Suapan:
Kiriman
Komentar

Beralih Angin

Alhamdulillah. Kalimah yang cukup ringkas tetapi memberikan makna dan tafsiran yang cukup luas. Cukup banyak kurniaan yang diberikan oleh Allah untuk disyukuri oleh hamba-Nya.

Terdetik hati untuk menulis apabila melihat blog yang sudah lama ditinggal tidak “diupdate”. Namun begitu, tika itu terlalu banyak kerja yang perlu di selesaikan. Tetapi alhamdulillah, ditengah kesibukkan dapat disiapkan juga sebuah manuskrip.

Alhamdulillah bermula 1 Februari 2012 mula bertugas sebagai Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Zakat Negeri Kedah Darul Aman (JZNK). Beralih angin dari UUM setelah hamper 2 tahun menimba pengalaman sebagai seorang pentadbir di sana. Kata orang, jauh perjalanan, luas pengalaman. Mudah-mudahan penghijrahan ini memberikan pengalaman yang berharga buat diri ini.

Kepada teman-teman UUM Press, terima kasih di atas jalinan ukhuwah yang dijalinkan selama ini. Semoga kalian terus cemerlang dengan jayanya.

Forum Munajat Cinta

” Cinta kepada Allah adalah tujuan tertinggi diantara darjat-darjat yang tinggi”

 

Tegur Isteri Tanda Sayang

“Hidup berumah ini ini perlu ada seninya”, nasihat seorang tua pada saya pada suatu hari.

“Seni bagaimana tu Pak Cik?”, tanya saya sambil tersenyum dan seterusnya ketawa.

“Ish kamu ni, jangan fikirkan yang bukan-bukan”, balasnya.

“Tak adalah Pak Cik, saya mengusik ja”.

“Macam ni, ada banyak seni yang yang perlu dipelajari terutamanya yang baru bergelar suami seperti kamu”.

“ Seni bagaimana tu Pak Cik”.

“Ada banyak seni sebenarnya. Tapi salah satu seni yang paling penting diperingkat awal perkahwinan ini adalah seni menegur isteri”.

Menegur Isteri Suatu Cabaran

            Menegur isteri merupakan suatu perkara yang amat mencabar bagi seorang lelaki. Walaupun ianya nampak mudah, namun begitu sekiranya tersalah langkah boleh membawa pecah belah di dalam rumah tangga.

            Bukan semua isteri mudah menerima teguran daripada suami, apatah lagi bagi pasangan yang memulakan perkahwinan dengan percintaan. Apabila si suami memberi teguran, si isteri akan mengungkit kisah-kisah lama semasa bercinta dimana si suami membontoti sahaja kehendaknya pada ketika itu. Sehinggakan bau kentut pun dirasakan wangi seperti deodoren.

Fitrah Wanita Perlu Di Tegur

Sudah menjadi fitrah kejadian, untuk menjadikan seorang wanita itu baik mereka perlulah ditegur dan selalu diingatkan tentang kebaikkan. Menegur bukan sahaja untuk memperbaiki, tetapi lebih daripada itu adalah sebagai salah satu langkah untuk menjadikan isteri sebagai isteri yang terbaik di dunia dan akhirat.

Oleh sebab itulah Baginda S.A.W telah berpesan kepada golongan suami berkenaan perihal ini:

Sabda Nabi S.A.W:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita”

                                                                                    (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

 

Seni Dalam Menegur

            Sebagaimana pesan Nabi S.A.W, untuk meluruskan tulang yang bengkok bukannya mudah. Andai tersilap mungkin boleh patah, seandainya dibiarkan ianya akan terus bengkok selama-lamanya. Di sinilah suami perlu bijak mencari strategi untuk meluruskan tulang yang bengkok ini.

            Menurut Pak Cik tersebut, ada perkara-perkara yang boleh digunakan dan tidak boleh digunakan untuk menegur isteri.

            Pertamanya, teguran tersebut boleh dilakukan secara lisan ketika pasangan suami isteri berdua-dua dalam keadaan yang tenang. Jangan sekali-kali menegur ketika sedang makan dan dihadapan khayalak ramai kerana ianya boleh menjatuhkan maruah isteri.

            Keduanya boleh dilakukan secara penulisan. Si suami boleh menulis surat atau email kepada isteri dengan ayat yang puitis untuk menegur si isteri. Namun begitu katanya, jangan sekali-kali menegur isteri dengan sms kerana ianya boleh menimbulkan salah faham dan menghancurkan hati isteri. Apatah lagi sekiranya sms tersebut diterima ketika bekerja atau memandu yang boleh menyebabkan fikiran isteri terganggu.

            Tetapi menurutnya, ianya bergantung kepada keselesaan masing-masing. Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Asalnya ianya berhikmah nescaya ianya membawa kepada mawaddah. Teguran mestilah ikhlas untuk membimbing isteri daripada tidak tahu kepada tahu. Bukan untuk menunjukkan “kekuasaan” sebagai suami semata-mata. Bak kata orang tua-tua, “cubit-cubit sayang”.

 

Bahana Suami Tidak Menegur

Sesetengah golongan lelaki memilih untuk berdiam diri. Awas, kadang-kadang tindakan berdiam diri ini boleh membawa si suami terjerumus ke dalam golongan yang dayus. Langsung tidak memberi respon walaupun si isteri melakukan kesalahan di depan mata.

Takutlah akan pesan Baginda S.A.W :

Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : ” Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? , berkata nabi : “ Iiatu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) – ( Riwayat At-Tabrani)

 

Menegur Isteri Tanda Kasih Sayang

            Ada yang menganggap, menuruti kehendak isteri itu adalah salah satu tanda seorang suami itu menyayangi isterinya. Namun begitu, ada juga premis yang menganggap perkara ini boleh menjerumuskan rumah tangga tersebut kepada kebinasaan. Ini kerana, bukan kesemua kehendak isteri perlu dituruti oleh suami.

Sekiranya isteri melakukan kesalahan atau kesilapan, ianya perlulah ditegur seawal membina rumah tangga. Janganlah ditangguhkan kerana ianya boleh membawa barah di dalam kehidupan rumah tangga tersebut. Akhirnya menjadikan kesalahan sebagai perkara biasa. Akhirnya isteri naik tocang, rumah tangga menjadi pincang. Akhirnya suami mendapat pengiktirafan sebagai suami yang dayus. 

Hidupkanlah budaya tergur menegur , nasihat-menasihati di dalam rumah tangga. Andai isteri tersalah, suami menegurnya. Begitu juga sebaliknya.

 

Bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan-Nya dapat kita pada tahun ini merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadhan. Mudah-mudahan amalan yang dilakukan di bulan yang berkat ini akan berterusan sehingga nafas kita yang terakhir.

Tanpa kita sedari, kita antara insan yang terpilih dalam kalangan hamba-Nya untuk melalui Ramadhan pada kali ini. Ada sesetengah individu yang amat merindui Ramadhan, tetapi mereka tidak sempat menemui Ramadhan kerana Allah terlebih dahulu menjemput mereka kembali bertemu dengan-Nya. Ada juga sempat bertemu dengan Ramadhan, tetapi tidak sempat untuk mengakhiri Ramadhan kerana mereka terlebih dahulu mengakhiri kehidupan di dunia yang fana ini untuk hidup di dunia yang tiada kesudahannya.

 Mudah-mudahan Ramadhan pada kali ini memberikan sedikit anjakan dan perubahan dalam diri kita. Banyakkanlah berdoa dihari-hari terakhir Ramadhan ini supaya amalan-amalan sunat yang kita amalkan dapat diteruskan sehingga bertemu Ramadhan seterusnya. Kita beribadat bukan kerana kita hamba Ramadhan, tetapi kita beribadat kerana kita mencari redha Allah SWT. Mulakan dengan diri, diikuti dengan ahli-ahli keluarga yang lain. Hayatilah pesanan ulama ini, “Tegakkan Islam dalam dirimu, Nescaya Islam akan tertegak didalam negaramu”.

Sedikit pesanan yang ingin dikongsikan. Di dalam kita beramal, jadilah seperti air yang mengalir. Apabila berhadapan dengan halangan terus mengalir dan mencari jalan untuk maju ke depan.Tetapi janganlah menjadi air yang bertakung, tidak bergerak. Semakin lama bertakung baunya semakin busuk.

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan. Maaf zahir batin sekiranya terdapat sebarang khilaf. Bersama-sama kita menyambut kemenangan ini dengan kesyukuran.

Ramadhan beberapa hari sahaja lagi. Seperti tahun-tahun kebiasaannya, penghujung Ramadhan ini kebiasaanya disurami dengan kegilaan membuat persiapan menyambut hari raya. Masjid yang awalnya penuh melimpah ruah dulunya, kini bagaikan “bocor” kerana hanya meninggalkan sisa. Jemaah yang melimpah-limpah terus melimpah keluar sehingga tidak datang-datang lagi.

Kemeriahan dihujung Ramadhan ini turut di”matikan” dengan lagu-lagu raya yang dimainkan dicorong radio dan televisyen. Bahkan ada yang beria-beria menghantar sms mengucapkan “Selamat Hari Raya” difasa-fasa terakhir Ramadhan ini. Agak sukar untuk saya membalasnya kerana “mood” Syawal masih belum berada dihati. Walaupun ada sekeping dua kad raya dikirimkan, tetapi untuk menghantar sms hari raya agak janggal rasanya.

Namun begitu disaat ramai yang lalai ini masih ramai sahabat-sahabat yang tidak lupa untuk terus berpesan berkenaan malam al-qadr. Samaada peringatan yang diberikan melalui sms ataupun facebook, ianya tetap memberikan manfaat kepada seluruh kaum muslimin yang berpuasa.

Kepada teman-teman, marilah sama-sama kita mengejar malam al-qadr. Gunakanlah baki-baki terakhir Ramadhan ini untuk kita mengintai malam al-qadr ini. Laksanakanlah sekadar termampu, mudah-mudahan amalan di malam hari yang dilaksanakan ini mampu untuk diteruskan pada bulan-bulan mendatang. Mudah-mudahan amalan yang dilakukan secara berkualiti di bulan Ramadhan mampu diteruskan sehingga penghujung akhir hayat kita. Amin

“Ya Allah, Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan”

Kesian kawan mak yang sorang tu. Dulu dia asyik cerita nak dapat menantu orang senang. Orang hebat. Sekarang ni menantu yang dia puji langsung tak layan bila dia berziarah ke rumahnya”, cerita ibu mertua saya pada saya suatu hari.

“Menantu dia kerja apa mak?”, tanya isteri saya.

“Dengar kata engineer”, balasnya.

Saya hanya mendengar butir-butir bicara mereka sambil menikmati hidangan berbuka. Masih saya ingat ketika mula-mula berkahwin dulu, apabila orang bertanya kepadanya apa pekerjaan bakal menantunya, dia hanya menjawab “Tidak tahu. Tapi yang pasti kerjanya dok bagi ceramah”.

Ketika itu kerjaya saya adalah sebagai seorang trainer di Kuala Lumpur, manakala isteri pula masih belum menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Pendapatan yang diperolehi tidaklah besar, tetapi cukup untuk menampung keperluan hidup pada ketika itu. Kerjaya biasa, tetapi cukup untuk membuatkan saya puas.

Kini giliran adik ipar saya pula bakal mendirikan rumah tangga. Soalan yang ditanya kepada ibu mertua juga adalah soalan yang sama. “Bakal menantu awak kerja apa?”. Ibu mertua saya hanya mampu menjawab, “Dia buka perniagaan sendiri”. Jawapannya ringkas tanpa dihurai panjang. Walaupun saya tahu bakal biras saya ini pendapatannya jauh lebih besar daripada seorang pegawai kerajaan, tetapi saya memahami mengapa beliau memberikan jawapan sedemikian.

Jawapan yang diberikan membuatkan teman-temannya terlopong. Mereka seperti kehairanan. Mengapa anak-anaknya yang diberikan pendidikan tinggi tetapi bermenantukan seorang peniaga. Manakala menantu pertamanya hanya seorang penceramah!

  Teruskan pembacaan »

Sebaik selesai menyampaikan ceramah Nuzul Al-Quran bersama Bar Council cawangan Kedah dan Perlis saya bergegas pulang ke rumah untuk membawa emak dan ayah pulang ke kampung. Di kesempatan yang ringkas itu saya sempat membuka email buat seketika. Satu demi satu email dibaca, sehingga tiba kepada email yang menceritakan keluhan hati seorang isteri berkenaan dengan suaminya yang berpoligami.

Seringkali saya menerima email ataupun luahan daripada isteri yang dimadukan oleh suami mereka. Namun begitu jarang sekali saya membalas email-email tersebut kerana kesuntukkan masa. Tetapi untuk kali ini saya cuba gagahi juga menyelami permasalahan berkenaan poligami ini. Mungkin cetusan ini tidak mampu menyelesaikan masalah yang timbul, tetapi sekurang-kurangnya memberi sedikit pedoman buat mereka yang mengalaminya.

Sebagai seorang muslim saya tetap bersetuju dengan hukum berpoligami yang dibolehkan dalam Islam. Asalkan lelaki yang ingin berpoligami itu cukup syaratnya dan berkemampuan. Poligami dihalalkan oleh Allah SWT, maka tidak layak untuk kita mengatakan bahawa ianya “salah” kerana ianya bersalahan dengan ketentuan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa ayat 3 :

Maksudnya : Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Wanita Sukar Menerima Poligami

Walaupun madu itu dianggap manis, tetapi madu dalam istilah berpoligami meninggalkan kesan pahit pada diri seorang wanita yang bergelar isteri. Ada yang redha dengan perkara tersebut, dan ada juga yang sukar menerima hakikat bahawa dirinya dimadukan.
Hanya wanita yang benar-benar teguh hatinya sahaja mampu membenarkan suaminya beristeri lebih daripada satu. Daripada 100 orang wanita, cukup bertuah sekiranya ada seorang wanita yang rela dirinya dimadukan. Bahkan ada yang menganggap bermadu itu lebih pahit daripada hempedu.

Golongan wanita mempunyai perasaan lembut dan halus. Mereka sukar untuk menerima hakikat bahawa kasih sayang yang diperolehi daripada seorang suami selama ini terpaksa dikongsi dengan wanita lain. Bahkan lebih daripada itu, ada sebahagian wanita yang mengadu bahawa mereka telah mengorbankan kerjaya mereka semata-mata untuk membesarkan anak-anak, tetapi pengorbanan tersebut seperti tidak dihargai oleh pasangan mereka.

Teruskan pembacaan »

ANA dah dapat jumpa calon isteri,” beritahu rakan sepejabat saya pada suatu hari.

Alhamdulillah. Bila berlangsung majlisnya?” tanya saya.

“Kalau tak ada aral, insya-Allah lepas raya,” jawabnya sambil tersenyum. Kelihatan wajah yang dahulunya agak suram kini bertambah ceria.

Sahabat saya ini baik orangnya. Seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi dan bagus amalan agamanya. Walaupun lama bertunang atas kehendak keluarga, namun begitu, ikatan tersebut dijaganya dengan baik berlandaskan syariat Islam.

Sebenarnya sudah lama beliau merancang untuk berumahtangga, tetapi ada sahaja halangan yang dihadapi. Halangan yang terbesar adalah daripada bakal ibu mertuanya sendiri. Pelbagai alasan diberikan sehinggalah beliau diminta untuk mencari jodoh yang lain. Akhirnya, tali pertunangan yang diikat terputus di tengah jalan. Bukan kehendak beliau memilih jalan sedemikian, tetapi itulah keputusan terbaik yang perlu dilakukan.

Hal begini juga pernah terjadi kepada beberapa orang teman yang lain. Ada yang sudah berkira-kira untuk mengaturkan tarikh perkahwinan, tetapi akhirnya ikatan pertunangan yang dijalin terputus di tengah jalan. Puncanya disebabkan oleh pasangan itu sendiri, ataupun hadirnya faktor ketiga, sama ada disebabkan oleh ahli keluarga mahupun teman rapat mereka.

Andainya berlaku perkara sebegini, ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilalui. Ramai orang yang ‘terbabas’ apabila dilanda masalah begini. Sesetengahnya terpaksa mengambil masa berbulan lamanya untuk mengubat kelukaan hati. Tidak kurang juga yang merasakan mereka telah hilang kebahagiaan sehingga terpaksa dibawa menghuni hospital bahagia.

Allah Makbulkan Doa

Seringkali kali kita memohon supaya Allah memberikan pasangan yang baik buat kita. Permohonan tersebut dilakukan melalui doa-doa yang dititipkan selepas solat mahupun di dalam solat istikharah. Bahkan apabila bersembang-sembang dengan ahli keluarga dan teman-teman, kita juga sering menyebut supaya Allah memberikan jodoh yang terbaik untuk diri kita.

Namun begitu, mengapa ketika ikatan pertunangan yang dijalinkan terputus, ramai yang mudah berputus asa? Sedangkan mungkin ‘putus’ ikatan tersebut bermakna makbulnya doa kita. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, tetapi kitalah yang seringkali menzalimi diri sendiri.

Adakalanya insan yang kita harapkan untuk menjadi pasangan kita bukanlah pasangan yang terbaik untuk kita. Meskipun kita bersusah-payah untuk memilikinya, namun terlepas jua.

Firman Allah SWT :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah:ayat 216)

Teruskan pembacaan »

Saya bersyukur. Dalam program ini saya jelas tujuan hidup saya. Baru saya sedar selama ini kerja-kerja yang saya lakukan di pejabat merupakan ibadah kepada Allah SWT”, luah seorang peserta kursus sebaik selesai menjalankan kursus.Wajahnya kelihatan bersemangat. Jelas kelihatan beliau seperti mendapat nafas baru di dalam kehidupan.

Ini bukan kali pertama saya mendengar luahan-luahan begini daripada para peserta kursus. Selama tiga tahun bergelumang dengan dunia latihan, baik latihan yang dijalankan kepada badan kerajaan mahupun korporat, daripada level atasan sehingga level bawahan. Luahan beginilah yang sering dinanti-nantikan daripada mulut para peserta. Sekiranya ada yang meluahkan begini, bermakna kursus tersebut sudah mencapai KPI yang diharapkan. KPI tersebut adalah mereka jelas bahawa kerja-kerja yang dilakukan di pejabat merupakan ibadah di sisi Allah SWT melalui ibadah umum mereka.

Setiap kali mengendalikan kursus, apabila para peserta meluahkan perasaan mereka hati saya sedikit terusik. Walaupun berulang-ulang kali saya mendengar luahan yang hampir sama, tetapi setiap kali saya mendengarnya hati saya tetap berasa sebak. Hati sebak kerana bersyukur kerana hidayah Allah telah mengetuk pintu hati mereka.

Di dalam kesibukkan dengan tugas-tugas baru yang perlu dipikul dijabatan baru, di samping aktiviti rutin yang agak padat memandangkan waktu ini merupakan fasa terakhir untuk saya menyiapkan buku yang diusahakan bersama isteri, namun begitu masih diberi peluang untuk menjayakan projek terakhir saya yang dirancang ketika berada di UUM CAS sebelum ini iaitu kursus Motivasi Jiwa bersama staff Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Kursus terakhir bagi saya di UUM kerana selepas ini kerja-kerja yang dilakukan lebih memfokuskan kepada pentadbiran berbanding kerja-kerja sebelum ini yang berkaitan dengan latihan. Walaupun bertukar, saya tetap bersyukur kerana kedua-dua ruang dan peluang baru yang diberikan ini merupakan medan ibadah baru bagi saya iaitu dimedan penerbitan.

Teruskan pembacaan »

“Bakal suami kamu kerja apa?’, tanya seorang Mak Cik kepada seorang anak gadis pada suatu hari.

“Dia kerja biasa-biasa saja Mak Cik”, jawab gadis tersebut.

“Kenapa kamu tak pilih yang berpangkat besar?”

“Dah ini jodoh saya Mak Cik”.

“Berapa gajinya sebulan?”.

“Tak tahulah saya Mak Cik. Dia tak pernah beritahu”.

            Apabila seseorang anak gadis ingin melangsungkan perkahwinan, inilah antara soalan popular yang sering di tanya. Status bakal suami, gaji yang diterima dan ada juga yang sanggup bertanya berkenaan rupa paras bakal suami tersebut.

            Paling kritikal adalah apabila ada dalam kalangan sanak saudara sebelah bakal pengantin wanita yang menjadi spy membuat penyiasatan ke atas lelaki yang bakal di kahwininya. Semuanya adalah bertujuan untuk mengenalpasti status bakal suami anak gadis tersebut.

            Pernah saya ketemui seorang sahabat yang hampir-hampir mengikat tali pertunangan, tetapi diputuskan oleh ibu gadis itu sendiri. Menurutnya, ibu gadis tersebut enggan menerimanya semata-mata kerana dia adalah seorang ustaz. Apa yang dimahukan oleh ibunya adalah bermenantukan seorang Doktor. Nampak seperti lucu, tetapi inilah hakikat yang berlaku.

  Teruskan pembacaan »

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 5,009 other followers