“Entahlah, serabut fikir. Bila kahwin, makin banyak masalah,” balas Iqbal.

Masalah apa, Iqbal?” soal Khairil lagi.

“Isteri aku asyik buat hal saja. Itu tak kena, ini tak kena. Rimas aku dibuatnya!” jawab Iqbal.

“Bukankah sudah lama kau kenal dia? Dulu masa bercinta, tak pernah dengar pun kau merungut,” balas Khairil.

“Dulu lain. Sekarang lain,” jawab Iqbal lagi.

Dialog ini biasanya berlaku kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Semasa bercinta semuanya indah, tetapi selepas berkahwin segalanya berubah. Sifat yang disembunyikan sebelum berkahwin, terbongkar semuanya. Terserlah “the true colours” masing-masing. Sama ada akhlaknya baik seperti “malaikat” atau pun perangainya lebih dahsyat daripada “syaitan”.

Setiap individu yang ingin memasuki alam perkahwinan, fikirannya dipenuhi dengan fantasi dan cita-cita sempurna mengenai sebuah keluarga. Suami berangan-angan ingin menjadi seperti Saidina Ali, manakala isteri pula cuba untuk menjadi Saidatina Fatimah.

Bagi mereka yang tenggelam dalam angan-angan ini, lazimnya akan terperangkap dengan keinginan tersebut. Mahukan segalanya sempurna. Sedangkan tahap awal perkahwinan adalah tahap kritikal untuk mendapat kesempurnaan, memandangkan fungsinya sebagai landasan awal bagi pembentukan keluarga untuk mencapai tahap seterusnya.

 

Suami dan Isteri Berbeza

Pasangan yang berkahwin terdiri daripada jantina yang berbeza. Berbeza dari segi budaya, cara berfikir, sifat dan sebagainya. Lelaki sering dikaitkan dengan sifat berkepimpinan, logikal, bercita-cita tinggi, berdikari dan agresif. Manakala perempuan pula dikaitkan dengan sifat bergantung, sensitif, penyayang, lembut, peramah, empati dan bersopan santun.

Peringkat awal perkahwinan adalah peringkat kedua-dua pasangan mengenali di antara satu sama lain. Secara kebiasaannya, akan berlaku beberapa kejutan dalam proses untuk mengenali pasangan sama ada dari segi perlakuan atau personaliti apabila kedua-duanya tinggal sebumbung.

Misalnya, seorang lelaki melihat isterinya menangis, dia akan berkata di dalam hatinya, “Biasalah perempuankalau tak menangis bukan perempuan namanya.” Manakala isteri pula mengharapkan dengan menangis, suami akan memujuknya. Lelaki hakikatnya sukar untuk memahami perlakuan isteri melainkan isteri memberitahunya. Ini kerana lelaki hanya berfikir secara logik, dan jarang memahami perasaan wanita. Sehingga kadang-kadang terdetik di dalam hati suami, “Perkara kecil pun nak menangis.” Tetapi itulah wanita.

Lelaki tidak terlalu menghiraukan perkara-perkara kecil, sebaliknya bagi wanita, sekecil-kecil kuman pun boleh dikelebeknya. Lelaki tidak membuat kerja yang sama setiap hari, tetapi wanita mampu membuatnya. Inilah sifat semulajadi wanita sehinggakan mereka mampu menguruskan rumah tangga dan anak-anak dengan sebaiknya. Bisa melakukan kerja-kerja rutin tanpa jemu.

Penyesuaian Satu Keperluan

Suami isteri perlu menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Menurut ahli psikologi, proses penyesuaian dalam perkahwinan bermaksud proses modifikasi, adaptasi, dan mengubah pola tingkah laku dan interaksi individu dan pasangan dalam usaha untuk meningkatkan kepuasan dalam perkahwinan.

Jangan hanya mengira jumlah konflik yang timbul, tetapi lebih penting bagaimana pasangan menyesuaikan diri dalam menyelesaikan konflik berkenaan sehingga menjadikan perkahwinan tersebut berjaya.

Mustahil ada dua individu yang tinggal bersama, dan dalam masa yang sama tiada konflik yang berlaku. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Sengaja Allah menjadikan dunia ini berbeza untuk menunjukkan kekuasaan Allah. Perbezaan adalah keindahan. Andainya dunia ini semuanya sama, sudah tentu kita akan bosan kerana tiada perbezaan.

Sengaja Allah jadikan perbezaan di antara suami isteri, untuk memberikan peluang kepada mereka menguruskan perbezaan tersebut. Tetapi ramai dalam kalangan manusia gagal menguruskan perbezaan ini apabila timbul isu berkaitan dengannya. Daripada sekecil-kecil perkara, sehingga sebesar-besarnya.

5 Jenis Penyesuaian Perkahwinan

Terdapat 5 jenis penyesuaian yang dinyatakan oleh pakar kekeluargaan untuk mewujudkan penyesuaian dalam perkahwinan. Ada antaranya apabila diamalkan dapat membantu pasangan, tetapi ada juga yang terus membuntukan lagi keadaan sehingga membawa kepada perceraian pasangan tersebut.

Pertamanya kompromi. Sekiranya timbul sesuatu masalah, pasangan perlulah berkompromi. Kedua-duanya perlu mengalah bagi memuaskan hati kedua-dua belah pihak. Penyesuaian akan berlaku apabila kedua-dua pendapat yang dikemukakan oleh pasangan ini dirangkumkan sebagai penyelesaian.

Keduanya  menyesuaikan diri. Pasangan bersetuju untuk tidak bersetuju. Mereka menerima perbezaan pendapat masing-masing dan tidak menjadikannya sebagai masalah utama. Masing-masing cuba untuk menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Ketiganya konsesi (bertolak ansur). Salah seorang akan mengalah sepenuhnya, sementara yang satu lagi menang sepenuhnya. Misalnya apabila isteri berleter, suaminya hanya mendengar leteran tanpa respon. Apabila suami marah, isteri hanya beralah dan mendegar leteran suaminya. Apabila sejuk marahnya, kembalilah mereka bergelak ketawa. Isu yang terlibat adalah siapakah yang akan menyerah kalah.

Keempat berkorban. Salah seorang daripada pasangan akan berkorban bagi mengelak konflik dan mengelak daripada berdepan dengan sebarang masalah. Biasanya pasangan yang mengelak konflik ini akan menyebabkan masalah terpendam di dalam jiwanya. Akhirnya, jiwa sengsara. Siang malam berendam air mata mengenangkan nasib diri. Sekiranya tidak dibendung boleh membawa kepada penceraian.

Kelima percanggahan berterusan. Pasangan sentiasa bercanggah pendapat dan masing-masing enggan mengalah. Hidup bagaikan anjing dengan kucing. Suasana rumah seperti perang dunia pertama. Sentiasa ada bom atom yang meletus mencari sasarannya. Lazimnya pasangan yang bertengkar secara berterusan inilah yang membawa kepada penceraian.

Memberi Sebagai Penyelesaian

Untuk menyelesaikan masalah yang timbul ini, pasangan yang berkahwin ini perlulah sanggup untuk memberi dan menerima seadanya keadaan pasangan masing-masing. Menyayangi tanpa syarat dan komited untuk menjayakan perkahwinan adalah antara syarat yang dapat membantu pasangan menyesuaikan diri untuk menggalas tanggungjawab baru.

Jangan hanya cinta kepada kecantikan, tetapi perlu juga mencintai kekurangan. Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu. Andainya kedua-duanya dapat disatukan, petanda landasan keluarga sudah dibetulkan.

Sekiranya sebelum ini hanya hidup berseorangan, tetapi kini sudah hidup berdua. Sekiranya masing-masing berusaha untuk memberi, insya-Allah, kasih sayang akan dapat disuburkan dalam perkahwinan tersebut.

Mohd Faisal Mustaffa

Bukit Kayu Hitam, Kedah


This entry was posted in Perkahwinan and tagged , , . Bookmark the permalink.

One Response to Andai Mahu Berkahwin, Perlu Penyesuaian

  1. Izzah says:

    http://synergistichatidoktormuda.blogspot.com/

    Salam ziarah dari ana.. alhamdulillah bnyak info dapat. TQ krn sudi share

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s